Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia
-
Upload
nurul-shamira -
Category
Documents
-
view
322 -
download
15
description
Transcript of Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia
Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum di Malaysia
Bahasa memainkan peranan yang penting dalam
masyarakat apatah lagi dalam masyarakat yang pelbagai bangsa,
berbilang agama dan mengamalkan cara hidup yang berlainan.
Berdasarkan konteks negara kita, bahasa Malaysia telah
membuktikan kemampuannya dalam menyatukan seluruh
bangsa yang ada di negara ini sejak negara mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957.
Bahasa Melayu merupakan lambang jati diri, bahasa perpaduan
dan bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu juga
menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara
bangsa Malaysia. Bahasa ini menampakkan penggunaannya
dalam pelbagai perisian dan kesantunan. Selain itu, bahasa
Melayu menggambarkan bangsa yang berkuasa serta wahana
politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara
bangsanya. Oleh sebab itu, bahasa Melayu mampu menyatukan
seluruh bangsa di Malaysia.
Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Dato Seri Najib Tun
Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia adalah amat bermakna
untuk semua kaum. Perbezaan bahasa bukan lagi penghalang ke
arah usaha murni kerajaan ini kerana kita adalah satu bangsa,
satu bahasa dalam Gagasan 1 Malaysia. Isu-Isu Bahasa Melayu
Sebagai Wadah Penyatuan Bangsa Cetusan idea Perdana
Menteri Malaysia melalui Gagasan 1 Malaysia adalah ingin
membentuk satu identiti masyarakat Malaysia melalui budaya
dan aspek terpenting untuk membentuk satu budaya ialah
melalui satu bahasa dan satu suara.
Esei
Bahasa Melayu memainkan peranan penting sebagai asas
pembinaan negara. Sesungguhnya Perkara 152 Perlembagaan
Persekutuan telah mengiktiraf dan mengisytiharkan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara.
Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum dan sangat
memerlukan satu bahasa sebagai panduan. Bahasa ini pula boleh
difahami oleh setiap kaum. Oleh yang demikian, dengan
termaktubnya Perkara 152 mendapati negara mempunyai asas
yang kukuh untuk membina sebuah negara.
Setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Contohnya
Negara Jepun dengan bahasa Jepunnya, Negara Jerman dengan
bahasa Jermannya dan Negara Perancis dengan bahasa
Perancisnya. Hal ini kerana bahasa mempunyai lambang. Begitu
juga bahasa Melayu mempunyai lambang jati diri iaitu sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu. Hasrat
ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara
152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara
ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri
warganegara Malaysia. Oleh hal demikian, Bahasa Melayu
memainkan peranan sebagai lambang Negara Malysia di persada
dunia. Dengan hal demikian, bahasa Melayu berperanan sebagai
perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud
kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam
Wawasan 2020.
Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan
mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus
daripada keseluruhan warganegara di Malaysia. Kaum utama
yang lain ialah kaum Cina dan India. Bahasa Melayu telah
dipilih kerana majoriti jumlah penduduknya di negara ini.
Bahasa ini wajib diketahui oleh setiap kaum kerana bahasa ini
menjadi bahasa utama dalam konteks hubungan antara kaum.
Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak
dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata
itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai alat untuk
meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan anatara
penduduk yang berbilang kaum.
Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa
pengantar ilmu pengetahuan. Perkara ini terkandung dalam
Laporan Razak pada tahun 1957 dan 1961 setelah melaksanakan
syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman
Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib.
Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu
digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu
diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar
dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu
menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan
berdaulat. Demi memupuk perpaduan kaum di negara ini, maka
dalam Laporan Razak 1956 dinyatakan bahawa, tujuan akhir
dasar pendidikan negara ini adalah untuk menyatukan murid
yang berlainan bangsa di bawah satu sistem pendidikan
kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai
bahasa pengantar. Walau bagaimanapun, kemajuan ke arah ini
hendaklah dilaksanakan dengan berperingkat-peringkat dan
tidak boleh dipaksa secara mendadak. Berdasarkan Laporan
Razak jelas bahawa dasar pendidikan yang dilaksanakan dapat
membentuk perpaduan kaum di negara ini.
Bahasa Melayu telah memungkinkan berlangsungnya
pendemokrasian pendidikan sebagai bahasa ilmu. Buktinya,
sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam
bahasa kebangsaan, tanpa kekangan faktor taraf sosio-ekonomi
dan pengasingan etnik serta keeksklusifan bahasa penghantar
ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris. Jutaan
lepasan sekolah aliran kebangsaan telah terhasil dan merekalah
yang menjadi tonggak pembangunan negara dalam pelbagai
bidang.
Meskipun pada tahap pengajian tinggi, khususnya yang
melanjutkan pengajian di luar negara, memperoleh ilmu dalam
bahasa asing, kenyataan yang tidak dapat dinafikan ialah
bahawa sehingga peringkat menengah atas sekurang-kurangnya,
iaitu peringkat yang memberikan ilmu dan kemahiran asas
kepada pelajar, pendidikan disampaikan dalam bahasa
kebangsaan. Tuntasnya, bahasa Malaysia telah membuktikan
keberkesanannya sebagai alat penyatuan kaum, yang menjadi
jambatan menghubungkan pelbagai etnik di negara ini, bahasa
peringkat tinggi di universiti dan mampu pula dikuasai oleh
pelbagai pemimpin politik sungguhpun mereka datang daripada
pelbagai kepentingan yang berteraskan kaum masing-masing.
Bahasa Melayu berperanan untuk menjadi bahasa yang
cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Bahkan
semua bahasa di dunia ini mempunyai hak tersebut. Pengguna
bahasa yang mahu melihat bahasa kebangsaan mereka berfungsi
dengan cemerlang selaras dengan perkembangan bangsanya
mestilah berusaha menjadikan bahasanya lebih baik dan
dihormati daripada bahasa yang ‘dipinjam’ semata-mata untuk
menunjukkkan status penutur, dan bukannya untuk
menyerlahkan kegemilangan bangsa penutur itu sendiri. Oleh
hal demikian, penduduk di negara bangsa Malaysia ini perlulah
dengan penuh keyakinan apabila mengunakan bahasa Melayu
untuk memartabatkan bahasa ini di persada antarabangsa.
Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa kebangsaan
yang mencerminkan pengunaannya dalam pelbagai perisiannya
dan kesantunanya. Tingkat ilmu dan tingkat keperisian itu dapat
diukur melalui laras bahasanya manakala nilai estetika
keluwesan bahasa ini menjadi pengukur kesantunannya. Bahasa
Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain terkenal dengan
ciri-ciri ketimuran, seperti lemah lembut, beradab, dan berbudi
bahasa. Oleh sebab itu, bangsa Malaysia harus menggunakan
bahasa Melayu yang baku dan yang mempunyai nilai estetika
dan nilai kesantunan.
Bahasa Melayu sebgai bahasa kebangsaan berperanan
sebagai wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan
bahasa negara bangsanya. Bahasa yang dapat membina negara,
bangsanya seharusnya dapat juga melahirkan pengguna bahasa
yang berkualiti, berkuasa dan berketerampilan. Maka, lebih
banyak kumpulan penutur yang berkuasa dalam penggunaan
bahasa Melayu perlu dipupuk. Mereka ialah yang terdiri
daripada ahli politik, ahli korporat, golongan professional,
pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar
sekolah, dan alimasyarakat. Kehadiran kumpulan ini dapat
mengembangkan bahasa itu dengan terancang, meliputi pelbagai
bidang. Contohnya, jika ahli politik dan ahli profesional
mempunyai daya ungkapan yang tinggi dan bermutu melalui
bahasa Melayu, bahasa itu akan dilihat sebagai berkuasa dalam
arenanya.
Bahasa yang berkuasa menggambarkan bangsa yang
berkuasa. Ungkapan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ menunjukkan
bahawa sesuatu bahasa itu dapat maju jika bangsa itu pun maju.
Namun begitu, untuk mengetengahkan bahasa Melayu, bahasa
lain tidak perlu ditolak. Dalam eraglobalisasi, pengetahuan
tantang bahasa lain amat perlu dan tidak merugikan bangsa.
Bangsa itu akan maju dengan mempelajari ilmu pengetahuan
daripada bahasa lain, lalu disebarkan ilmu kepada bangsanya
melalui pengetahuan yang sudah dialih ke dalam bahasa Melayu
melalui usaha penerbitan bahan bacaan.
Sejarah membuktikan bahawa perpaduan amatlah sukar
dicapai oleh masyarakat pelbagai bangsa dan etnik tetapi bukan
mustahil. Laporan Razak (1956) meletakkan asas bagi
perkembangan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan
melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua, bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum
kebangsaan, sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang
sama bagi semua sekolah. Sebaik mencapai kemerdekaan, usaha
ditumpukan untuk mewujudkan satu sistem pelajaran
kebangsaan. Sehubungan itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal
berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang
mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan
Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh
Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan
jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta
Pelajaran 1961 yang menggariskan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta
penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua
pelajar.
Persoalan besar yang dihadapi para pemimpin dan pendidik
selepas merdeka ialah mencari formula untuk melahirkan satu
masyarakat Malaysia yang bersatupadu, yakni masyarakat
majmuk yang mempunyai keazaman, kesanggupan dan
kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta
mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai sebagai
rakyat Malaysia. Bahasa digunakan untuk membangkitkan
kesedaran bahawa bahasa penting sebagai pembentuk kesatuan
politik yang disebut `negara' atau negara bangsa. Satu cara yang
penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara
ialah menerusi pendidikan. Berdasarkan konteks Malaysia,
hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam
membina kerakyatan yang tunggal telah lama disedari. Cara
paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang
kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa
kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan
persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat
diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini
mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum
di negara ini.
Bahasa Melayu boleh berfungsi sebagai bahasa perpaduan
merupakan senjata paling ampuh dalam menyatukan bangsa di
Malaysia. Perpaduan atau solidariti dapat ditafsirkan sebagai
satu proses yang menyatupadukan rakyat dan seluruh
masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta
dan bangga akan tanah air. Perpaduan juga merupakan
penggabungan, pelaburan penyesuaian, kecocokan dan perihal
berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya.
Oleh itu, dapatlah diertikan bahawa bahasa Melayu sebagai
bahasa perpaduan ialah bahasa yang menjadi lambang
penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan di
dalam lingkungan satu kelompok manusia yang berfungsi
sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dalam
sesebuah negara.
Penyata Razak telah digazetkan dan diluluskan menjadi
Ordinan Pelajaran pada tahun 1957. Ordinan ini mewajibkan
semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama
manakala bahasa Melayu pula digunakan sebagai bahasa
pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan
kebangsaan dan menjadi wahana berkesan untuk komunikasi
pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau
bahasa. Penyatuan bangsa di Malaysia sudah pastinya dapat
diwujudkan melalui pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang
menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami.
Penyatuan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa
perpaduan boleh diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni
seperti yang tercatat dalam matlamat pendidikan kebangsaan,
iaitu pembentukan masyarakat yang bersatu padu.
Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsan dan
bahasa perpaduan melonjakkan bahasa ini sebagai satu identiti
bagi masyarakat majmuk sehingga mampu menjadi model
perpaduan bangsa di dunia. Berdasarkan statusnya sebagai
bahasa kebangsaan, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa
komunikasi tidak perlu dipersoalkan lagi apabila rata-rata anak-
anak berinteraksi dengan rakan sebaya di sekolah, majikan dan
pekerja berkomunikasi di pejabat bahkan urusan jual beli di
pasar raya juga kita sering mendengar bahasa Melayu diujarkan.
Hal ini satu perkembangan yang menakjubkan sekali gus
menunjukkan bahasa Melayu sentiasa berupaya menyesuaikan
dirinya dengan keperluan semasa. Minat anak muda daripada
pelbagai bangsa menggunakan bahasa ini menjadikan bahasa
Melayu akan terus berkembang sebagai alat perpaduan utama.
Refleksi
Kesimpulannya, Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh
Perdana Menteri adalah selangkah di hadapan kita. Perbezaan
bahasa bukan lagi penghalang ke arah usaha murni kerajaan ini
kerana kita adalah satu bangsa, satu bahasa dalam Gagasan 1
Malaysia. Tambahan pula, penggunaan bahasa Melayu sebagai
alat penyatuan bangsa haruslah dilihat dengan lebih telus
memandangkan akar penyatuan bangsa hendaklah diasaskan
pada kedudukan bangsa Melayu yang menjadi asas budaya di
Malaysia. Oleh yang demikian memartabatkan bahasa Melayu
adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang remeh
oleh mana-mana pihak. Kemajuan dari segi budaya, komunikasi
dan pendidikan membuatkan kedudukan bahasa Melayu
semakin tercabar dan terhimpit. Bagi mengeluarkan bahasa
Melayu dari kesempitan ini maka rakyat dan pemimpin memain
peranan yang penting untuk melaksanakan peraturan dan
undang-undang untuk memastikan bahasa Melayu terus
berkembang sebagai bahasa perpaduan. Sejarah membuktikan
bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa
perpaduan dengan amat baik dan berkesan sehingga dapat
mewujudkan persefahaman di kalangan penduduk pelbagai etnik
di negara ini. Faktor ini tidak harus dilupakan kerana dengan
adanya perpaduan inilah, maka negara akan membangun dan
maju serta Wawasan 2020 akan tercapai. Malaysia tidak akan
menjadi negara maju dan mapan jika rakyatnya sendiri tidak
mempunyai jati diri mempertahankan kekuatan yang ada.
Bahasa Melayu adalah salah satu kekuatan yang wajib
dipertahankan. Paling penting bahasa Melayu wajib
dimartabatkan sehingga seluruh Malaysia menggunakannya
tanpa rasa segan dan silu.
Bibliografi
Fadzilah, b. A. (1996). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Pahang: PTSPub & Distributor Sdn. Bhd.
Sheela, A. (1993). Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sufean, H. (2002). Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Tajul Ariffin, N. (1993). Sejarah Perkembangan Negara. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Tengku, A. (1990). Perspektif Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.