Bab 1 Pendahuluan Pembudayaan Penulisan Isu-isu...
Transcript of Bab 1 Pendahuluan Pembudayaan Penulisan Isu-isu...
-
Bab 1
Pendahuluan
Pembudayaan Penulisan Isu-isu Syariah dan Undang-undang Pemangkin Dinamisme
Kesarjanaan Islam
Md Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya
Teras kecemerlangan akademik sesebuah universiti lazimnya diukur
dari aspek kualiti penghayatan budaya ilmu yang dijadikan sebagai
wadah manifestasi kesarjanaan yang diserlahkan menerusi limpahan
karya ilmiah yang memberi impak terhadap pembentukan jati diri dan
jiwa bangsa serta nilai beragama. Justeru, bagi menyahut cabaran
merealisasikan hasrat untuk melonjak kecemerlangan dan
memartabatkan kesarjanaan berasaskan pembudayaan penulisan maka
segenap daya usaha dan fikiran perlu dikerah untuk melakar tindakan
yang praktis agar hasrat tersebut mampu diterjemahkan menjadi
kenyataan.
Perkataan pembudayaan terbit daripada kata dasar budaya yang
bermaksud tamadun atau peradaban. Ia juga membawa maksud
kemajuan fikiran atau akal budi seperti cara seseorang berfikir atau
berkelakuan. Pembudayaan bermaksud proses atau cara
membudayakan sesuatu atau melazimkan sesuatu seperti ilmu dan
pemikiran (Kamus Dewan Edisi 4). Manakala, penulisan pula
mempunyai konotasi dengan perihal atau kegiatan menulis, mengarang
dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi 4). Justeru, rangkai kata
pembudayaan penulisan membawa pengertian membudayakan aktiviti
menulis atau mengarang dan menjadikan kegiatan tersebut sebagai
amalan dalam kehidupan bagi menyuburkan ketamadunan dan
peradaban manusia.
Seiring dengan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah
mengorak langkah memacu aktiviti penerbitan dengan mengadaptasi
budaya penulisan karya ilmiah ke dalam acuan sasaran pencapaian
Bidang Keberhasilan Utama (Key Result Areas-KRA) secara bersepadu
khususnya dalam konteks menghasilkan penyelidikan dan inovasi
berimpak tinggi (Buletin FPI Futuristik, bil.1 2015).
-
Isu Syariah & Undang-undang Siri 21 2
Bagi menjayakan gagasan itu, UKM telah menggariskan beberapa
usaha atau inisiatif yang perlu dilaksanakan pada tahun 2015 antaranya
ialah memperkasa pelan penggantian penyelidik tersohor,
meningkatkan projek penyelidikan yang berimpak dan seterusnya
melonjakkan penulisan di kalangan penyelidik dan pelajar. Sejajar
dengan usaha ini, UKM telah melancarkan Kempen Tahun Melonjak
Penerbitan 2015 yang telah dilancarkan pada 24 Februari 2015 dalam
Program Bicara KRA Siri 2 bertujuan untuk menyahut cabaran perdana
2015 iaitu untuk melonjak penulisan di kalangan penyelidik dan pelajar
(Buletin Keberhasilan Strategik, bil. 2: April 2015).
Berhubung hasrat ini, Jabatan Syariah telah lama membudayakan
penulisan isu-isu syariah dan undang-undang hasil pencerakinan para
sarjana sebagai pemangkin untuk menyerlahkan dinamisme
kesarjanaan Islam di persada kebangsan dan antarabangsa.
Buktinya, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM telah
menerbitkan siri keluaran pertama buku Isu Syariah dan Undang-
undang yang bertajuk Isu-isu Syariah dan Undang-undang (Siri
Kumpulan Kertas Kerja) yang diilhamkan dan dijelmakan pada tahun
1988 dan berterusan hingga kini (2015) dengan menyusul Isu Syariah
dan Undang-Undang Siri 21 (Md Yazid et. al 2014) Justeru itu,
sebanyak 156 makalah yang telah dihasilkan oleh para sarjana dalam
20 siri keluarannya sepanjang 26 tahun penerbitannya.
Sejajar dengan tema, korpus isu-isu syariah dan undang-undang
kali ke 21 ini menggarap dan merungkai kepelbagaian isu dan
permasalahan dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan bernegara
dalam bidang-bidang tertentu. Bidang-bidang yang menjadi tumpuan
ialah kehartaan Islam, kehakiman dan perundangan Islam, undang-
undang jenayah Islam dan sivil, kekeluargaan Islam, kewangan dan
ekonomi Islam serta muamalat. Bab satu yang dihasilkan oleh Md
Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar dan Mohammad Zaini Yahaya selaku sidang penyunting, membuka tirai perbincangan dengan
mengulas secara komprehensif korpus makalah yang terkandung dalam
buku ini dengan memusatkan kepada aspek isu-isu syariah dan undang-
undang yang melingkari kehidupan umat Islam di Malaysia.
Perbincangan berhubung bidang kehartaan Islam dimulakan
menerusi bab kedua. Siti Syarwani Ghazali, Mohd Zamro Muda,
Md. Yazid Ahmad dan Noor Lizza Mohamed Said mengupas secara
kritis berhubung perluasan tafsiran harta wakaf sebagai pendekatan
signifikan bagi memperkasa bidang perwakafan agar seiring dengan
kedinamikan arus modenisasi sebagai pemangkin untuk menjana
ekonomi ummah tanpa tersasar daripada landasan syarak.
Penganalisisan dimulakan dengan huraian tafsiran harta wakaf menurut
ulama klasik dan undang-undang di Malaysia. Seterusnya perbincangan
menjurus kepada prinsip kriteria harta wakaf dan prinsip pengekalan
-
Pembudayaan Penulisan Isu Syariah dan Undang-undang 3
dalam perwakafan di samping menyentuh status hak maknawi atau
harta yang bersifat intangible sebagai harta wakaf hingga menjangkau
kedudukan harta intelek sebagai harta wakaf.
Kesinambungan perbincangan bidang kehartaan ini diteruskan
dalam bab ketiga yang memperkatakan tentang ilmu faraid dalam
Kurikulum Pendidikan Islam KBSM. Noor Lizza Mohamed Said,
Zulquarnain bin Ali, Md Yazid Ahmad dan Ahmad Muhammad
Husni melihat sejauh mana persepsi masyarakat yang meliputi orang
awam, guru-guru dan pegawai-pegawai kurikulum Pendidikan Islam
terhadap keperluan ilmu faraid dalam Kurikulum Pendidikan Islam
KBSM. Berdasarkan hasil dapatan yang diperolehi, majoriti masyarakat
hanya mengetahui sebahagian kecil asas ilmu faraid. Sungguhpun
demikian, mereka bersetuju bahawa ilmu faraid perlu diajar dalam
kurikulum Pendidikan Islam KBSM selaras dengan pandangan guru-
guru dan pegawai-pegawai Pendidikan Islam. Pendedahan awal
pendidikan asas ilmu faraid yang terarah kepada pelapis generasi Islam
seterusnya merupakan teras pemulihan kejahilan tentang undang-
undang pusaka Islam yang membelenggu masyarakat Islam di
Malaysia. Sehubungan dengan itu, pegawai-pegawai kurikulum Unit
Pendidikan Islam di Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian
Pelajaran Malaysia juga telah menunjukkan persepsi yang baik
terhadap kajian ini dengan memberikan reaksi yang positif dan bersedia
memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memasukkan ilmu faraid
dalam kurikulum KBSM. Justeru itu, tindakan yang proaktif perlu
dilakar bagi merealisasikan gagasan ini yang boleh diangkat sebagai
wadah untuk memartabatkan sistem pusaka Islam di Malaysia.
Dalam dimensi perbincangan yang lain, bab empat mengutarakan perbincangan berkaitan pelaksanaan permohonan Perintah Faraid menurut undang-undang Islam di Mahkamah Syariah di Malaysia. Md. Yazid Ahmad, Mohd Zamro Muda, Noor Lizza Mohamed Said dan Zamzuri Zakaria meneliti perkara-perkara berhubung pelaksanaan permohonan Perintah Faraid yang meliputi kategori harta dan klasifikasi nilaian kes faraid di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, peruntukan Perintah Faraid dalam Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri dan pelaksanaan prosedur permohonan Perintah Faraid di Mahkamah Syariah. Kupasan perbincangan secara deskriptif ini telah diadun dengan analisis ringkas dan dijalin dengan isu-isu tertentu berhubung pelaksanaannya yang perlu diambil serius demi untuk menyerlahkan kewibawaan Mahkamah Syariah di Malaysia.
Seterusnya, perbincangan yang menjurus kepada bidang kehakiman Islam dipaparkan dalam bab kelima melalui makalah Nur Aina Abdulah dan Ibnor Azli Ibrahim. Dalam bab ini, perbincangan yang diutarakan membawa tumpuan khalayak pembaca menelusuri evolusi konsep Istiqlal al-Qada (kebebasan kehakiman) dari aspek sejarah
-
Isu Syariah & Undang-undang Siri 21 4
bermula daripada zaman Rasululullah SAW sebagai pengasas Istiqlal al-Qada dan peranan baginda dalam mengaplikasikan konsep tersebut sebagai manifestasi pelaksanaan keadilan dalam sistem kehakiman Islam. Namun demikian, pengasingan kuasa kehakiman daripada kuasa eksekutif dan legislatif belum berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Rantaian penceritaan konsep Istiqlal al-Qada ini memasuki fasa baru di zaman al-Khulafa al-Rashidin dan mencapai kematangannya di zaman pemerintahan Sayidina Umar ibn al-Khattab RA melalui pengasingan kuasa daripada badan eksekutif dan legislatif serta elemen-elemen yang boleh mempengaruhi para hakim daripada menegakkan keadilan. Antara contoh pelaksanaan Istiqlal al-Qada dalam kehakiman yang berlaku di zaman al-Khulafa al-Rashidin ialah keharusan hakim membatalkan hukumannya, penolakan terhadap penghakiman berat sebelah dan kesamarataan pihak yang bertelagah. Di akhir perbincangan, Nur Aina Abdulah dan Ibnor Azli Ibrahim merumuskan bahawa sejarah Islam telah membuktikan bahawa konsep kebebasan kehakiman (istiqlal al-qada) adalah sebahagian daripada syariat Islam dan telah dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW lagi.
Bidang perundangan Islam dibincangkan dalam bab keenam yang mengutarakan perbahasan secara kritis mengenai kedudukan sadd al-dharai menurut mazhab Syafii dari sudut kewajarannya sebagai sumber ijtihad meliputi aplikasinya dalam mazhab Syafii dahulu dan sekarang. Sadd al-dharai adalah termasuk dalam sumber hukum yang menggunakan daya keintelektualan minda mujtahid dan ia antara yang diperdebatkan untuk digunakan dalam proses ijtihad. Matlamat makalah yang dihasilkan oleh Ahmad Dahlan Salleh ini adalah untuk mengajak umat Islam memahami pendekatan ijtihad melalui sadd al-dharai dengan memaparkan contoh-contoh pemakaian sadd al-dharai dalam permasalahan semasa agar kesyumulan hukum fiqh Islam tidak dipandang sebagai sesuatu yang sempit. Pemakaian sadd al-dharai juga menyerlahkan lagi hikmah hukum syarak yang tidak mengehadkan tegahan kepada sesuatu hanya melihat kepada zatnya tetapi turut mengira jalan-jalan yang membawa ke arahnya. Justeru itu, melalui penganalisisan beliau, didapati bahawa contoh penggunaannya telah pun diamalkan secara tidak langsung sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat RA lagi dan jumhur fuqaha termasuk Imam Syafii mengiktiraf sadd al-dharai sebagai salah satu sumber ijtihad walaupun terdapat sedikit perselisihan, namun ia hanya berlegar di sekitar bentuk atau cara penggunaannya dan ia tidak mengubah kesepakatan mereka dalam bentuk yang umum.
Pembicaraan berhubung bidang undang-undang jenayah Islam dan sivil dipaparkan dalam bab ketujuh, kelapan dan kesembilan. Melalui bab ini, Ahmad Bin Muhammad Husni, Zaini Nasohah, Amir Husin Mohd Nor, Mohd Al Adib Samuri dan Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim meneliti hukuman tashhir (pendedahan kepada awam) sebagai hukuman alternatif menurut undang-undang Islam dan pelaksanaannya di Malaysia. Antara perkara-perkara yang disentuh
-
Pembudayaan Penulisan Isu Syariah dan Undang-undang 5
ialah kedudukan, jenis-jenis kesalahan dan bentuk-bentuk pembalasan takzir, amalan tashhir dan pelaksanaannya dalam pemerintahan Islam. Makalah ini turut menyoroti dan mengenal pasti peruntukan berbentuk hukuman tashhir dalam undang-undang Islam di Malaysia dan realiti amalan yang berlaku hingga kini. Di hujung penulisan, para penulis merumuskan pelaksanaan hukuman tashhir dalam kerangka takzir masih relevan dalam meniti arus pemodenan sebagai meraikan keluasan maqasid shariah bagi mendepani perbuatan jenayah yang semakin kritikal dewasa ini.
Bab kelapan memaparkan perbahasan berkaitan isu pelaksanaan hukum hudud menurut kerangka perundangan di Malaysia. Kupasan yang dibuat oleh Mohd. Nasran Mohamad, Mohd Al Adib Samuri, Zuliza Mohd Kusrin, Anwar Fakhri Omar dan Mohd Zamro Muda dalam merungkai isu ini adalah berasaskan kedudukan sifat dwi perundangan Malaysia dalam Perlembagaan sama ada bersifat sekular ataupun Islam yang disokong dengan fakta-fakta bagi membenarkan sifat dwi tersebut. Sehubungan dengan itu, mereka juga telah mendedahkan kekangan-kekangan perundangan yang membelenggu pelaksanaan hukum hudud yang dijalin dengan idea-idea positif bagi mendepaninya di samping saranan mengeksploitasi semaksimum mungkin ruang kondusif mesra Islam yang termaktub dalam Perlembagaan untuk memudahkan pelaksanaannya. Di akhir penulisan, para penulis melontarkan cadangan penambahbaikan yang sangat signifikan iaitu reformasi secara menyeluruh dan holistik perlu dilakukan dalam bentuk pindaan, penambahan beberapa peruntukan perundangan serta proviso-proviso berkaitan perlu dimasukkan dalam undang-undang jenayah sedia ada agar pelaksanaan hukum hudud menjadi kenyataan.
Manakala makalah Zaini Nasohah dalam bab kesembilan menganalisis secara kritis lacuna (kelompangan) yang wujud dalam Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam negeri-negeri, rentetan daripada kekaburan dalam pelaksanaannya sekaligus berpotensi mendatangkan masalah justifikasi perundangan jika penguatkuasaan dilakukan. Makalah ini merupakan satu analisis ringkas yang menarik tentang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan hubungannya dengan kontrak sosial yang memberi perlindungan serta keistimewaan kepada Islam yang perlu dihayati bersama dengan semangat Perlembagaan. Huraian yang diutarakan oleh penulis disulami dengan isu-isu yang menimbulkan polemik dan dihiasi dengan persoalan-persoalan yang melingkari intipati perbahasan serta diadun dengan kekurangan-kekurangan yang menzahirkan lacuna dalam undang-undang tersebut menghasilkan jalinan persembahan analisis yang kemas dan tersusun. Di akhir penulisannya, Zaini Nasohah mengesyorkan pihak berautoriti menggerakkan inisiatif untuk menutup ruang kelompangan yang ada dengan cara menggubal dan memperkemas enakmen serta menyemarak
-
Isu Syariah & Undang-undang Siri 21 6
semangat diplomasi antara agama demi memperkukuhkan semangat patriotik dan muhibah di kalangan kaum-kaum di Malaysia bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan sentiasa berkekalan.
Selanjutnya, Zuliza Mohd Kusrin, Zaini Nasohah dan Noor
Lizza Mohd Said dalam bidang undang-undang keluarga Islam
memaparkan kupasan mengenai ketidakpatuhan terhadap prosedur
permohonan poligami di kalangan masyarakat Muslim di Malaysia
menerusi bab kesepuluh. Para penulis menjelaskan bahawa walaupun
telah wujud undang-undang khusus mengawal perkahwinan poligami
tetapi atas alasan birokrasi serta prosedur permohonan poligami yang
ketat telah menyebabkan pasangan yang berhajat untuk berpoligami
melangsungkan perkahwinan di luar Malaysia. Seterusnya mereka
memohon pendaftaran perkahwinan tanpa kebenaran di jabatan agama
Islam, bagi mengesahkan perkahwinan poligami tersebut mengikut
undang-undang pentadbiran keluarga Islam Malaysia. Justeru, di akhir
perbincangan mereka melontarkan pandangan bahawa fenomena yang
berlaku ini jelas membuktikan pelaksanaan hukuman terhadap undang-
undang sedia ada kurang berkesan dan perlu disemak semula bagi
memastikan tujuan undang-undang poligami dipatuhi.
Perbincangan kepelbagaian dimensi merangkumi bidang ekonomi Islam, kewangan Islam dan muamalat dibahaskan dalam tiga bab terakhir iaitu bab kesebelas, keduabelas dan ketigabelas. Dalam bab kesebelas, Nor Fahimah Mohd Razif dan Azlin Alisa Ahmad menjelaskan perbezaan yang signifikan antara perjudian (maysir) dan spekulasi dalam arus kepesatan pembangunan ekonomi dunia melalui kerangka ekonomi Islam. Kedudukan risiko dalam aktiviti maysir yang berasaskan kepada ketidakpastian (gharar) terhadap akibat (majhul al-aqibah) boleh dijadikan sebagai teras pengukur bagi mengenal pasti ciri-ciri maysir untuk menilai transaksi ekonomi moden era kini. Menurut Nor Fahimah Mohd Razif dan Azlin Alisa Ahmad, kedudukan spekulasi dalam ekonomi Islam dapat diukur berdasarkan kepada tiga skala utama iaitu pertama, sama ada perolehan harta atau keuntungan berdasarkan nasib semata-mata, kedua, sama ada pihak yang menang akan mendapat bahagian pihak yang kalah dan yang terakhir sama ada ia terdedah kepada risiko yang tinggi dan risiko tersebut tidak menambah nilai kepada ekonomi negara. Hasil daripada penganalisisan yang dilakukan, mereka merumuskan bahawa pada asasnya spekulasi adalah harus tetapi boleh berubah kepada haram apabila aktiviti tersebut dilakukan secara melampau (excessive speculation) sehingga wujudnya ciri-ciri maysir iaitu jika aktiviti spekulasi bergantung sepenuhnya kepada nasib dan melibatkan risiko yang tinggi serta wujud unsur zero-sum game sehingga membawa kepada perolehan harta secara batil.
Makalah Shofian Ahmad dan Marina Abu Bakar dalam bab kedua belas mengutarakan perbahasan yang menarik mengenai kedudukan saham keutamaan berasaskan prinsip-prinsip yang
-
Pembudayaan Penulisan Isu Syariah dan Undang-undang 7
mendasari akad musharakah yang terpakai dalam konsep saham. Prinsip asas utama yang digunapakai dalam mencerakin permasalahan kedudukan saham keutamaan ini ialah dari aspek pembahagian keuntungan dan kerugian dalam akad musharakah. Adapun hukum saham keutamaan ini bergantung kepada isu sama ada wujud atau tidak sebarang hak-hak keutamaan yang selaras dengan prinsip-prinsip syariah. Sejajar dengan itu, para sarjana Islam tempatan telah mengharuskan saham keutamaan bukan kumulatif berdasarkan konsep tanazul melalui Resolusi Syariah yang dikeluarkan oleh MPS, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Justeru itu, berdasarkan kepada penelitian yang dilakukan para penulis menyimpulkan bahawa saham keutamaan kumulatif adalah haram dalam Islam kerana ia bertentangan dengan tujuan perkongsian untung dan rugi dalam kontrak musyarakah. Namun demikian keharusan saham keutamaan bukan kumulatif berdasarkan konsep tanazul ini masih dipertikaikan oleh para ulama dari sudut penggunaannya yang melibatkan wad untuk melakukan tanazul dalam pembahagian keuntungan dan kerugian oleh pemegang saham biasa kepada pemegang saham keutamaan.
Bab terakhir sebagai penutup tirai buku ini iaitu bab ketigabelas mengemukakan analisis prinsip qar dalam pinjaman TEKUN. Dalam menjelaskan perkara ini, Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani dan Lokmanulhakim Hussain menganalisis perbahasan terhadap akad qar dalam Islam dengan memberi penekanan kepada prinsip-prinsip asas yang wajib dipatuhi dalam akad qar. Selanjutnya, mereka mengupas takyf fiqh bagi skim pinjaman TEKUN sebelum analisis secara kritis dijalankan terhadap beberapa isu-isu Syariah yang timbul dalam mengimplementasi skim pinjaman tersebut. Berdasarkan kepada intipati perbincangan, Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani dan Lokmanulhakim Hussain merumuskan bahawa perlaksanaan aqad qar dalam pinjaman TEKUN hendaklah diperbaiki dan diperhalusi agar bertepatan dengan syarak dan mestilah dikawal selia dengan beberapa prinsip dan awbi khusus yang memelihara akad tersebut daripada termasuk dalam riba yang diharamkan. Jika sebaliknya, maka kesesuaian penggunaan akad qar sebagai asas kepada pinjaman TEKUN hendaklah dinilai semula.
Justeru, kesinambungan tradisi membudayakan penulisan isu-isu syariah dan undang-undang ini perlu diperkasa dan dilestarikan agar khazanah ilmu syariah dan undang-undang sentiasa hidup dan berkembang di samping mensejagatkan nilai-nilai keilmuan yang ada padanya sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di persada antarabangsa demi kesejahteraan sosial manusia sejagat. Korpus isu-isu syariah dan undang-undang yang digarap dalam buku ini dan dipersembahkan dalam bentuk karya ilmiah merupakan hasil sumbangan para sarjana yang diharap dapat dijadikan sebagai rujukan dan solusi bagi mendepani permasalahan semasa umat Islam khususnya di Malaysia.
-
Isu Syariah & Undang-undang Siri 21 8
Rujukan
Buletin FPI Futuristik. 2015. Bil.1. Jun: 3.
Buletin Keberhasilan Strategik. 2015. Bil. 2. April.
Kamus Dewan. 2013. Ed. IV. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Md Yazid, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya. 2014. Pencerakinan Isu Syariah dan Undang-undang Wahana Pelestarian Akademik. Dlm. Md Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya. (pnyt.). Isu Syariah dan Undang-undang Siri 20, hlm. 1-7. Bangi: Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM.