Contoh Proposal
description
Transcript of Contoh Proposal
KERTAS CADANGAN
MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENGUASAI HURUF JAWI DENGAN
MENGGUNAKAN KAEDAH ‘SALAM’
1.0 Tajuk Kajian
Penggunaan kaedah ‘SALAM’ (Sentuh Abjad Lantas Arif Membaca) dalam meningkatkan
kemahiran menguasai huruf jawi dalam subjek Pendidikan Islam di kalangan murid Tahun 1
Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 5, Johor Bahru.
2.0 Nama Pengkaji
a) Nurul Adilah Binti Noh L20101005884
b) Noor Azimah Binti Mahyudin L20101006011
c) Fatimah Husna Binti Abu Yamin L20101006012
d) Razemah Binti Kamaruddin L20101006016
3.0 Latar Belakang Kajian
Mata pelajaran Pendidikan Islam merupakan salah satu mata pelajaran teras yang wajib
diambil oleh murid seawal darjah 1. Mata pelajaran ini diajar di sekolah bertujuan untuk
melahirkan murid-murid yang celik jawi dan berakhlak mulia. Sukatan pelajaran Pendidikan
Islam ini bukan sahaja menerapkan ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran malah turut
menekankan aspek-aspek yang berkaitan dengan nilai-nilai moral yang perlu ada sebagai
seorang muslim. Oleh yang demikian, murid-murid akan dapat mengaplikasikan apa yang
dipelajari dalam kehidupan seharian mereka.
Penguasaan huruf jawi dianggap sangat penting kepada setiap individu muslim. Ia dianggap
penting kerana tanpa penguasaan terhadap huruf jawi maka seseorang individu tidak akan
dapat menguasai bacaan Al-Quran. Oleh yang demikian, penguasaan bahasa jawi perlu
diterapkan diperingkat awal umur seorang kanak-kanak. Dengan ini mereka akan dapat
membaca Al-Quran dengan baik dari segi bacaan serta tajwidnya. Untuk mencapai matlamat
ini, satu kaedah yang dikenali sebagai ‘SALAM’ telah diperkenalkan di mana ia telah
dijadikan formula yang mudah bagi menguasai huruf jawi.
Kajian ini dijalankan di Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 5 iaitu sebuah sekolah kebangsaan
di kawasan perumahan yang terletak di bandar Permas Jaya. Kawasan perumahan ini terletak
kira-kira 20 km dari bandar Johor Bahru, Johor. Kajian ini disasarkan kepada 23 orang murid
Tahun 1 dalam sebuah kelas. Seramai 11 orang murid telah dipilih secara rawak dan
dijadikan responden kajian di mana mereka terdiri daripada 5 orang murid lelaki dan 6 orang
murid perempuan.
4.0 Penyataan Masalah
Mata pelajaran Pendidikan Islam sekolah rendah merupakan asas permulaan kepada
pengetahuan murid tentang mata pelajaran Pendidikan Islam akan datang di peringkat
sekolah menengah. Selain itu juga, asas dalam pembacaan Al-Quran memerlukan penguasaan
murid terhadap huruf-huruf jawi.
Satu temu bual telah dijalankan di antara pengkaji dengan Cikgu Abdul Halil Bin Omar,
seorang guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 5, Johor Bahru di mana
beliau telah menceritakan serba sedikit berkenaan dengan masalah yang dihadapi oleh murid-
murid dalam kelasnya. Beliau mendapati bahawa murid dalam kelasnya tidak dapat
menguasai huruf jawi dengan baik. Ini berikutan pemerhatian yang dijalankan oleh guru
terbabit dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di kelasnya. Beliau turut mempunyai tujuh
tahun pengalaman mengajar murid tahun 1.
Permasalahan ini dikenal pasti apabila guru meminta murid menyebut huruf jawi dengan
pendekatan nyanyian, murid dapat menyebut huruf jawi dengan jelas dan tepat. Tetapi
apabila guru meminta murid menyebut huruf jawi secara individu iaitu tanpa nyanyian, murid
menghadapi masalah untuk menyebut huruf jawi malah teragak-agak sebutannya. Ini
bermaksud kaedah nyanyian bagi sebutan jawi tidak berjaya meningkatkan kemahiran murid
menguasai huruf jawi dengan tepat walaupun kaedah ini menyeronokkan murid.
5.0 Objektif Kajian
5.1 Meningkatkan kemahiran menguasai huruf jawi dengan baik.
5.2 Murid dapat mengingat dan mengenal huruf dengan mudah dan bukannya menghafal.
5.3 Murid dapat membina kemahiran membaca dengan menggunakan kaedah “SALAM”.
5.4 Guru dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk permainan.
6.0 Metodologi Kajian
6.1 Reka Bentuk Kajian
Kajian ini akan dilaksanakan mengikut Model Stringer (2004)
Langkah 1: Merekabentuk (Mengenalpasti Masalah)
Masalah dapat dikenal pasti melalui pemerhatian yang dijalankan oleh Cikgu Halil semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran beliau dalam kelas di mana Cikgu Halil telah meminta murid
dalam kelas tersebut menyebut huruf-huruf jawi secara individu. Melalui kaedah ini, Cikgu
Halil dapat mengesan dan mengenal pasti murid yang menguasai dan tidak menguasai huruf
jawi.
Langkah 2: Mengumpul Data
i. Dalam kajian ini, terdapat dua kaedah yang digunakan untuk mengumpul data antaranya
melalui pemerhatian dan ujian pra. Melalui pemerhatian yang dijalankan, guru tersebut
memberitahu bahawa masalah timbul apabila beliau meminta muridnya menyebut huruf jawi
secara individu.
ii. Setelah mengenal pasti masalah, satu ujian pra telah dijalankan ke atas murid-murid
tersebut bagi mendapatkan jumlah murid yang berjaya menguasai dan tidak menguasai huruf
jawi. Ujian Pra mengandungi 4 bahagian soalan. Murid akan menyebut dan membaca
mengikut arahan guru. Guru akan menanda di dalam borang yang disediakan. (Sila rujuk
Lampiran 1)
Langkah 3: Menganalisis Data
Data yang diperolehi melalui ujian pra yang dilakukan adalah seperti berikut:-
o Menyebut huruf secara individu
Tahap Menguasai Bil. Murid Peratus (%)
Menguasai 4 36
Tidak menguasai 7 54
o Bacaan secara tertib alif hingga ya
Tahap Menguasai Bil. Murid Peratus (%)
Menguasai 3 27
Tidak menguasai 8 63
o Bacaan menurun ya hingga alif
Tahap Menguasai Bil. Murid Peratus (%)
Menguasai 2 18
Tidak menguasai 9 82
o Bacaan secara rawak
Tahap Menguasai Bil. Murid Peratus (%)
Menguasai 1 9
Tidak menguasai 10 91
Langkah 4: Menyampai Hasil
Analisis data menunjukkan majoriti murid tidak menguasai huruf jawi dengan baik. Mereka
keliru antara huruf ‘Ha’ dengan ‘Kho’ dan ‘Qhof’ dengan ‘Kaf’. Selain itu, mereka juga
hanya boleh menyebut huruf mengikut bacaan secara tertib iaitu ‘alif’ hingga ‘ya’ tetapi
sebaliknya berlaku sekirannya mereka diminta menyebut huruf secara menurun iaitu daripada
‘ya’ ke ‘alif’ ataupun secara rawak.
Langkah 5: Mengambil Tindakan
Beberapa aktiviti telah dicadangkan kepada guru tersebut untuk menangani masalah tersebut.
Antara aktiviti tersebut adalah seperti berikut:-
Aktiviti 1: Kaedah menggunakan jari bermain kad blok huruf. Dalam aktiviti ini, murid akan
menggunakan jari bermain blok huruf yang dibuat daripada mountin board. (Blok ini akan
ditampal di dinding). Di sini, murid juga akan belajar mengikut bentuk huruf dengan kaedah
yang betul.(Sila Rujuk Lampiran 2).
Aktiviti 2 : Menyebut huruf dengan menggunakan bongkah huruf. Aktiviti ini merupakan lanjutan
daripada aktiviti pertama. Dalam aktiviti ini, murid akan menyebut dan menunjukkan huruf
jawi satu persatu dengan menggunakan bongkah huruf tersebut. (Sila Rujuk Lampiran 3)
Aktiviti 3 : Menyebut huruf dengan menggunakan kaedah SALAM. Dalam aktiviti ini, murid akan
menyebut huruf dengan menggunakan kaedah SALAM iaitu dengan menggunakan BUKU
SALAM 1. Kaedah ini adalah seperti kaedah yang digunakan untuk belajar ‘IQRA’. Dalam
aktiviti ini, guru akan meminta murid menyebut huruf berpandukan Buku SALAM 1 secara
individu. Murid akan menyebut huruf seperti membaca Iqra’. Aktiviti ini perlu dilakukan
setiap hari sehingga habis buku SALAM 1. Dengan aktiviti ini, murid akan dapat menguasai
huruf jawi dengan baik. (Sila Rujuk Lampiran 4)
6.2 Sasaran Kajian
Kajian ini melibatkan 11 orang murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 5 yang
terdiri daripada 5 orang murid lelaki dan 6 orang murid perempuan dan seorang guru yang
mengajar Pendidikan Islam Tahun 1.
6.3 Instrumen Kajian
a) Mengumpul Data
Sebelum meneruskan langkah-langkah yang seterusnya, tinjauan terhadap masalah yang telah
dikenal pasti akan dilakukan dengan tujuan untuk memahami dengan lebih mendalam
berkenaan masalah tersebut. Dua kaedah telah digunakan untuk mengutip data:-
iii. Temubual – Satu sesi temubual telah diadakan bersama dengan Cikgu Abdul Halil Bin
Omar bagi mengenal pasti dan memahami dengan lebih mendalam mengenai masalah
tersebut.
iv. Ujian Pra – Setelah masalah dikenal pasti, satu ujian pra telah diberikan kepada kumpulan
sasaran untuk melihat sejauh mana kefahaman dan tahap penguasaan mereka mengenai
kemahiran yang dikaji. Ujian Pra tersebut mengandungi 4 bahagian soalan. Murid akan
menyebut dan membaca mengikut arahan guru. Guru akan menanda di dalam borang yang
disediakan. (Sila Rujuk Lampiran 1)
b) Semasa Pelaksanaan Tindakan
Setelah analisis tinjauan dijalankan, guru akan mengumpulkan murid dalam kumpulan
sasaran dan satu kaedah baru akan diperkenalkan di mana ianya mengandungi tiga aktiviti:
Aktiviti 1 – Menggunakan jari bermain kad blok huruf
Aktiviti 2 – Menyebut huruf dengan menggunakan bongkah huruf
Aktiviti 3 – Menyebut huruf dengan menggunakan kaedah SALAM.
(Sila Rujuk Lampiran 2,3 & 4)
c) Selepas Pelaksanaan Tindakan
Ujian Pos akan diberikan kepada murid untuk melihat pencapaian murid selepas pelaksanaan
tindakan di mana ujian tersebut mengandungi soalan yang sama seperti Ujian Pra.
Perbandingan akan dibuat untuk mengetahui samada ketiga-tiga aktiviti yang dijalankan
berkesan atau tidak ke atas tahap penguasaan murid dalam huruf jawi.
6.4 Metod Analisis
(a) Temubual – Analisis untuk mengenalpasti dan memahami masalah murid
dalam pengguasaan huruf jawi.
(b) Ujian Pra dan Ujian Pos – Analisis markah murid.
7.0 Kesignifikan Kajian
Dapatan kajian ini diharap dapat dikongsi bersama dengan guru-guru sekolah khususnya guru
Pendidikan Islam. Dapatan kajian ini juga diharap dapat dijadikan sebagai bahan rujukan
untuk guru-guru di seluruh Malaysia yang mempunyai masalah dalam proses pengajaran dan
pembelajaran bagi mata pelajaran Pendidikan Islam.
8.0 Anggaran Perbelanjaan
Jenis Perbelanjaan Jumlah
Perjalanan (Tg Malim – Johor Bahru)- RM 40 x 4 orang
RM 160
Percetakan laporan RM 8
Lain-lain belanja RM 10
JUMLAH RM 178
9.0 Jadual Pelaksanaan
Bil Perkara Tarikh
1 Mesyuarat Jawatankuasa (Pengumpulan data awal) 23.08.10
2 Temuduga guru 08.09.10
3 Penulisan kertas cadangan 12.09.10
4 Mereka bentuk tindakan (Mengenal pasti masalah) 14.09.10
5 Mengumpul data 17.09.10
6 Menganalisis data 21.09.10
7 Menyampaikan hasil 25.09.10
8 Mengambil tindakan 27.09.10
9 Refleksi dan penilaian kajian 01.10.10
10 Penulisan laporan kajian 04.10.10
10 Pembentangan dapatan kajian (Pemurnian laporan) 10.10.10
10.0 Rujukan
Othman Bin Lebar. (2009). Modul Kursus Kajian Tindakan Dalam Pendidikan. Tanjung Malim.