DADAH MEMBAWA PADAH
-
Upload
sivanaswari-karuppiah -
Category
Documents
-
view
37 -
download
0
description
Transcript of DADAH MEMBAWA PADAH
DADAH MEMBAWA PADAH
Apabila anda mendengar ungkapan “Enam Jahanam”, apakah yang mungkin anda
fikirkan ? Adakah itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau nama kumpulan penjenayah
yang diburu oleh pihak polis ? Rupa-rupanya, ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah
yang harus diberi perhatian serius kerana penyalahgunaannya yang meluas – heroin, kokain,
ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu melancarkan “Karnival Enam Jahanam”, Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa isu dadah di negara kita
berada pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan mengisytiharkan dadah harus diperangi
hingga ke akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor satu negara.
Apakah sebenarnya dadah ?
Dadah merupakan bahan psikoaktif yang mempunyai kesan paling ketara ke atas
sistem saraf. Sebarang dadah boleh digunakan secara sah dari segi perubatan sekiranya ia
dipreskripsikan atau diberikan oleh doktor. Contohnya, pesakit kanser yang dirawat dengan
morfin untuk menghilangkan penderitaan sakit kansernya hingga beberapa tahun, tetapi ia tidak
mendatangkan kesan ketagihan padanya.
Penyalahgunaan dadah adalah penggunaan dadah yang bertentangan dengan
kepentingan rawatannya. Penggunaan dadah yang berterusan mampu mendatangkan bahaya
seperti menyebabkan keadaan mabuk, khayal, ketagih, gangguan tingkah laku dan sebagainya.
Penyalahgunaan dadah bukan sahaja menyebabkan kerosakan terhadap diri tetapi turut
memberi kesan terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Bagi menjamin kesejahteraan
negara pada masa hadapan, adalah penting untuk melahirkan generasi yang bebas daripada
penyalahgunaan dadah.
Di zaman ini, dadah bukan lagi perkara baru di dalam kehidupan manusia kerana
sudah berabad penggunaan dadah dikesan meskipun tarikh sebenar tidak dapat dipastikan.
Berdasarkan sumber sejarah, masyarakat zaman dahulu kala mengaitkan dadah dengan alam
fantasi. Ini kerana mereka menganggap dadah sebagai pembalut penderitaan dan sumber
kegembiraan.
Pada tahun 1910, kerajaan Inggeris terpaksa mengawal kemasukan dan penjualan
candu di Tanah Melayu akibat penagihan candu di kalangan buruh Cina yang menyebabkan
kemasukan bahan berbahaya itu menjadi tidak terkawal. Disebabkan itu, Opium Dens iaitu
rumah menghisap candu dan kedai-kedai menjual candu telah dilesen dan didaftarkan. Selepas
perang dunia kedua, penjualan dan pengedaran candu menjadi masalah yang semakin serius
di kalangan penduduk Tanah Melayu sehingga kerajaan Inggeris membuat keputusan untuk
mengharamkan aktiviti-aktiviti negatif tersebut. Akibat pengharaman penjualan dan pengedaran
candu, aktiviti penyeludupan candu mula berlaku lalu tertubuhnya Akta Dadah Berbahaya pada
tahun 1952. Mengikut akta ini, sesiapa yang memiliki dan menghisap candu adalah menjadi
satu kesalahan dan Hakim Mahkamah Candu berkuasa menjatuhkan hukuman terhadap
pesalah.
Permasalahan dadah tetap berterusan dan peningkatan jumlah anak muda yang rosak
akibat dadah sangat ketara dan menakutkan sehingga kerajaan mengisytiharkan dadah
sebagai ancaman kepada keselamatan negara. Pihak kerajaan turut mengambil langkah lain
melalui Majlis Fatwa Kebangsaan. Fatwa bahawa penyalahgunaan dadah adalah haram dalam
Islam dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali ke-3 Majis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Agama Islam dan diisytiharkan pada 15 April 1982.
Sehingga kini, dadah masih dikatakan sebagai musuh nombor satu negara disebabkan
ia berterusan menjadi ancaman besar terhadap negara kita. Gejala penyalahgunaan dadah
yang melibatkan segenap lapisan masyarakat semakin menular hari demi hari. Menurut Ibrahim
(1997), masalah penagihan dadah bukan saja di kalangan golongan berpendapatan rendah
tetapi telah merebak kepada golongan yang lebih mewah dan berpendapatan tinggi tanpa
mengira umur dan jantina. Menurut Program Pengawalan Dadah Antarabangsa Bangsa-
Bangsa Bersatu (UNDCP), Malaysia telah diletakkan di tempat kelima dalam senarai di rantau
Asia Tenggara yang mempunyai bilangan penagih dadah paling ramai.Gejala penyalahgunaan
dadah bukan hanya mendatangkan kesan-kesan negatif terhadap diri tetapi ia juga mampu
menyebarkan kesan-kesan negatif tersebut kepada masyarakat.
Antara kesan tersebut ialah berlakunya ketidakstabilan struktur masyarakat dari segi
emosi, pergaulan dan pemuafakatan. Apabila adanya penagih di kalangan masyarakat,
kehidupan atau aktiviti seharian sedikit sebanyak akan terganggu kerana majoriti masyarakat
akan mengelak dari berinteraksi dengan mereka yang terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan
dadah, mencemuh atau memulau dan kemungkinan tersebarnya kata-kata yang kurang
menyenangkan hingga berlakunya krisis salah faham anatara sesebuah keluarga dengan
keluarga lain lalu menyebabkan berlakunya perpecahan dan permusuhan di kalangan
masyarakat.
Kesan utama penyalahgunaan dadah kepada masyarakat ialah keharmonian dan
suasana hidup masyarakat menjadi tidak tenteram akibat terganggu dengan peningkatan aktiviti
jenayah yang majoritinya dilakukan oleh para penagih. Didapati 40% daripada banduan penjara
adalah mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Aktiviti-aktiviti jenayah yang
sinonim dengan penagih dadah ialah kes mencuri, merompak, meragut, membunuh, merogol
dan lain-lain lagi.
Disamping itu, golongan pengedar dadah yang sentiasa mencari pengguna baru
menjadikan golongan remaja atau pelajar sekolah sebagai sasaran mereka. Ini
membimbangkan ibu bapa dan masyarakat dengan keselamatan anak-anak remaja mereka
yang mudah terpengaruh dengan ajakan dan pujukan rakan-rakan sebaya untuk medapatkan
hiburan dan keinginan untuk mencuba perkara baru.
Selain itu, kebanyakkan golongan yang membawa penyakit HIV merupakan golongan
yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akibat perkongsian jarum dan seks bebas.
Perkara ini cukup menggerunkan segenap masyarakat kerana tersebarnya penyakit tersebut
akan memberi kesan sampingan yang buruk terhadap masyarakat awam yang tidak bersalah.
Contohnya berlaku kes rogol yang menyebabkan mangsa dijangkiti HIV dan berkemungkinan
melahirkan anak yang turut dijangkiti penyakit berbahaya tersebut. Mangsa yang tidak bersalah
itu terpaksa meneruskan kehidupan bersama penyakit tersebut sehingga ke akhir hayatnya.
Kesan lain penyalahgunaan dadah ialah masyarakat akan dipandang serong atau
rendah. Para penagih selalunya dianggap sebagai individu yang tidak berguna dan
menyusahkan maka ini turut menyebabkan masyarakat disekeliling terkena tempias tersebut
berdasarkan pandangan masyarakat lain terhadap mereka. Kesan ini punca sesebuah
masyarakat itu sukar untuk maju dan jauh ketinggalan berbanding masyarakat-masyarakat lain
yang kurang terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Dadah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara kerana menjadi ancaman
kepada negara kita iaitu Malaysia sejak sekian lama dan membawa kepada beberapa kesan
buruk yang tidak diingini.Golongan belia didapati antara golongan yang terbesar terlibat dengan
masalah dadah berdasarkan perangkaan lalu iaitu kira-kira 65% adalah terdiri daripada mereka
yang berumur antara 20-29 tahun. Antara kesan ini ialah menyebabkan modal insan negara
terutama golongan belia yang begitu berharga buat negara tidak menyumbang tenaga yang
produktif dan kepakaran pembangunan negara. Kaum belia merupakan tulang belakang
pembangunan negara dan seharusnya menjadi pelapis pemimpin yang berkrisma, berwawasan
dan bertanggungjawab pada masa hadapan. Terlibatnya golongan belia dalam kancah
penyalahgunaan dadah membuatkan negara kehilangan harapan yang telah digalaskan
terhadap mereka untuk membangun dan memajukan negara ke tahap yang lebih
membanggakan.
Masalah penyalahgunaan dadah adalah antara masalah utama negara dan untuk
mengatasi masalah ini negara terpaksa menanggung kos yang tinggi iaitu ratusan juta ringgit
hanya untuk menguruskan aspek pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan penagih dadah.
Kesan dari penyalahgunaan dadah ternyata mendatangkan kerugian yang besar buat negara
walhal jumlah tersebut boleh digunakan untuk tujuan mencapai wawasan negara iaitu untuk
membangunkan negara agar dapat berdiri setanding dengan negara-negara maju yang lain
tetapi dihabiskan untuk memulihkan rakyat yang masih tidak sedar akan tanggungjawab diri
sendiri mahupun tanggungjawab mereka terhadap negara.
Selain itu, untuk memulihkan dan membanteras masalah berkaitan penyalahgunaan
dadah, negara perlu merangka langkah-langkah yang sesuai agar usaha menyelamatkan
negara dari dibelenggu masalah najis dadah berkesan. Ini menyebabkan negara kerugian masa
dan tenaga. Andai rakyat bijak memilih baik dan buruk serta memahami wawasan negara
sepatutnya perkara ini dapat dielakkan dan bersama berganding bahu membawa negara ke
peringkat yang lebih tinggi.
Antara kesan lain terhadap negara ialah dengan berlakunya peningkatan kes
penyalahgunaan dadah di sesebuah negara akan menyebabkan negara tersebut dipandang
rendah lalu menjatuhkan imej negara di mata dunia. Ini akan menyukarkan dan mengurangkan
peluang negara untuk berkerjasama dengan negara-negara luar padahal jika terjalinnya
hubungan dengan negara luar akan mendatangkan pelbagai keuntungan yang dapat
dimanfaatkan negara.
Berikutnya adalah pendapatan pelancongan negara akan terjejas dan menurun akibat
dari penyalahgunaan dadah. Ini berikutan ancaman jenayah yang timbul mampu menakutkan
warga-warga luar untuk dating melancong ke dalam negara. Tambahan pula implikasi dari
penyalahgunaan dadah boleh menyebarkan pelbagai penyakit yang berkemungkinan
menyebabkan negara menjadi tempat pelancongan yang mempunyai tahap tidak selamat dari
aspek kesihatan.
Dadah terbahagi kepada beberapa jenis, di antaranya daripada sumber tumbuh-
tumbuhan manakala dadah sintetik iaitu ATS yang semakin hari semakin popular
kebanyakannya dalam bentuk pil. Dadah jenis ini lebih bahaya kerana boleh menyebabkan
penagih menjadi semakin ganas selain kerosakan otak yang teruk.
Ganja
Nama saintifik bagi tumbuhan ini adalah Cannabis Sativa. Kanabis/Ganja merupakan sejenis
tumbuhan yang didapati tumbuh meliar di banyak tempat. Ia juga dikenali sebagai marihuana
atau marijuana dan dikatakan berasal daripada perkataan Portugis iaitu Mariguango yang
bermaksud bahan memabukkan.
Stimulan (ATS)
Amphetamine-Type Stimulants (ATS) merupakan sekumpulan jenis dadah perangsang yang
bertindak ke atas CENTRAL NERVOUS SYSTEM (CNS) atau SISTEM SARAF PUSAT. Ia
merupakan jenis dadah sintetik yang dihasilkan melalui tindakan bahan-bahan kimia.
Depresen
Kumpulan dadah depresen (penekan) merupakan sejenis dadah yang bertindak terhadap
sistem otak sehingga membuatkan seseorang itu tidak sedarkan diri bila diambil secara
berlebihan. Dalam bidang perubatan, dadah jenis ini digunakan sebagai ubat penenang,
meredakan kesakitan dan untuk tidur lena. Walau bagaimanapun, ia telah disalahgunakan oleh
Halusinogen
Halusinogen adalah sejenis dadah asli dan sintetik yang mengubah pencerapan deria (sensory
perception) dan pandangan visual. Ia menyebabkan ilusi sehingga amat susah membezakan
antara yang benar dan yang tidak benar.
Inhalan
Inahalan ialah bahan kimia yang mengandungi bahan psikoaktif yang dihasilkan daripada
pelarut organik dan bahan meruap. Inhalan juga dikenali sebagai bahan hiduan atau sedutan
yang mudah meruap (volatile) dan dihidu atau disedut untuk menimbulkan kesan psikoaktif atau
merangsangkan perubahan minda
Ketum
Nama saintifik Pokok Ketum ialah Mitragyna Speciosa Korth. Pokok Ketum merupakan pokok
malar hijau yang mempunyai daun berwarna hijau tua berkilat dan bunga kuning kecil. Terdapat
dua jenis dedaun tetulang daun berwarna merah dan yang lain berwarna putih (dikatakan
mempunyai kesan halusinogenik yang lebih kuat). Daunnya banyak digunakan sebagai ubat
tradisi dan dadah narkotik.
Ketamin
Merupakan dadah sintetik yang paling awal ditemui iaitu pada tahun 1962 oleh Calvin Stevens
di makmal Parke Davis semasa ujian mencari pengganti dadah jenis PCP sebagai ubat
penenang. Pada tahun 1965 ianya dikesan digunakan sebagai dadah rekreasi dan ianya terdiri
dari 2-cholorophanyl-2-(methylamino)-cyclohexanone yang biasanya disalahgunakan untuk
tujuan keseronokan. Tujuannya pada asalnya adalah untuk tujuan ubat bius haiwan dan tujuan
pembedahan.
Ternyata bahawa aktiviti penyalahgunaan dadah ini banyak mendatangkan
kemudaratan dan ianya mengganggu ketenteraman masyarakat awam. Justeru, pelbagai
langkah pencegahan telah diambil bagi membendung gejala negatif ini meskipun masih belum
dapat diselesaikan secara keseluruhan. Sesungguhnya, dalam memastikan matlamat negara
untuk menghapuskan gejala penyalahgunaan dadah ini tercapai, setiap pihak harus mengetahui
peranan masing-masing dan berganding bahu menjalankan tanggungjawab, bukan hanya
melepaskannya kepada satu pihak sahaja. Contohnya, kerajaan bersungguh-sungguh mencuba
untuk menyelamatkan masyarakat dari terjebak dengan penyalahgunaan dadah tetapi
masyarakat masih tidak berwaspada dan langsung tidak mempedulkani usaha kerajaan
tersebut menyebabkan harapan agar gejala ini dapat dibendung menjadi agak mustahil untuk
dicapai. Oleh itu, setiap pihak perlu sedar akan peranan masing-masing demi mencapai impian
negara untuk bebas daripada masalah dadah.
Konklusinya, aktiviti penyalahgunaan dadah ini sememangnya banyak
mendatangkan keburukan bukan sahaja terhadap diri dan keluarga tetapi juga terhadap
masyarakat dan negara. Usaha pencegahan dan pemulihan penyalahgunaan dadah yang telah
sedia ada ini masih boleh diperbaiki dan diperbaharui agar ianya lebih berkesan dan
berpanjangan di samping mendapat kerjasama yang baik serta komited di antara semua pihak
seperti masyarakat awam dan pihak kerajaan. Demi kesejahteraan negara kita adalah penting
untuk masyarakat mengetahui dan mengiyakan bahawa bahayanya penyalahgunaan dadah
agar dapat melahirkan generasi yang bebas daripada penyalahgunaan dadah.