bahan kerja kursus moral.pdf
-
Upload
wan-hafiy-tgna -
Category
Documents
-
view
256 -
download
0
Transcript of bahan kerja kursus moral.pdf
KEBERKESANAN SUATU KEM MOTIVASI MATEMATIK (PMR) TERHADAP PELAJAR-PELAJAR
TINGKATAN DUA SEKOLAH LUAR BANDAR DISELANGOR
BIRO PENYELIDIKAN D A N PERUNDINGAN INSTITUT TEKNOLOGI M A R A
40450 SHAH ALAM, SELANGOR MALAYSIA
MOHAMAJD-ALI HASSAN HAMIDAH MAIDINSAH
RAZED AH ISMAIL WAN ENY ZARINA WAN ABDUL RAHMAN
1998
COPYRIGHT @ UiTM
KEBERKESANAN SUATU KEM MOTIVASI MATEMATIK (PMR) TERHADAP PELAJAR-
PELAJAR TINGKATAN DUA SEKOLAH LUAR BANDAR DISELANGOR
DISEDIAKAN OLEH
MOHAMAD-AII HASSAN HAMIDAH MAIDINSAII
RAZIDAH ISMAIL WAN ENY ZAJRIN A WAN ABDUL RAHMAN
1998
COPYRIGHT @ UiTM
Tarikh No. Fail Projek
30 Ogos 1998. 20094
Ketua Biro Penyelidikan dan Perundingan ITM Shah Alam
Puan
Laporan Akhir Penyelidikan Keberkesanan Suatu Kem Motivasi Matematik (PMR) Terhadap Pelajar-Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Luar Bandar Di Selangor
Merujuk kepada perkara di atas, bersama-sama ini disertakan tiga (3) naskah Laporan Akhir Penyelidikan bertajuk "Keberkesanan Suatu Kem Motivasi Matematik (PMR) Terhadap Pelajar-Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Luar Bandar Di Selangor" oleh penyelidik-penyelidik dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif dan Jabatan Sains Kejuruteraan.
Sekian, terima kasih.
Yang benar
Prof Dr Mohamad Ali Hassan Ketua Projek Penyelidikan Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif
disertakan:
COPYRIGHT @ UiTM
KUMPULAN PENYELIDIK
PROF DR MOHAMAD ALI HASSAN KETUA PROJEK
HAMIDAH MAIDINSAH AHLI
RAZIDAH ISMAIL AHLI
WAN ENY ZARINA WAN ABDUL RAHMAN AHLI
COPYRIGHT @ UiTM
PENGHARGAAN
Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung
bagi membolehkan Penyelidikan ini disiapkan dengan sempurna
Di antaranya:
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor
Pengetua, Guru Pengiring Serta Murid-murid Dari
Sekolah Menengah Bagan Tekap, Sungai Besar Sekolah Menengah Syed Mashor, Batang Kali
Sekolah Menengah Dato' Harun, Tanjong Karang Sekolah Menengah Seri Desa, Tanjong Karang
Sekolah Menengah Munshi Abdullah, Sabak Bernam Sekolah Menengah Sungai Burong, Tanjong Karang
Sekolah Menengah Gedangsa, Hulu Selangor dan
Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman Putra, Sabak Bernam
Pensyarah Matematik Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif, ITM
Pensyarah Matematik Jabatan Sains Kejuruteraan, ITM
Pelajar-Pelajar Kelab Matematik Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif, ITM
i COPYRIGHT @ UiTM
ABSTRAK
Sebuah kem motivasi matematik untuk pelajar tingkatan dua telah diadakan selama
tiga hari. Laporan ini membentangkan hasil penilaian kem motivasi tersebut dari segi
keberkesanannya menukar sikap peserta terhadap matematik. Aspek-aspek sikap
yang diukur adalah keyakinan pelajar terhadap matematik, persepsi pelajar tentang
kegunaan matematik, kegerunan pelajar terhadap matematik, dan motivasi pelajar
untuk mempelajari matematik. Peserta kem diminta memberikan respon kepada
soalselidik sebelum dan selepas kem. Analisis menunjukkan bahawa peserta
memberikan respon yang lebih positif selepas kem berbanding dengan sebelum kem,
terhadap 20 daripada 24 pernyataan dalam soalselidik yang diberikan. Ujian tanda
menunjukkan, lapan daripada pernyataan itu memberikan perbezaan positif yang
bererti. Enam daripada pernyataan ini adalah yang berkaitan dengan keyakinan
pelajar terhadap matematik dan kegerunan pelajar terhadap matematik. Kem tersebut
juga dinilai dari segi perjalanan setiap aktivitinya dan perjalanan kem secara
menyeluruh.
ii COPYRIGHT @ UiTM
I s i KANDUNGAN
MUKA SURAT
PENGHARGAAN i
ABSTRAK ii
ISI KANDUNGAN iii
SENARAILAMPLRAN iv
1.0 LATAR BELAKANG 1
2.0 KEPENTINGAN MENILAI PROJEK KEM MOTIVASI 4 MATEMATIK PMR
2.1 Sikap 6
3.0 KAEDAH PENILAIAN 8
4.0 ANALISIS DATA 10
4.1 Perubahan Sikap 10
4.2 Keberkesanan Aktiviti Kem 16
5.0 PERBINCANGAN DAN RUMUSAN 18
6.0 PENUTUP 20
RUJUKAN
iii COPYRIGHT @ UiTM
SENARAI LAMPIRAN
LAMPIRAN TAJUK MUKA
SURAT
A MIN DAN PERATUS A1 - A2
B CERAMAH: • Apa Itu Matematik B1 • Kegelisahan Matematik B2
C PERT AND INGAN • Bakat Matematik CI • Burumatik C2 • Kreativiti Matematik C3
D BENGKEL • Mari Buat Matematik D1 • Mari Berfikir D2
E SOALSELIDIK • Sikap Peserta E 1 - E 5
F SOALSELIDIK • Keberkesanan Pengisian Kem F1 - F3
iv COPYRIGHT @ UiTM
LATAR BELAKANG
Akhir-akhir ini kemerosotan pencapaian para pelajar dalam peperiksaan
matematik PMR dan SPM sering menjadi perbincangan. Peratus kelulusan
matematik SPM 1994 ialah 52.8%, iaitu pencapaian yang terendah berbanding
dengan mata pelajaran lain. Peratus kelulusan matematik PMR 1994 pula
ialah 87.6%. Menurut kajian Kementerian Pendidikan, jurang yang wujud di
antara pencapaian pelajar luar bandar dan pelajar di bandar agak ketara (Berita
Harian, 4/9/95).
Hasil daripada keputusan yang tidak memuaskan ini, Kementerian Pendidikan
meletakkan sasaran untuk meningkatkan kelulusan matematik SPM 1995
hingga 70% (Dandan Abdullah, 1995). Berbagai aktiviti telah dirancang
untuk meningkatkan prestasi pencapaian matematik para pelajar. Di antaranya
ialah Projek Gerak Gempur, Klinik Matematik, Latih Tubi, Kiraan Pantas,
Seminar dan Kem Motivasi. Keputusan matematik SPM untuk tahun 1996
meningkat kepada 70% lulus.
Sikap para pelajar terhadap sains, khususnya matematik, semakin merisaukan.
Ramai daripada para pelajar semakin menjauhkan diri daripada mengambil
bidang sains, termasuklah pelajar yang cemerlang. Mereka tidak mahu lagi
belajar matematik dengan lebih mendalam. Kadangkala usaha untuk
meningkatkan pencapaian matematik boleh menimbulkan pandangan dan
COPYRIGHT @ UiTM
sikap yang negatif terhadap matematik. Apa yang lebih penting yang ingin
diserapkan dalam diri pelajar tersebut ialah sikap yang positif terhadap
matematik. Salah satu sikap yang sering dikaji ialah keyakinan diri dalam
mempelajari matematik (Kulm, 1980; McLeod, 1992; Reyes, 1984).
Keyakinan diri dalam mempelajari matematik dikatakan berhubungkait rapat
dengan kejayaan pelajar dalam matematik. Dengan sikap yang positif juga
diharap para pelajar mahu meneruskan bidang pembelajaran yang
berorientasikan matematik dan seterusnya memilih kerjaya yang dapat
memenuhi era kemajuan teknologi yang ingin dikecapi.
Sebagai satu usaha tambahan untuk meningkatkan prestasi matematik di
sekolah, pensyarah-pensyarah Matematik di Institut Teknologi MARA (ITM),
Shah Alam telah mengambil inisiatif untuk- mengadakan suatu program yang
dinamakan Kem Motivasi Matematik PMR. Di antara objektif kem ini ialah
untuk memperlihatkan kepada peserta, yang terdiri daripada pelajar sekolah,
bahawa matematik itu menyeronokkan. Penghayatannya dalam kehidupan
harian boleh diperlihatkan melalui pelbagai aktiviti. Dengan cara ini akan
menggalakkan para pelajar mempelajari matematik ke peringkat yang lebih
tinggi dan membantu pelajar mengatasi sindrom kegelisahan atau keresahan
terhadap matematik, jika ada.
Kem Motivasi Matematik PMR ini akan dicadangkan supaya dijadikan aktiviti
tahunan dan dijalankan di semua cawangan ITM. Oleh itu keberkesanan
program yang dijalankan seharusnya dinilai supaya semua pihak yang terlibat
mendapat manfaatnya. Sekiranya program ini dapat memberi gambaran yang
2 COPYRIGHT @ UiTM
positif terhadap matematik dan sesungguhnya matematik itu menyeronokkan,
maka harapan supaya para pelajar itu suka kepada matematik juga dirasakan
akan cerah. Mengikut McLeod (1992) pencapaian matematik dan sikap
pelajar terhadap matematik mempunyai korelasi yang positif dan kuat. Oleh •
itu, jika sikap pelajar terhadap matematik dapat dijadikan lebih positif,
pencapaian matematik pelajar berkenaan juga secara tidak langsung, akan
dapat ditingkatkan. Jika sikap yang positif terhadap matematik dapat
dipertingkatkan melalui kem ini maka kem yang serupa bolehlah diteruskan di
samping diperbaiki programnya.
Kem motivasi matematik yang dinilai ini ialah kem yang kedua yang
dijalankan dan telah diadakan pada 26 hingga 28 November 1995 di kampus
ITM Shah Alam. Kem ini telah dihadiri oleh 123 orang pelajar tingkatan dua
(dalam lingkungan umur 13-14 tahun). Daripada 123 orang pelajar ini, 63
orang adalah pelajar lelaki dan 60 orang adalah pelajar perempuan. Mereka
dipilih dari 8 buah sekolah luar bandar. Sekolah-sekolah yang terlibat ialah
Sekolah Menengah Bagan Tekap, Sungai Besar, Sekolah Menengah Syed
Mashor, Batang Kali, Hulu Selangor, Sekolah Menengah Dato' Harun,
Tanjong Karang, Sekolah Menengah Seri Desa, Tanjong Karang, Sekolah
Menengah Munshi Abdullah, Sabak Bernam, Sekolah Menengah Sungai
Burong, Tanjong Karang, Sekolah Menengah Gedangsa, Hulu Selangor dan
Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman Putra, Sabak Bernam. Para pelajar
tersebut menginap di Kolej Jati, ITM dan mengikuti program yang telah
dirancang oleh pensyarah matematik ITM dan dibantu oleh pelajar ITM.
Seramai lebih kurang 40 orang pelajar ITM dan 20 orang pensyarah telah
3 COPYRIGHT @ UiTM
terlibat. Di antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan ialah Senamatik, Sesi
Mari Berfikir, Ceramah, Bakat Matematik, Kreativiti Dalam Matematik dan
Mari Buat Matematik.
2.0 KEPENTINGAN MENILAI PROJEK KEM MOTIVASI MATEMATIK PMR
Penilaian mempunyai berbagai-bagai takrif dan kegunaan. Mengikut Kamus
Dewan (1994), penilaian ialah perihal menilai, yang mana nilai bermaksud
taksiran harga, kadar, nisbah, darjat, kualiti, mutu, atau taraf. Dengan itu,
penilaian bolehlah ditafsirkan sebagai satu proses untuk meletakkan nilai
kepada sesuatu melalui pemberian amaun, kualiti, atau keberkesanan ke atas
perkara yang dinilai itu. Yap, Wan dan Ismail (1985) mentakrifkan
"penilaian" dalam pendidikan dan pembelajaran sebagai satu aktiviti untuk
mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu
objektif pengajaran atau pembelajaran. Mereka berpendapat proses penilaian
melibatkan pengukuran, analisis dan penilaian. Oleh itu, dalam proses
menilai, seseorang penilai perlu mengumpul data melalui pengukuran sesuatu
aspek hasil program yang dinilai, kemudian membuat analisis ke atas data
yang dikumpul itu, dan akhirnya barulah penilai itu boleh menginterpretasi
data dan memberi nilai kepada program yang dinilai.
Sebagai manusia kita sentiasa terlibat dalam proses menilai. Kita menilai
apabila kita membeli-belah. Kita juga menilai apabila kita memilih kawan
atau pasangan hidup. Apabila kita hendak mengundi dalam satu pilihanraya,
4 COPYRIGHT @ UiTM
kita menilai calon yang bertanding dan parti yag diwakili calon berkenaan.
Dalam konteks yang disebutkan di atas, penilaian ialah satu tindakan
persendirian di mana seseorang itu memberikan nilai yang dia sendiri rasakan
kepada sesuatu perkara yang dinilai. Orang lain mungkin memberikan nilai
yang berlainan kepada perkara yang sama mengikut perasaan mereka pula.
Dari segi profesional pula, penilaian telah menjadi satu bidang pengkhususan
yang memerlukan latihan dan kepakaran yang tertentu. Ianya memerlukan
seseorang menghurai, membuat pertimbangan dan menulis cadangan yang
boleh dipertahankan.
Penilaian menjadi satu aktiviti penting atas sebab-sebab profesional dan juga
politik. Pengurus dan perancang profesional menilai kerana mereka mahu
meningkatkan kualiti perlaksanaan dan seterusnya mempastikan keberkesanan
program yang dilaksanakan. Dari segi politik pula, penilaian diperlukan untuk
menggalakkan kebertanggungjawaban (accountability) secara keseluruhan.
Penilaian boleh dilakukan secara dalaman (oleh pelaksana program sendiri)
atau secara luaran (oleh satu kumpulan luar yang dilantik). Penilaian Kem
Motivasi PMR yang dijalankan oleh pensyarah matematik ITM ini
dilaksanakan secara dalaman oleh kerana ianya menggunakan sumber yang
agak kecil dan juga hasil penilaian boleh digunakan terus untuk memperbaiki
keberkesanan kem yang berikutnya. Penilaian luaran boleh dilaksanakan jika
sumber kewangan ada dan juga jika ianya diperlukan oleh pihak yang
membiayai program ini.
5 COPYRIGHT @ UiTM
Dalam laporan ini, penilaian bermaksud suatu aktiviti atau proses yang
dijalankan untuk membuat pertimbangan dan memberikan kualiti atau mutu
kepada setiap aktiviti yang dijalankan dalam program yang dinilai dan juga
keberkesanan program dari segi pencapaian objektif program. Di antara lain,
objektif penting kem yang hendak dinilai ialah sama ada kem tersebut telah
dapat menukar sikap peserta kem terhadap matematik. Walau bagaimanapun,
sikap melibatkan perasaan, iaitu satu pengalaman yang abstrak dan dengan itu
sukar diketahui dan diukur (Abu-Bakar, 1995).
Selain daripada menilai hasil program dari segi kesannya kepada peserta,
penilaian juga dibuat ke atas setiap aktiviti kem. Dengan itu, setiap aktiviti
kem dinilai untuk mengenalpasti kelemahan perjalanan aktiviti tersebut dan
manfaat yang didapati oleh peserta kem melalui aktiviti itu.
Seperti yang disebut sebelum ini, Kem Motivasi Matematik PMR ini akan
dicadangkan untuk dijadikan aktiviti tahunan dan diadakan di semua
cawangan ITM. Oleh itu keberkesanan program yang dijalankan
seharusnyalah dinilai supaya semua pihak yang terlibat mendapat manfaatnya.
2.1 Sikap
Kajian mendapati sikap (attitude) pelajar terhadap matematik
berhubung rapat dengan pencapaian matematik. Sikap yang positif
menghasilkan pembelajaran yang positif. Sikap-sikap yang biasa
diukur ialah keyakinan, kegelisahan/kegerunan, minat/motivasi dan
kesedaran terhadap kepentingan matematik (White, 1959).
6 COPYRIGHT @ UiTM
Meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan matematik melalui
aktiviti yang menghubungkaitkan matematik dengan kehidupan harian
boleh meningkatkan pencapaian dan keberterusan (persistence) dalam
pembelajaran matematik pada masa akan datang (Iben, 1991).
Hubungan antara pencapaian matematik dan sikap pelajar terhadap
matematik agak kuat (Mohamad-Ali, 1994). Pelajar yang mendapat
pencapaian yang baik mempunyai skor (mata) yang tinggi dalam
kesedaran tentang kepentingan matematik daripada pelajar yang lemah
matematik.
Keyakinan adalah satu faktor pembelajaran yang sangat berkesan
dalam meningkatkan motivasi dan pencapaian matematik.
Kloosterman (1988) mendapati bahawa pelajar yang mempunyai
keyakinan yang tinggi juga menunjukkan pencapaian yang lebih baik
daripada pelajar yang sebaliknya.
Sikap gelisah atau gerun terhadap matematik boleh dikatakan ada
kaitannya dengan keyakinan. Rasa gerun atau gelisah terhadap
matematik boleh membantut seseorang daripada belajar atau menerima
sesuatu ilmu dengan tenang. Ramai orang yang mengaku bahawa
mereka amat gelisah atau tidak selesa bila berada dalam situasi yang
ada kaitan dengan matematik (Fennema, 1976). Untuk menghilangkan
rasa takut itu maka matematik haruslah dijadikan sesuatu yang seronok
dan selalu dibuat, dialami dalam kehidupan seharian.
7 COPYRIGHT @ UiTM
Minat atau motivasi terhadap matematik boleh diukur dari segi
bagaimana sikap seseorang menyelesaikan sesuatu masalah. White
(1959) menyatakan bahawa salah satu faktor penggerak kendiri
manusia ialah motivasi. Kekuatan faktor motivasi/minat itu boleh
diukur daripada kurangnya seseorang itu membuat latihan/masalah
matematik hinggalah ke peringkat di mana seseorang itu berasa
seronok dan sentiasa suka rasa tercabar dengan masalah matematik.
KAEDAH PENILAIAN
Maklumat untuk penilaian telah diperolehi melalui soalselidik yang diedarkan
semasa Kem Motivasi Matematik. Dua jenis soalselidik telah disediakan; satu
untuk mengukur perubahan sikap peserta dan satu lagi untuk mengukur
keberkesanan pengisian kem (Lampiran E dan F).
Untuk mengukur perubahan sikap peserta, satu soalselidik yang mengandungi
24 pernyataan mengenai sikap yang telah diedarkan kepada 123 peserta kem
di awal kem dan soalselidik yang mengandungi pernyataan yang sama juga
diberikan di akhir kem. Sikap yang diukur adalah Keyakinan pelajar terhadap
matematik (YAKIN), Persepsi pelajar tentang kegunaan matematik (GUNA),
Kegerunan pelajar terhadap matematik (GERUN) dan Motivasi pelajar untuk
mempelajari matematik (MOTIV). Setiap sikap ini diukur melalui respon
peserta kepada 6 pernyataan; 3 pernyataan positif dan 3 pernyataan negatif.
8 COPYRIGHT @ UiTM
Pernyataan yang dipilih itu (Fennema & Sherman, 1976; Mohamad-Ali, 1995)
disusun secara rawak. Bagi setiap pernyataan, peserta diminta memilih dan
menanda satu daripada lima pilihan jawapan yang disediakan, iaitu Amat
Setuju (AS), Setuju (S), Tidak Pasti (TP), Tidak Setuju (TS), dan Amat Tidak
Setuju (ATS). Setiap respon diberi kiraan mata seperti berikut:
Res poii/ Pernyataan
Amat Sctuju (AS)
Sctuju (S)
Tidak Pasti (TP)
Tidak Sctuju (TS)
Amat Tidak Setuju (ATS)
positif 5 4 3 2 1
negatif 1 2 3 4 5
Untuk mengukur keberkesanan pengisian kem, peserta diberikan satu
soalselidik yang mengandungi 7 pernyataan bagi aktiviti berbentuk ceramah, 5
pernyataan bagi aktiviti berbentuk peraduan dan 9 pernyataan bagi aktiviti
berbentuk bengkel. Kiraan mata yang sama digunakan untuk soalselidik ini.
Perisian SPSS (Statistical Package for Social Science) digunakan untuk
menganalisis data yang diperolehi. Analisis frekuensi dan ujian tak
berparameter (non parametric test) digunakan untuk menentukan perubahan
sikap sebelum dan selepas kem. Analisis kebolehpercayaan (reliability
analysis) digunakan untuk mengukur kekonsistenan setiap pernyataan, secara
individu atau gabungan (Norusis, 1986).
Analisis reliabiliti yang mengira pekali reliabiliti (Cronbach's a), dilakukan
terhadap setiap skel untuk menentukan yang setiap pernyataan dalam sesuatu
skel itu memberikan keputusan yang konsisten. Cronbach's a memberikan
9 COPYRIGHT @ UiTM
ukuran ke atas kekonsistenan (consistency) setiap pernyataan dalam sesuatu
skel. Nilai a = 1.0 memberi makna bahawa respon yang diberikan kepada
semua pernyataan bagi suatu skel itu adalah berkorelasi secara sempurna
(perfect). Reliabiliti sifar bermakna skel itu tidak berguna langsung dan
pernyataan yang digabungkan dalam skel itu tidak berkaitan antara satu
dengan lain. Oleh itu, pernyataan yang dikumpulkan dalam skel berkenaan
tidak mungkin mengukur sikap yang sama. Biasanya, pekali reliabiliti .70
atau lebih dikira sebagai baik tetapi pekali yang lebih rendah juga telah
diterima oleh banyak penyelidik, walaupun ianya mungkin melemahkan
keyakinan terhadap keputusan yang boleh diambil berasaskan data yang
didapati daripada penyelidikan itu (Henerson, Morris, & Fitz-Gibbon, 1978).
ANALISIS DATA
Penganalisisan data dibahagikan kepada dua bahagian; iaitu perubahan sikap
peserta dan keberkesanan aktiviti kem.
4.1 Perubahan Sikap
Tujuan utama kajian ini ialah untuk menentukan sama ada sebuah kem
motivasi matematik bagi pelajar-pelajar tingkatan dua dari beberapa
buah sekolah di negeri Selangor, yang diadakan pada 26-28 November
1995 memberi kesan kepada sikap pelajar tersebut terhadap matematik.
Empat aspek sikap yang dinilai diukur melalui respon peserta kem
10 COPYRIGHT @ UiTM
kepada enara pernyataan bagi setiap satu sikap. Perbandingan dibuat
di antara respon sebelum kem dan respon selepas kem. Pada mulanya
setiap sikap ini dinilai dengan menggunakan enam pernyataan secara
bergabung dalam satu skel. Kebolehpercayaan (reliability) pernyataan
diuji dengan mengira pekali reliabiliti.
Keputusan analisis kebolehpercayaan menunjukkan yang pekali
reliabiliti (Cronbach's a ) bagi skel Kegerunan Pelajar Terhadap
Matematik (GERUN) ialah .57 bagi analisis sebelum kem, .66 bagi
analisis selepas kem. Bagi skel Persepsi Pelajar Tentang Kegunaan
Matematik (GUNA) pula, pekali reliabiliti untuk analisis sebelum kem,
analisis selepas kem dan data berkumpul ialah masing-masing .52, dan
.60. Pekali reliabiliti bagi skel Motivasi Pelajar Untuk Mempelajari
Matematik (MOTIV) adalah masing-masing .73, dan .74. Akhirnya,
pekali reliabiliti untuk skel Keyakinan Pelajar Terhadap Matematik
(YAKIN) ialah masing-masing .28, dan .75. Keputusan bagi pekali
reliabiliti ini menunjukkan bahawa skel yang diukur itu memberikan
reliabiliti yang terlalu rendah kecuali skel MOTIV. Ini bermakna,
selain daripada skel MOTIV, pernyataan yang dikumpulkan tidak
boleh dikatakan mengukur aspek yang sama. Umpamanya, dalam skel
GERUN, pernyataan seperti (a) Saya ingin bebas daripada belenggu
matematik, (b) Saya berasa selesa dan seronok bila mencuba
matematik, (c) Perkataan matematik membuatkan saya rasa loya, (d)
Saya suka jika diberikan kerja rumah matematik yang banyak, (e) Saya
selalu gementar menghadapai pelajar an matematik, dan (f) Ujian
11 COPYRIGHT @ UiTM
matematik tidak merisaukan saya, yang dipilih sebagai pernyataan
yang mewakili kegerunan pelajar terhadap matematik, tidak
menghasilkan respon yang konsisten dari responden dan dengan itu
tidak boleh dianalisis sebagai satu skel. Keputusan yang didapati ini
tidak menghairankan kerana pernyataan yang dikumpulkan dalam
setiap skel itu banyak yang difikirkan sendiri dan tidak diuji untuk
kebolehpercayaan terlebih dahulu.
Dengan hasil yang diperolehi, keputusan dibuat untuk tidak
menganalisis data mengikut skel tetapi setiap pernyataan dianalisis
sebagai pernyataan yang berasingan dengan cuma merujuk kepada skel
sebagai panduan kasar. Setiap pernyataan diberikan skor berasaskan
min kepada mata yang diberikan oleh peserta untuk pernyataan itu.
Perbandingan dibuat bagi setiap pernyataan berasaskan skor ini,
sebelum dan selepas kem. Oleh kerana pernyataan ini dianalisis secara
berasingan dan tidak dikumpulkan dalam skel ujian analisis, varians
tidak sesuai digunakan utnuk menentukan perbezaan atau pertukaran.
Untuk menguji sama ada perbezaan yang didapati itu bererti atau tidak,
ujian tanda (Sign test) telah digunakan. Bagi setiap pernyataan,
hipotesis nol yang diuji ialah bahawa tidak ada perbezaan respon
peserta kem kepada pernyataan itu sebelum dan selepas kem. Ujian
dua hala digunakan dan hipotesis alternatif ialah bahawa ada
perbezaan di antara respon peserta kepada pernyataan yang berkenaan
sebelum dan selepas kem dijalankan. Paras keertian yang digunakan
ialah .10.
12 COPYRIGHT @ UiTM
Dalam aspek Persepsi Pelajar Tentang Kegunaan Matematik (GUNA),
kesemua enam pernyataan memberikan skor lebih daripada 3.7 bagi
soalselidik yang dilaksanakan sebelum kem sementara soalselidik
selepas kem menghasilkan skor yang lebih daripada 3.9 (Lampiran A).
Walau bagaimanapun, cuma satu pernyataan yang menunjukkan
perbezaan yang boleh dikira besar, iaitu pernyataan Matematik boleh
memberikan kerjaya yang 'glamour'. Kebanyakan pernyataan ini
tidak memberikan pertukaran yang besar selepas kem mungkin kerana,
dalam semua pernyataan dalam aspek kegunaan matematik ini, skor
sebelum kem adalah sedia tinggi dan selepas kem, ianya tidak boleh
lebih tinggi daripada itu. Umpamanya, dalam pernyataan Mempelajari
matematik hanyalah membuang masa sahaja (skor 4.75 sebelum kem
dan 4.68 selepas kem), peratus yang tidak setuju dan amat tidak setuju
sebelum kem ialah 97.6 (120 orang) sementara peratus yang tidak
setuju dan amat tidak setuju selepas kem ialah 96 (118 orang). Skor
sebelum kem bagi pernyataan Matematik boleh memberikan kerjaya
yang 'glamour' ini ialah 3.77 sementara skor selepas kem ialah 4.02.
Dari segi peratusan pula, 60.2 peratus (74 orang) memberi respon
setuju dan amat setuju dengan pernyataan ini sebelum kem, sementara
peratusan dalam kategori yang sama selepas kem ialah 72.3 (89
orang). Ujian tanda (Sign test) menunjukkan cuma pernyataan
Matematik boleh memberikan kerjaya yang 'glamour' memberikan
perbezaan yang bererti (P=.054) dengan 43 kes mempunyai perbezaan
positif, 26 kes mempunyai perbezaan negatif, sementara 54 kes seri
(tiada perbezaan).
13 COPYRIGHT @ UiTM
Pernyataan dalam aspek Keyakinan Pelajar Terhadap Matematik
(YAKIN), pula menunjukkan hasil yang lebih menggalakkan. Dalam
semua enam pernyataan skor menunjukkan respon selepas kem adalah
lebih tinggi daripada respon sebelum kem. Skor dalam dua pernyataan
adalah lebih daripada 4.0, iaitu pernyataan Saya yakin saya boleh
belajar matematik (4.11 sebelum kem dan 4.23 selepas kem), dan Saya
yakin boleh dapat markah matematik yang baik dalam PMR (4.02
sebelum kem dan 4.13 selepas kem). Lebih daripada 70 peratus
responden menyatakan mereka bersetuju atau amat bersetuju dengan
kedua-dua pernyataan ini. Walau bagaimanapun cuma dua pernyataan
memberikan perbezaan yang bererti mengikut ujian tanda. Pernyataan
Saya tiada masalah dengan sebarang soalan matematik (2.62 sebelum
kem dan 2.81 selepas kem) menunjukkan perbezaan yang bererti
(P=.013) dengan 36 kes menunjukkan perbezaan positif, 17 kes
perbezaan negatif dan 70 kes tiada perbezaan. Pernyataan Matematik
telah menjadi darah daging saya (3.11 sebelum kem dan 3.35 selepas
kem) menunjukkan perbezaan yang bererti ,(P=.001) dengan 36
perbezaan positif, 11 perbezaan negatif, dan 76 tiada perbezaan.
Dalam aspek Kegerunan Pelajar Terhadap Matematik (GERUN),
semua enam pernyataan menunjukkan pertambahan skor selepas kem
berbanding dengan skor sebelum kem, walaupun pertambahan ini
dikira kecil. Dua pernyataan memberikan skor lebih daripada 4.0, iaitu
Saya berasa selesa dan seronok bila mencuba matematik (4.08
sebelum kem dan 4.09 selepas kem), dan Perkataan matematik
14 COPYRIGHT @ UiTM
membuatkan saya berasa loya (4.49 sebelum kem dan 4.59 selepas
kem). Respon kepada kedua-dua pernyataan ini menunjukkan bahawa
responden tidak berasa gerun apabila berhadapan dengan matematik
atau apabila disebut perkataan matematik. Lebih daripada 80 peratus
responden bersetuju atau amat bersetuju dengan pernyataan pertama,
iaitu mereka berasa seronok dan selesa bila mencuba matematik.
Cuma 2.4 peratus (3 orang) daripada responden memberikan respon
yang negatif terhadap pernyataan ini, iaitu mereka tidak bersetuju atau
amat tidak bersetuju dengan pernyataan ini selepas dan sebelum kem.
Walau bagaimanapun, dalam aspek yang sama, skor bagi pernyataan
Ujian matematik tidak merisaukan saya boleh dikira agak rendah (2.91
sebelum kem dan 3.24 selepas kem). Peratus responden yang bersetuju
dan amat bersetuju dengan pernyataan ini ialah 36.5 peratus (45 orang)
sebelum kem dan 43.5 peratus (53 orang) selepas kem. Ini bermakna
walaupun mereka seronok mencuba matematik, masih ramai yang
risau apabila berhadapan dengan ujian matematik. Ujian tanda
menunjukkan bahawa tiga pernyataan memberikan perbezaan yang
bererti pada tahap P bersamaan dengan .1. Pernyataan yang
dimaksudkan ialah Perkataan matematik membuat saya berasa loya
(P=.080), Saya selalu gementar menghadapi mata pelajaran
matematik (P=.099), dan Ujian matematik tidak merisaukan saya
(P=.001). Dalam pernyataan yang terakhir ini, 43 kes menunjukkan
perbezaan yang positif, 17 menunjukkan perbezaan yang negatif, dan
62 kes tiada perbezaan.
15 COPYRIGHT @ UiTM
Dalam aspek Motivasi Pelajar Untuk Mempelajari Matematik
(MOTIV), kesemua enam pernyataan memberikan skor yang lebih
tinggi selepas kem berbanding dengan skor sebelum kem. Namun
begitu cuma satu pernyataan yang memberikan perbezaan yang bererti
mengikut ujian tanda. Pernyataan ini ialah Matematik tidak ada
'umph' bagi saya (P=.055), dengan 30 kes perbezaan positif, 16 kes
perbezaan negatif, dan 76 kes tiada perbezaan. Bagi pernyataan ini
peratus yang tak bersetuju dan amat tidak bersetuju sebelum kem ialah
86.1 (106 orang), sementara peratus ini naik kepada 91.9 (113 orang)
selepas kem. Skor sebelum dan selepas kem ialah masing-masing 4.16
dan 4.32.
Keberkesanan aktiviti kem
Penilaian aktiviti program berasaskan jenis aktiviti juga dijalankan.
Ada tiga jenis aktiviti dan setiap jenis dinilai dengan meminta peserta
mengisi borang penilaian yang berasingan sebaik sahaja setiap aktiviti
selesai dijalankan. Aktiviti yang dimaksudkan ialah aktiviti berbentuk
ceramah (Apa itu matematik, dan Kegelisahan matematik), aktiviti
berbentuk peraduan (Bakat matematik, Burumatik, dan Kreativiti
matematik), dan aktiviti berbentuk bengkel (Mari buat matematik, dan
Bengkel mari berfikir).
Peserta diberikan satu soalselidik mengandungi tujuh pernyataan bagi
aktiviti berbentuk ceramah, lima pernyataan bagi aktiviti berbentuk
peraduan dan sembilan pernyataan bagi aktiviti berbentuk bengkel.
16 COPYRIGHT @ UiTM