bm komunikatif
-
Upload
thamil-vani-ramanjee -
Category
Documents
-
view
57 -
download
4
description
Transcript of bm komunikatif
ISI KANDUNGAN
1.0 PENGHARGAAN
Selamat sejahtera dan salam satu Malaysia.Di sini, saya ingin mengambil
kesempatan untuk mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan kepada beberapa
pihak yang telah membantu bagi menjayakan tugasan kerja kursus pendek
yang wajib dilaksanakan oleh guru - guru pelatih bagi program pra –ijazah
sarjana muda perguruan.
Ucapan setinggi - tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan
kepada Encik Ahmad Salleh bin H.Ahmad dan En Noor Azni Bin Yahya (PPT),
pensyarah Bahasa Melayu Komunikatif unit PPISMP - MT/BI/BM semester 1 yang
telah memberikan bimbingan untuk melaksanakan tugasan ini. Tanpa
penerangan yang diberikan beliau, tak mungkin saya dapat melaksanakan
tugasan ini dengan sempurna. Selain itu, ucapan penghargaan dan terima kasih
juga ingin saya ucapkan kepada para pensyarah yang mengajar subjek Bahasa
Melayu unit PPISMP – MT/BI/BM semester 1 kerana selain Encik Salleh dan En
Azni yang memberikan penerangan, kami juga merujuk kepada mereka untuk
mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut lagi.
Keduanya, saya ingin mengucapkan penghargaan dan ribuan terima kasih
kepada ibu bapa dan keluarga yang telah memberikan sokongan dorongan kepada
saya bagi menjayakan tugasan ini. Selain itu, tidak lupa juga diucapkan setinggi –
tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada guru - guru pelatih semester 1
terutamanya guru - guru pelatih dari unit PPISMP - MT/BI/BM semester 1 yang
banyak membimbing saya bagi menyiapkan tugasan yang diberi ini.
Kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung
dalam membantu saya sepanjang tempoh membuat kertas kerja, saya juga
mengucapkan jutaan terima kasih. Semoga sumbangan mereka mendapat ganjaran
daripada Tuhan.
Akhirnya sekali, saya juga amat menghargai jasa-jasa staf perpustakaan yang
peramah dan telah banyak membantu dan menunjuk ajar tentang cara mencari
buku rujukan di perpustakaan.
Sekian,Terima Kasih.
2.0 PENGENALANBagaimanakah bahasa Melayu berupaya berperanan sebagai bahasa yang
mampu menyatupadukan kaum di Malaysia? Bahasa Melayu merupakan satu-
satunya bahasa yang dapat mengeratkan hubungan antara kaum di negara
kita.Bahasa Melayu ini menjadi batu asas untuk membina negara Malaysia yang
aman dan damai.
Di kalangan kita, kita boleh bertanya apakah pentingnya Bahasa Melayu?
Secara jelasnya sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, adalah
penting mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain. Hubungan yang baik
ini hanya akan wujud apabila perpaduan wujud antara masyarakat yang berbilang
kaum dan agama.
Salah satu cara ke arah mencapai perpaduan ini adalah menerusi satu
bahasa penghantar yang sama, iaitu dengan menggunakan bahasa
Melayu.Menerusi perlembagaan, secara jelasnya telah termaktub bahawa bahasa
Melayu telah menjadi kewajipan setiap warganegara Malaysia untuk
mengetahuinya.
Apakah yang dimaksudkan dengan perpaduan?Perpaduan boleh diertikan
sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya
setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta
perasaan cinta dan banggakan tanah air. Perpaduan ini boleh dicapai melalui
bahasa kebangsaan kita.
Pepatah-pepatah yang berbunyi “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bahasa
Perpaduan Bangsa” dengan jelas menunjukkan kepentingan bahasa dalam proses
memupuk perpaduan antara kaum.Seterusnya kita melihat sejarah perkembangan
bahasa Melayu,peranan bahasa Melayu,program yang dijalankan oleh kerajaan dan
kesalahan yang dilakukan oleh penutur Bahasa Melayu.
3.0 Sejarah perkembangan bahasa Melayu
Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan Melayu? Asal-usul perkataan
Melayu ini masih belum dikenalpasti.Walaubagaimanapun terdapat beberapa fakta
sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu. Pertamanya, catatan orang
China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan
hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 masihi. Dikatakan orang Mo-lo-yeu
mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi
kepada raja China. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha
bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang
dilawatinya sekitar 675 masihi. Dalam bahasa Jawa Kuno pula, perkataan ‘Mlayu’
bermaksud berlari atau mengembara.Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-
Melayu yang bergerak dari Yunan.
Jika kita melihat asal-usul bangsa Malayu dipercayai mereka berasal
daripada gologan Austronesia di Yunan. Mereka terdiri daripada dua kumpulan.
Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto yang berpindah ke Asia Tenggara
pada Zaman Batu Baru iaitu pada 2500 sebelum masihi. Keturunan Melayu Proto
terdiri daripada Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak
di Sumatera. Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro. Mereka berpindah
ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Masihi. Keturunannya
terdiri daripada orang Melayu di Malaysia.Mereka dikatakan lebih bjak dan mahir
daripada Melayu Proto. Kumpulan pertama dan kedua ini dikenali sebagai
Austronesia. Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang ini berpunca
daripada bahasa Austronesia ini. Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa
golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh.Minangkabau,
Batak, Nias, Lampung dan Orang Laut.
Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap
iaitu Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu moden.
Kegemilangan Bahasa Melayu Kuno adalah dari abad ketujuh hingga abad ketiga
belas.Pada zaman kerajaan Sri vijaya Bahasa Melayu Kuno ini menjadi lingua franca
dan bahasa pentadbiran kerana ia bersifat sederhana dan mudah menerima
pengaruh luar, tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat serta
mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa. Bahasa
Melayu Kuno ini dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit kerana sifat bahasa Melayu yang
mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan dan pengaruh agama Hindu.
Bahasa Melayu Kuno pada batu bersurat pada abad ketujuh ditulis dengan huruf
pallawa.Buktinya adalah batu bersurat yang terletak di Kedukan Bukit, Palembang
pada 683 masihi. Ciri-ciri Bahasa Melayu Kuno adalah ia penuh dengan kata-kata
pinjaman Sanskrit dan susunan ayatnya bersifat Melayu.
Peralihan Bahasa Melayu Kuno ke Bahasa Melayu Klasik berlaku pada abad
ke-13. Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap
pada abad ke-13. Pada masa ini, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari
segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan. Kegemilangan Bahasa Melayu Klasik boleh
dibahagikan kepada tiga zaman penting iaitu Zaman kerajaan Melaka, Zaman
kerajaan Acheh dan Zaman kerajaanJohor-Riau.Antara tokoh-tokoh penulis yang
penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani,Syeikh Nuruddin al-Raniri
dan Abdul Rauf al-Singkel.
Zaman Bahasa Melayu Moden bermula pada abad ke-19. Hasil karangan
Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.
Sebelum penjajahan British bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi kerana
ia berfungsi sebagai bahasa perantaraan,pentadbiran, kesusasteraan dan bahasa
pengantar dalam system pendidikan Islam. Selepas perang dunia kedua. British
mengubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam
sistem pendidikan. Dalam sejarah Malaysia, sejak mula mencapai kemerdekaan,
Tunku Abdul Rahman sudah menamakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
Malaysia selaras dengan kependudukan rakyat Malaysia yang majmuk. Dikatakan
pada zaman awal kaum Cina dan India menetap di Tanah Melayu,menggunakan
dialek yang dibawa dari tempat asal usul mereka.Oleh kerana,.mereka menghadapi
kesukaran untuk berkomunikasi sesama mereka , bahasa Melayu digunakan
sebagai bahasa perantara. Sejak abad ketujuh bahasa Melayu telah digunakan
sebagai lingua franca di kepulauan Melayu. Walaupun terdapat lebih daripada 200
bahasa di kepulauan Melayu,penggunaan bahasa Melayu lebih meluas kerana lebih
mudah dipertuturkan.
Bahasa Melayu bekembang dengan lebih matang dengan pengkayaan
istilah-istilah pinjaman daripada bahasa Cina dan Tamil. Bahasa Melayu di tanah
Melayu sememangnya bergelumang dengan pengaruh Arab, Portugis,Cina, India
dan lain-lain pengaruh sudah berevolusi berbanding bahasa Melayu di kepulauan
lain. Bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di
negara kita.
Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan
perkara 152 Menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akta Bahasa
Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi negara.Antara aspek penting yang termaktub dalam perkara 152
adalah pertimbangan mewujudkan satu bahasa rasmi negara, pertimbangan
memelihara bahasa ibunda kaum lain dan penukaran bahasa Inggeris kepada
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dilakukan secara beransur-ansur supaya
bahasa Melayu dapat berkembang.
Bahasa Melayu dipilih menjadi sebagai bahasa kebangsaan kerana bahasa
Melayu merupakan bahasa kaum majoriti negara ini dan menjadi alat komunikasi
antara kaum.Tujuan bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa Kebangsaan adalah
untuk mencapai integrasi nasional dan bagi mewujudkan identiti nasional dengan
bahasa Melayu.
Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar dalam sistem pendidikan Negara.Sistem persekolahan dipinda kepada
dua kategori sahaja iaitu Sekolah Umum dan Sekolah Jenis Umum. Sekolah Umum
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya.Sekolah Jenis Umum
meliputi sekolah Inggeris, sekolah Cina dan sekolah Tamil yang boleh menggunakan
bahasa pengantar mereka masing-masing.Bahasa Melayu menjadi matapelajaran
wajib di semua sekolah.Untuk membentuk sistem pendidikan kebangsaan , adalah
dicadangkan penubuhan satu jenis sekolah menengah sahaja dimana bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa yang wajib dipelajari oleh semua
murid. Beginilah Bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa kebangsaan,bahasa
rasmi dan bahasa perpaduan di negara kita.
4.0 FUNGSI BAHASA MELAYU DI MALAYSIA
Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan.Ia melahirkan
semangat perpaduan, kekitaan dan kebangsaan antara kita.Kedudukan dan taraf
Bahasa Kebangsaan terkandung dalam:
a) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
b) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67
c) Akta Pendidikan (asalnya Akta Pelajaran 1961)
Selain itu bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa rasmi.Bahasa
Melayu akan digunakan dalam urusan rasmi kerajaan, surat-menyurat rasmi dan
sebagainya.Bahasa Melayu juga merupakan bahasa perpaduan kerana ia menjadi
perantara untuk mewujudkan perpaduan antara kaum dan perpaduan politik.
Bahasa Melayu juga dikategorikan sebagai bahasa ilmu kerana ia digunakan
dalam bidang sains, teknologi, komputer, saintifik dan ilmiah. Selain itu bahasa
Melayu juga dikenali sebagai bahasa pendidikan kerana ia menjadi bahasa
pengantar di sekolah rendah, menengah,kolej dan universiti di negara kita.
Seterusnya, bahasa melayu dibahagi kepada 2 bahagian iaitu bahasa formal
dan tidak formal.Bahasa formal merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam
situasi formal. Bahasa formal juga disebut sebagai bahasa baku. Bahasa formal
adalah bahasa yang telah diterima untuk digunakan dalam hal-hal rasmi seperti
perundangan, surat rasmi, majlis rasmi, sekolah, berita, akhbar dan media massa.
Walaupun terdapat banyak dialek bahasa di Malaysia, hanya satu bentuk bahasa
formal iaitu bahasa Melayu perlu digunakan dalam urusan formal.
Bahasa tidak formal merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam situasi
yang tidak formal. Contohnya bahasa yang digunakan dalam perbualan seharian
bersama rakan-rakan dan ahli keluarga atau rakan-rakan sekerja. Disebut juga
bahasa tidak baku atau bahasa umum. Termasuk juga dialek negeri-negeri serta
bahasa daerah.
5.0 CABARAN-CABARAN YANG DIHADAPI BAHASA MELAYU BAGI MEMENUHI KEPERLUAN PERKARA 152 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA
Pada masa ini, Bahasa Melayu menghadapi cabaran yang sengit
terutamanya dalam abad ke-21. Pada dasarnya bahasa Melayu telah menjadi
bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan
negara iaitu perkara 152 yang menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah
bahasa Melayu. Jadi, pada abad ke-21, bahasa Melayu yang diperkasakan dan
dimartabatkan di negara ini terpaksa menghadapi saingan dengan penggunaan
bahasa Inggeris yang merupakan bahasa global. Persaingan yang paling hebat dan
mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini ialah
pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Oleh yang demikian,
tumpuan kertas kerja ini ialah membincangkan cabaran pemerkasaan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi, cabaran bahasa Melayu dalam kemajuan teknologi
maklumat, cabaran bahasa Melayu terhadap sikap penuturnya dan cabaran bahasa
Melayu dalam penggunaan bahasa Melayu. Jadi, pelbagai seminar atau
pembentangan telah dijalankan, kegusaran bahasa Melayu terus membimbangkan
pada setiap insan yang mencintai bahasa Melayu. Melalui kertas kerja ini,
perbincangan akan ditumpukan kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bahasa
Melayu dalam abad ke-21 supaya cabaran-cabaran tersebut tidak membantut
perkembangan bahasa Melayu pada masa akan datang. Justeru, cabaran- cabaran
ini tidak akan mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan
bahasa pengantar pendidikan di Malaysia pada abad ke-21. Isu-isu akan
dibincangkan secara satu persatu supaya jelas tentang cabaran-cabaran tersebut.
Pada tahun 2010,, Tan Sri Muhiyidin Yasin,Timbalan Perdana Menteri telah
mengumumkan bahawa pada tahun 2012, mata pelajaran Sains dan matematik
akan diajar dalam bahasa Melayu. Langkah ini, telah menjadikan bahasa Melayu
kembali dominan dan diperkasa.Kejayaan sesuatu bangsa bukanlah berdasarkan
bahasa Inggeris, tetapi kefahaman sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa
ibunda. Justeru, ada yang menganggap bahawa orang Melayu atau negara ini tidak
akan maju jikalau orang Melayu tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Perlu diingati, negara Jepun, Korea Selatan dan
banyak negara lain masih menggunakan bahasa ibunda dalam semua bidang.
Pemerkasaan bahasa ibunda mereka, telah menjadikan negara mereka maju malah
lebih maju daripada negara barat. Selain itu, masyarakat sudah mula menunjukkan
pentingnya peneguhan dan penegasan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi dan bahasa kebangsaan. Maksudnya, masyarakat sudah sedar betapa
pentingnya bahasa Melayu dan kini wujudnya generasi yang mahu mempelajari dan
mahir menggunakan bahasa Melayu. Menurut Dr. Nik Safiah Karim[1993], Dasar
Bahasa Kebangsaan di Malaysia telah berjaya, terutamanya jika dilihat dari
perspektif penggunaannya dalam jentera pentadbiran, dalam sistem pendidikan, dan
dalam beberapa domain utama kehidupan sehari-hari masyarakat Malaysia. Kita
boleh berbangga dengan kejayaan tersebut. Namun cabaran yang lain timbul pula,
iaitu dalam bentuk penggemblengan usaha daripada pelbagai pihak yang masih
diperlukan untuk melestarikan (mengekalkan atau menetapkan) sekali gus
mempertingkatkan mutu bahasa yang digunakan. Dalam kata lain, semua pihak
perlu bekerjasama untuk memastikan bahasa Melayu terus diperkasakan agar
cabaran abad ke-21 tidak meminggirkan bahasa Melayu sama ada dalam sistem
pendidikan atau pentadbiran.
Pada masa ini, bidang teknologi maklumat amat penting. Jadi, Malaysia
telah mendapat impak yang besar terutama dari segi penggunaan bahasa teknologi
maklumat. Sedia maklum, bahasa teknologi maklumat yang paling dominan di dunia
ialah bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan kepada penggunaan
bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Oleh itu, kita seharusnya mempelajari
bahasa teknologi maklumat supaya perbendaharaan kata berkenaan teknologi
maklumat dalam bahasa Melayu diperkaya. Jadi, bahasa Inggeris tetap dipelajari
kerana ilmunya. Kita haruslah berfikiran positif dan memandang ke hadapan. Semua
negara mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selain bahasa ibunda.
negara Korea Selatan, dan Jepun merupakan sebuah negara yang maju dalam
bidang sains dan teknologi, namun mereka tetap mempertahankan bahasa ibunda
dan bahasa Inggeris tetap dipelajari. Menurut Kamal Shukri Abdullah Sani,[2007;50]
bahawa Jepun tidak berganjak daripada menggunakan bahasanya dari peringkat
tadika sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi dalam semua bidang mata
pelajaran. Bahasa Inggeris hanya dipelajari mulai di peringkat menengah dan bukan
di peringkat rendah. Peluang mempelajari bahasa lain seperti Jerman, Sepanyol,
Portugis, Rusia,Mandarin dan lain-lain turut disediakan sama ada di institusi
pendidikan, rancangan televisyen dan lain-lain. Walau bagaimanapun bahasa Jepun
tetap diutamakan dan dijunjung tinggi martabat dan maruahnya.
Oleh yang demikian, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah diasaskan
oleh perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektronik
sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer
peribadi, telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Seterusnya kemunculan
Internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu
sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan
teks, bunyi, grafik dan video. Permasalahan ini secara langsung mempengaruhi dan
mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu di rantau Nusantara ini.
Apatah lagi, negara Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi di negara ini. Adakah kita mampu menghadapi cabaran ini dan menidakkan
penggunaan teknologi maklumat dalam arus pembangunan negara. Bagaimana
dengan Jepun.? Negara mereka maju dalam teknologi maklumat, namun bahasa
ibunda tetap terjaga dan terpelihara. Perkara ini perlu kita renung dan fikir bersama.
Oleh yang demikian, penekanan terhadap ICT pada era globalisasi dan liberalisasi
bermakna penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat
dielakkan oleh masyarakat dunia. Era ICT telah menunjukkan bahasa Inggeris
mengiringi kelahiran pertama Internet dunia di Amerika Syarikat dan seterusnya
diikuti dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell
dan Hewlett-Packard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa
Inggeris. Perubahan persekitaran ini menimbulkan persoalan sama ada mampukan
bahasa Melayu digunakan di dalam era ICT sebagai bahasa perantaraan alternatif
untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bahasanya? Mampukah penggiat-penggiat
bahasa Melayu menggunakan ICT sebagai alat penyelidikan, perkakasan, perisian
dan aplikasi untuk pembangunan bahasa Melayu? Sebagai satu pandangan umum,
masyarakat perlu memperlihatkan sikap terbuka dan kesediaan untuk menghadapi
cabaran perkembangan yang pesat dalam ICT dengan pengaruh bahasa asing
khususnya bahasa Inggeris. Perlu diakui bahawa bahasa Melayu masih lagi ‘muda’
atau setahun jagung dari sudut peristilahan sains dan teknologi berbanding dengan
bahasa Inggeris. Usaha supaya bahasa Melayu diterima dalam era siber hanya akan
terlaksana jika masyarakat bahasanya mempelajari pengalaman dan kejayaan yang
telah dicapai oleh bahasa Inggeris. Dengan cara dan langkah ini, kita percaya
perkembangan bahasa Melayu akan terus bersemarak seandainya kita bersikap
terbuka. Dengan adanya ilmu sains dan teknologi maklumat dalam bahasa Inggeris,
kita boleh menterjemahkan ke dalam bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu.
Secara langsung, bahasa Melayu dalam sains dan teknologi maklumat akan terus
meningkat dan berkembang. Mengikut pendapat Prof. Dr. Hashim Hj. Musa, dalam
buku Sosiolinguistik Lanjutan, [ 2009; 61]bahawa penguasaan ilmu, sains dan
teknologi yang tinggi, kemahiran dan kepakaran secara meluas dalam kalangan
rakyat jelata, merupakan faktor utama dalam pembangunan Sumber Daya Tenaga
Manusia sesebuah negara secara menyeluruh, yang menjadi faktor utama pula
kepada pembangunan dan kemajuan negara itu. Penyampaian dan pemahaman
ilmu pengetahuan, sains, teknologi dan kepakaran serta kemahiran dengan cara
yang paling berkesan adalah dengan perantaraan bahasa kebangsaan rakyat jelata
itu sendiri. Oleh yang demikian, walaupun cabaran dalam teknologi maklumat begitu
hebat, bahasa Melayu perlu seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Hal
ini disebabkan, pelbagai maklumat yang terkandung dalam pelbagai jenis teknologi
maklumat yang sedia ada harus terdapat dalam bahasa Melayu ini, benar-benar
sesuai dengan hasrat untuk menyejagatkan bahasa Melayu, dan teknologi maklumat
itu sendiri merupakan saluran yang cukup penting canggih, cekap dan pantas untuk
tujuan tersebut. Oleh itu, bahasa Melayu bukannya perlu bersaing dengan teknologi
maklumat, sebaliknya ia patut bersepadunya dengannya. Dengan cara ini, bahasa
Melayu mampu mengaplikasikan sumber ilmu itu untuk menjanakan maklumat
pelbagai bidang dalam dunia serba teknikal ini.
Dalam abad ke-21, sikap penutur atau masyarakat amat penting dalam
penggunaan bahasa ibunda. Sekiranya sikap penutur tiada kesungguhan atau
perasaan malu menebal dalam diri penutur kerana menggunakan bahasa ibunda,
sudah pasti bahasa ibunda akan terkubur. Oleh yang demikian, bagi bahasa Melayu,
cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya. Jadi ,
abad ke-21 telah memperlihatkan kelemahan terhadap sikap penutur yang tidak
mengambil berat terhadap bahasa kebangsaan mereka. Hal ini disebabkan mereka
sudah terdidik dalam bahasa Inggeris dan lebih selesa bercakap bahasa Inggeris.
Akibatnya, mereka yang tidak mahu menggunakannya telah membentuk satu sikap
tidak ‘kisah’ terhadap bahasa ibunda. Peristilahan dan tutur kata tidak dilakukan
kerana tidak mengikuti perkembangan bahasa Melayu. Apabila disuruh memberi
pendapat dan idea, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Begitulah
apabila ada seminar atau pembentangan walaupun di dalam dewan ada seorang
bukan rakyat Malaysia, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Justeru,
permasalahan ini iaitu sikap penutur merupakan satu cabaran yang perlu ditangani
secara berhati-hati pada abad ke-21 agar bahasa Melayu tidak dipandang rendah
oleh masyarakat sendiri. Nik Safiah Karim dalam buku Sumbangsih, Kumpulan Esei
Mengenang Jasa Asraf, memperkatakan, bahawa bahasa Melayu, cabaran yang
sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya. Yang tidak dapat
dinafikan ialah hakikat kepentingan dan kesesuaian bahasa Inggeris sebagai bahasa
antarabangsa. Jadi, yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat kepentingannya dan
kesesuaian bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Abad ke-21 memang
membawa cabaran kepada bahasa Melayu dari segi persaingan dengan bahasa
Inggeris tetapi tidaklah keadaan ini menjadi satu cabaran besar sehingga
menggugat kedudukan bahasa Melayu. Oleh yang demikian sikap rakyat Malaysia
mesti yakin dengan keupayaan dan kemampuan bahasa kebangsaan. Kita
seharusnya berasa bangga dengan bahasa Melayu kerana kekal sehingga sekarang
dan bangga terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi. Kemudian
sesuaikan dengan keadaan apabila hendak menggunakan bahasa Inggeris.
Ironisnya, langkah ini tidak akan timbul keadaan bahasa Melayu tergugat oleh
bahasa Inggeris.
Belakangan ini, pada abad ke-21 beberapa gejala yang amat
membimbangkan berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pengaruh media
elektronik telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari segi pertuturan,ayat,
istilah, bahasa rojak dan sebagainya. Kerosakan penggunaan bahasa Melayu yang
paling teruk berlaku ialah golongan remaja. Pada abad ke-21, sudah menjadi satu
trend atau ikutan kepada golongan remaja dalam penggunaan bahasa Melayu.
Senario ini cukup membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan segera, sudah
pasti keindahan bahasa Melayu tidak kedengaran atau berkumandang lagi. Berbalik
kepada penggunaan bahasa Melayu, kebanyakan pengacara majlis atau program di
televisyen dan radio dalam pengendalian sesuatu program, sudah menjadi
kewajiban untuk mencampuradukkan bahasa mereka. Dalam mengendalikan
sesuatu program atau rancangan, pengacara pada peringkat awal menggunakan
bahasa Melayu. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku iaitu dalam
pertengahan program hingga akhir, pengacara mencampuradukkan penyampaian
bahasa Melayu dan bahasa Inggeris walaupun programnya lebih kepada berbahasa
Melayu dan penontonnya majoritinya berbangsa Melayu. Memang tidak dapat
dinafikan, rakyat di negara kita mahir dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris. Terdapat pelbagai bentuk dan cara dalam pertuturan mereka.
Mengikut Nik Safiah Karim, [2004], ada kalanya dua bahasa ini berselang-seli ,iaitu
satu ayat dalam satu bahasa diikuti oleh ayat dalam bahasa kedua. Sebagai contoh
ialah “ Saya mengambil keputusan untuk pergi, then I thought I should consult my
father.” Begitulah dengan penggunaan perkataan yang lain iaitu “ Dalam hal ini you
paling best.” “How are you today..harap OKlah.”Keadaan ini sudah menjadi
kebiasaan mana-mana rancangan atau program televisyen pada abad ke-21.
Sekiranya permasalahan ini tidak dibendung, sudah tentu memberi impak atau
cabaran yang besar kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini. Manakala
golongan remaja pula, penggunaan bahasa Melayu mereka cukup membahayakan
dan boleh merosakkan nilai bahasa Melayu. Hal ini disebabkan kecanggihan
teknologi maklumat pada abad ke-21 iaitu penggunaan telefon bimbit. Untuk
menghantar sms kepada rakan-rakan, mereka menggunakan bahasa rojak dan
berlakulah kerancuan bahasa. Menurut Prof Dr. Hashim Hj. Musa, kerancuan
bahasa ialah penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya sama ada dari
segi sintaksis, morfologi, fonologi, kosa kata, istilah dan sebagainya, yang
mengakibatkan kekacauan dan ketidaktekalan dari segi pembentukan ayat, klausa,
frasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan istilah. Di sini , terdapat beberapa perkataan
yang sering disalahgunakan semasa menghantar sms. Misalnya, perkataan-
perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), w’lam (wa’alaikumsalam),
dowang (mereka), tipon (telefon) dan persal (mengapa). Pengubahsuaian juga telah
dibuat kepada kata gantinama seperti sayer (saya), dier (dia) dan nko (engkau).
Begitu juga dengan kata tanya telah diubah suai seperti biler (bila), camner
(bagaimana) dan maner (mana). Kerancuan bahasa Melayu abad ke-21 merupakan
satu cabaran yang boleh merosakkan keteraturan,kehalusan dan keintelektualan
bahasa Melayu, kerana menjejas sistem dan peraturannya yang menyebabkan
kecelaruan dan ketidaktekalannya. Hal ini akan merosakkan martabat dan
kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan dan
bahasa ilmu tinggi, yang akhirnya akan menurunkan maruahnya dan disisihkan
sedikit demi sedikit oleh pengguna bahasanya.
KESIMPULAN
Mampukah bahasa Melayu menghadapi cabaran pada abad ke-21? Daripada
perbincangan di atas, kita telah membincangkan cabaran bahasa Melayu sebelum
dan selepas kemerdekaan secara ringkas.. Pada peringkat ini, bahasa Melayu terus
berkembang tanpa menghadapi masalah. Namun, semasa penjajahan Inggeris
perkembangan bahasa Melayu terus malap dan tidak bermaya. Pejuang-pejuang
bahasa yang mencintai bahasa, terus berjuang untuk memartabatkan bahasa
Melayu. Selepas kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di
sekolah-sekolah dan universiti. Dengan langkah yang sedemikian, nescaya
permasalahan dan cabaran-cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21 dapat
diatasi. Paling penting, masyarakat Malaysia perlu mempunyai sikap bangga diri
terhadap bahasa ibunda kerana pada suatu masa dahulu bahasa Melayu
merupakan bahasa yang telah diterima di peringkat antarabangsa iaitu zaman
Empayar Srivijaya. Pada hari ini, bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang
dianggarkan hampir 250 juta dan bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi untuk
empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura. Hal ini
ditambah lagi bahawa bahasa Melayu pernah berkumandang buat kali pertama di
Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB].Oleh itu, semangat dan jiwa
seumpama ini perlu diikuti,dicontohi dan diteladani oleh masyarakat Malaysia,
pemimpin-pemimpin dan ilmuwan. Saya percaya dengan langkah yang sedemikian,
membolehkan bahasa Melayu menongkah arus pada abad ke-21 dan martabat
bahasa Melayu akan kembali di landasan yang kita ingini.
REFLEKSI
Secara keseluruhannya, melalui tugasan ini,saya dapat memahami bahasa
Melayu merupakan satu senjata yang dapat menyatupadukan semua kaum di
Malaysia. Pada pandangan saya, kerajaan perlu melakukan beberapa perubahan
terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai usaha
mewujudkan perpaduan kaum di negara ini.Kementerian Pengajian Tinggi perlu
menyediakan satu agihan sistem pelajaran paling mudah supaya pelajar dapat
menguasai bahasa Melayu dengan senang dari peringkat rendah hingga ke
peringkat tinggi.
Selain itu, melalui tugasan ini saya dapat gambaran yang jelas tentang
bahasa Melayu yang berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa di negara ini dijamin melaui perkara 152
Perlembagaan Persekutuan, maka secara tidak langsung membuktikan bahawa
bahasa Melayu mampu menjadi alat perpaduan. Pada masa kini dalam menghadapi
cabaran globalisasi bahasa Melayu dilihat menerima kesan yang mendalam.
Oleh kerana, keperluan untuk menguasai bahasa Inggeris semakin mendesak
tetapi pada masa yang sama bahasa kebangsaan kita perlu dipertahankan dan
dimartabatkan., Justeru dalam usaha menguasai bahasa Inggeris , bahasa Melayu
dirasakan kurang sesuai sebagai bahasa pengantara dan serterusnya sebagai
bahasa perpaduan antara kaum. Namun begitu, jika kita memerhati kejayaan negara
maju seperti Jepun dan Korea mampu berjaya menguasai dan menghasilkan
teknologi yang inovatif, kreatif dan saintifik melalui bahasa ibunda mereka. Oleh itu
kita boleh percaya bahawa bahasa Melayu mampu menyatupadukan pelbagai kaum
di Malaysia ini.
Bahasa Malaysia harus digunakan dalam pelbagai situasi. Situasi untuk
menggunakan Bahasa Malaysia harus diwujudkan oleh semua pihak terbabit.
Kepentingan Bahasa Inggeris tidak dinafikan tetapi setiap rakyat Malaysia
sepatutnya fasih berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia. Dan kelebihan
inilah yang harus digunakan untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum yang memiliki
bahasa ibunda berbeza. Semangat cinta akan Bahasa Malaysia harus dipupuk sejak
usia muda; sejak bayi. Individu atau kumpulan yang menggunakan Bahasa Malaysia
harus diberi galakan dan pengiktirafan oleh kerajaan.
Pada pendapat saya, saya merasa cukup bangga kerana tidak mengambil
sifat sambil lewa terhadap pembelajaran Bahasa Malaysia di sekolah. Kini, Bahasa
Malaysia menjadi serasi dengan jiwa dan fikiran saya; sama seperti bahasa ibunda
saya. Cara untuk menyemarakkan semangat cintakan Bahasa Malaysia di kalangan
pemuda-pemudi adalah dengan menggalakkan mereka memperluaskan dan
mementingkan penggunaan Bahasa Malaysia dari segi pertuturan, pembacaan dan
penulisan dalam segala aktiviti harian. Generasi muda juga harus diajar sejak kecil
untuk berasa bangga dan menghormati bahasa rasmi negara. Jika Bahasa Malaysia
menjadi lemah, keadaan itu sebenarnya menggambarkan kelemahan dan kelekaan
Bangsa Malaysia
Kesimpulannya, setiap lapisan masyarakat di negara kita harus berganding
bahu untuk meningkatkan kualiti bahasa Melayu. Dengan cara inilah bahasa
kebangsaan kita akan benar-benar menjadi wahana unsur utama menjayakan
gagasan “Satu Malaysia” yang jelas mengungkap konsep “Satu Bahasa, Satu
Malaysia”
Refleksi
Saya berterima kasih kepada tuhan kerana saya dapat menyiapkan dengan jayanya
kerja kursus Bahasa Melayu bagi semester 1 ini . Ribuan terima kasih yang tidak
terhingga saya ucapkan kepada pensyarah saya En. Mohd Paris B Arshad kerana
telah banyak membantu dan memberi banyak pengetahuan baru dalam
melaksanakan kerja kursus ini serta rakan- rakan seperjuang saya. Pada pandangan
saya, kerajaan perlu melakukan beberapa perubahan terhadap sistem pengajaran
dan pembelajaran Bahasa melayu sebagai usaha membangunkan taraf hidup
masyarakat di negara ini.Kementerian Pengajian Tinggi perlu menyediakan satu
agihan sistem pelajaran paling mudah supaya pelajar dapat memahami Bahasa
Melayu dengan senang dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi.
Tugas ini begitu mencabar kerana banyak masa yang perlu saya
peruntukkan. Oleh demikian, kesabaran merupakan perkara penting yang harus
ditanam dalam diri agar saya dapat menghasilkan tugasan yang
mantap.Tugasan ini juga memerlukan saya mengumpul sebanyak mungkin
maklumat yang berkaitan agar ia Memudahkan kerja kursus saya. Selain itu,
tugasan ini begitu memerah keringat saya kerana saya perlu meneliti setiap
nota yang saya perolehi dari perpustakaan dan juga internet. Pada mulanya
saya begitu tertekan kerana saya tidak faham dan tidak tahu cara
melaksanakan tugasan ini. Dengan keprihatinan rakan-rakan seperjuangan,
mereka bermurah hati untuk mengajar saya dan berbincang bersama-sama
untuk menyiapkan tugasan ini. Banyak perkara baru yang saya telah pelajari
terutamanya dalam cabaran pendidikan semasa yang perlu dihadapi oleh guru
masa kini. Selain itu, tugasan ini memberikan input tentang ciri dan kualiti
seorang guru yang bersesuaian dengan globalisasi dan akhir sekali, dengan
maklumat yang diatas saya belajar untuk seorang guru dan peranan profesion
pendidikan dalam masyarakat membangun ini. Pastinya, pengalaman dan
pengetahuan yang telah saya lalui ini akan menjadi panduan berguna kepada
saya apabila menjadi guru kelak.
Walaupun Bahasa melayu menjadi antara mata pelajaran wajib di sekolah,
tanpa corak pembelajaran yang menarik, nescaya Bahasa melayu ini tidak mampu
mempertahankan kedudukannya. Jadi, cara pengajaran dan pembelajaran subjek
Bahasa melayu mesti diberi perhatian oleh semua pihak terbabit.
Kepentingan subjek yang lain tidak dinafikan tetapi setiap rakyat Malaysia
sepatutnya mahir dalam Bahasa Melayu. Dan kelebihan inilah yang harus digunakan
untuk menbangunkan taraf ekonomi Negara kita.
Pada pendapat saya, saya merasa cukup bangga kerana tidak mengambil
sifat sambil lewa terhadap pembelajaran Bahasa melayu di sekolah. Kini, Bahasa
melayu menjadi serasi dengan jiwa dan fikiran saya; sama seperti Subjek yang lain.
Akhir kata, saya begitu bersyukur serta gembira kerana dapat juga saya
siapkan kerja kursus ini dengan jayanya walaupun pelbagai halangan terpaksa
saya hadapi sepanjang proses melaksanakan tugasan ini.
Sekian,Terima Kasih.
Bibliography
Awang Sariyan. [Penyelenggara]. (2004). Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang
Jasa Asraf. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Rashid Melebek & Amat Juhari Moain. (2006). Sejarah
Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd
Awang Sariyan [Penyusun] (2002). Prosiding Kongres Bahasa dan Persuratan
Melayu IV. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Had Salleh. (1981). Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa
Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Darwis Harahap[ Penyelenggara] (2004) . Mutiara Budi. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
David, Wade. (1999). “Vanishing Culture” dalam National Geographic
Jil.196 , No.2 hlm 62-89,
Hashim Hj. Musa. (2009). BBM 5203 Sosiolinguistik Lanjutan. Serdang: Universiti
Putra Malaysia..
Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu, Apa Sudah Jadi?
Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.
Nik Safiah Karim. (2004). Bahasa Melayu Sedekad Lalu: Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain (1982). Pembinaan Bahasa Melayu
Perancangan Bahasa Di Malaysia. Kuala Lumpur: Deawan Bahasa dan Pustaka.
Siti Rosnah Haji Ahmad. (2001). Bahasa Melayu An Introduction To Malay Language
And Culture, Kuala Lumpur: Golden Books Centre.