9) Penulisan Esei
-
Upload
amar-safwan -
Category
Documents
-
view
14 -
download
0
description
Transcript of 9) Penulisan Esei
penulisan esei
9
PENULISAN ESEIMalaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh rakyat berbilang kaum daripada
pelbagai latar belakang budaya yang hidup aman dan damai. Integrasi antara kaum ini
seterusnya membentuk budaya Malaysia. Budaya ini menjadi sebahagian daripada budaya
pendidikan di sekolah yang turut meliputi budaya dari segi lokasi, pekerjaan ibu bapa,
pendidikan yang diterima, status ekonomi, sosial, keturunan, kuasa politik, bangsa, bahasa,
adat resam, kepercayaan dan jantina. Justeru itu, bagi mewujudkan suasana pembelajaran
yang kondusif, guru dan pihak sekolah perlu memainkan peranan penting untuk membina
persekitaran bilik darjah yang mesra budaya.
Berdasarkan kajian kes yang telah saya pilih iaitu kajian kes dari Noorsham Muhammad
Din, Zainin Bidin, Isham Ishak, Soong Seng Thah, dan Latip Mohammad yang bertajuk ‘Kajian
Persekolahan Murid Orang Asli’, saya telah mendapati bahawa isu di mana murid-murid
Orang Asli mengalami kesukaran memahami pengajaran guru yang menggunakan
bahasa Melayu telah menjadi isu utama bagi saya di mana isu ini memberi kesan terhadap
amalan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang mesra budaya. Sepertimana
yang kita tahu, masyarakat Orang Asli merupakan salah satu kaum pribumi yang
kebanyakannya tinggal di dalam atau pinggir hutan. Sebahagian besar mereka masih
mengamalkan aktiviti ekonomi tradisional yang berkait rapat dengan persekitaran semula jadi.
Dari segi pendidikan, pencapaian Orang Asli amatlah rendah dan jauh ketinggalan
berbanding dengan pencapaian kelompok etnik yang lain di Malaysia. Kadar keciciran yang
sangat tinggi dalam kalangan murid Orang Asli merupakan isu yang perlu ditangani bersama
supaya sejajar dengan pendemokrasian pendidikan di mana pendidkan adalah untuk semua.
Isu pendidikan terhadap masyarakat Orang Asli ini berpunca daripada kemudahan infrastruktur
dan prasarana yang kurang lengkap di kawasan tempat tinggal mereka. Kemudahan seperti
bekalan elektrik, air bersih, jalan, dan kemudahan yang selesa di sekolah masih tidak dapat
diwujudkan. Kebiasaannya, pembekalan kemudahan-kemudahan seperti ini terhenti sebelum
sampai ke perkampungan Orang Asli. Keadaan sebaliknya berlaku di bandar di mana
kebanyakan sekolah dilengkapi dengan kemudahan asas yang terkini berasaskan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT).
10
Isu daripada kajian kes yang saya kaji ini mempunyai implikasi terhadap amalan
pengajaran dan pembelajaran (p&p) dalam bilik darjah yang mesra budaya yang terbahagi
kepada 6 aspek iaitu persekitaran fizikal, persekitaran sosio-emosi, perhubungan antara
kelompok etnik, pengurusan pengajaran dan pembelajaran, pedagogi relevan budaya, dan
sosiolinguistik. Aspek persekitaran fizikal merupakan aspek yang amat penting dalam
mewujudkan keselesaan kepada murid Orang Asli untuk belajar. Persekitaran fizikal yang tidak
selesa kurang mendorong murid-murid Orang Asli untuk memahami sesuatu pengajaran dan
pembelajaran (p&p) dengan lebih mudah dan bermakna. Seseorang guru perlu memainkan
peranan penting dalam mewujudkan persekitaran fizikal yang sesuai dengan budaya Orang Asli
supaya mereka lebih tertarik dan berminat untuk belajar melalui pendekatan yang dipilih
bersesuaian dengan cara hidup mereka. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan pendekatan
pembelajaran luar bilik darjah dengan menerapkan elemen Sekolah Rimba Malaysia dalam
kalangan murid Orang Asli bagi memenuhi kehendak keperluan mereka. Guru juga seharusnya
menggunakan pendekatan kontekstual di mana contoh-contoh yang digunakan di dalam p&p
haruslah berkait rapat dengan alam sekeliling murid. Sebagai contoh, bagi mengajar topik
teknologi, guru boleh menggunakan sumpit sebagai contoh teknologi yang ada untuk memburu
burung berbanding menggunakan kaedah konvensional iaitu melastik atau membaling dengan
batu. Selain itu, guru digalakkan menggunakan bahan bantu belajar (BBB) yang mempunyai
unsur alam semulajadi sesuai dengan citarasa murid Orang Asli.
Seterusnya adalah aspek persekitaran sosio-emosi. Menurut Woolfolk (1990),
motivasi atau kuasa dalaman akan membangkit, mengarah atau mengawal minat dan tingkah
laku murid. Pengetahuan yang kurang dalam bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu (BM)
telah membuatkan murid Orang Asli berasa rendah diri dan malu untuk bertanya guru atau
melibatkan diri di dalam sesuatu aktiviti p&p. Isu ini telah mewujudkan kesan negatif yang tidak
stabil dalam diri murid Orang Asli dari aspek sosio-emosi. Pengurusan sosio-emosi yang
berkesan akan menjadi perangsang yang dapat membangkitkan dan mengekalkan minat
seseorang murid ke arah mencapai matlamat termasuk minat, sikap, dan tingkah laku terhadap
pembelajaran mereka. Oleh itu, bagi mewujudkan satu persekitaran sosio-emosi yang baik
dalam kalangan murid Orang Asli, seseorang guru harus menerima kekurangan setiap
muridnya dan cuba memberi galakan dan keyakinan kepada mereka untuk bertanya dan
memberi kata-kata semangat serta pujian kepada murid yang dapat bertutur menggunakan
bahasa Melayu dengan baik. Guru tidak boleh berputus asa dan terus berusaha untuk
11
meningkatkan penguasaan murid Orang Asli dalam bahasa Melayu. Hal ini kerana sekiranya
guru tidak mempunyai momentum untuk membangunkan seseorang murid, maka murid akan
hilang fokus dan minatnya pada guru tersebut.
Selain itu, aspek perhubungan antara kelompok etnik juga memainkan peranan
penting dalam mewujudkan suasana bilik darjah yang mesra budaya. Mesra bermaksud suatu
hubungan erat yang terjalin antara individu di dalam suatu masyarakat. Bagi isu yang
dibincangkan, saya mendapati bahawa terdapat kesan negatif yang disebabkan oleh isu ini di
mana kesukaran dalam memahami p&p akan membuatkan murid Orang Asli yang lemah malu
untuk bergaul atau berbincang dengan mereka yang pandai. Hal ini akan mewujudkan jurang
perbezaan dalam kalangan masyarakat Orang Asli itu sendiri. Hubungan yang mesra antara
guru-murid dan murid-murid hanya dapat terjalin apabila suasana persekitaran yang diwujudkan
memberangsangkan minat murid Orang Asli. Sebagai seorang guru, sudah menjadi kemestian
untuk seorang guru itu mengkaji terlebih dahulu latar belakang murid-muridnya. Di dalam
sebuah bilik darjah, terdapat murid yang pelbagai latar belakang atau budaya dan melalui
perbezaan ini ia akan mempengaruhi tingkah laku mereka. Setiap murid bukan sahaja berbeza
dari segi individu seperti dari segi jantina, keistimewaan dan cara pembelajaran yang tertentu,
tetapi mereka juga berbeza dari segi nilai, sikap, tingkah laku dan kebolehan yang mungkin
dipengaruhi oleh latar belakang dan budaya masing-masing. Oleh itu, guru perlu
memperbanyakkan aktiviti-aktiviti berkumpulan yang menggabungkan pelbagai tahap
pencapaian dan kebolehan murid dalam satu kumpulan melalui strategi pembelajaran secara
koperatif supaya dapat meningkatkan nilai kerjasama atara murid dalam kalangan masyarakat
Orang Asli itu sendiri. Tambahan lagi, aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh guru haruslah bersifat
interaktif agar murid Orang Asli menjadi lebih kreatif dan memahami apa yang ingin
disampaikan oleh guru dalam pengajarannya. Guru juga perlu mewujudkan persekitaran yang
mesra antara mereka dengan memasukkan unsur lawak jenaka tanpa menyentuh isu-isu yang
sensitif dalam budaya tersebut yang mampu mengguris perasaan mana-mana murid. Hal ini
secara tidak langsung dapat meningkatkan minat murid untuk belajar dalam bahasa Melayu
walaupun bahasa Melayu bukanlah bahasa pertuturan mereka dalam kehidupan seharian.
Komunikasi dan interaksi berlaku dengan lebih mudah jika menggunakan bahasa yang boleh
difahami oleh kedua-dua pihak.
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah aspek yang terpenting dalam bilik
darjah yang mesra budaya. Ini merupakan tugas utama yang perlu diberi perhatian yang serius
12
di mana pelan tindakan strategik bagi mata pelajaran yang diajar perlu disediakan oleh guru.
Pengurusan guru yang kurang cekap akan membantutkan usaha murid memahami sesuatu
pengajaran tambahan pula pengajaran tersebut diajar di dalam bahasa Melayu di mana bahasa
Melayu bukanlah bahasa pertuturan bagi Orang Asli. Seseorang guru perlu cekap menguruskan
p&p dengan baik melalui kaedah melibatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan
pembelajaran agar murid Orang Asli mudah memahami sesuatu pengajaran atau konsep yang
diajar. Tambahan pula, ia dapat memastikan proses p&p dapat berlaku dengan berkesan dan
bermakna. Guru harus bijak menyesuaikan diri dengan persekitaran dan menggunakan daya
inovasi dan kreativiti mereka dalam membina model-model atau bahan bantu belajar yang
berasaskan alam semula jadi yang wujud di sekitar murid supaya mereka dapat
mengaplikasikan konsep sesuatu pengajaran dalam kehidupan seharian mereka. Selain itu,
pengajaran guru mestilah sesuai dengan tahap pencapaian dan kebolehan murid Orang Asli
serta menggunakan laras bahasa Melayu yang mudah memandangkan murid Orang Asli masih
belum dapat menguasai bahasa Melayu dengan sebaiknya. Guru perlu mahir merancang aktiviti
yang sesuai supaya dapat menggalakkan murid Orang Asli untuk menguasai bahasa Melayu
dengan lebih baik lagi.
Isu kajian ini juga turut memberi kesan kepada aspek pedagogi relevan budaya di
mana kesukaran murid untuk memahami pengajaran guru yang menggunakan bahasa Melayu
adalah disebabkan penggunaan buku teks semata-mata dalam mengajar isi kandungan
kurikulum. Pedagogi yang relevan menggunakan pelbagai strategi pengajaran dan
pembelajaran supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna kepada murid-murid. Oleh itu,
seorang guru perlu mempelbagaikan strategi, kaedah, dan teknik pengajaran yang sesuai
mengikut budaya masyarakat Orang Asli dengan mengaitkan pengajaran guru dengan
kehidupan seharian murid. Guru perlu mengambil kira kepelbagaian yang terdapat dalam diri
setiap murid supaya mereka tidak terpinggir dalam pembelajaran mereka. Sebagai contoh,
seorang guru yang berada di sekolah yang muridnya merupakan masyarakat Orang Asli dan
mengajar Bahasa Melayu, maka guru tersebut boleh menggunakan kaedah mengajar secara
simulasi dengan memberi dialog atau skrip dalam bahasa Melayu untuk dilakonkan di hadapan
kelas. Latihan penggunaan bahasa seperti ini mampu meningkatkan penguasaan bahasa
kebangsaan bagi masyarakat Orang Asli.
Aspek terakhir yang diambil kira di dalam persekitaran bilik darjah yang mesra budaya
adalah dari aspek sosiolinguistik. Sosiolinguistik berkait rapat dengan perhubungan
13
masyarakat dan bahasa yang dituturkan dalam komunikasi seharian. Sepertimana yang
terdapat di dalam kajian kes di atas, murid-murid Orang Asli menghadapi kesukaran dalam
memahami pengajaran guru yang menggunakan bahasa Melayu. Hal ini disebabkan bahasa
Melayu tidak menjadi bahasa komunikasi bagi masyarakat Orang Asli dalam kehidupan
seharian mereka. Bagi mengatasi masalah ini, seseoarang guru perlu memberi perhatian
terhadap kebolehan muridnya untuk berinteraksi dengan menggunakan bahasa Melayu. Guru
boleh menggunakan murid Orang Asli yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Melayu untuk
membantu rakan sebaya yang menghadapi masalah dalam berinteraksi dan berkomunikasi
menggunakan bahasa Melayu. Guru boleh mempamerkan info mengenai budaya dalam kelas
dengan menggunakan pelbagai laras yang mudah difahami supaya semua info dapat diterima
dan difahami oleh murid. Kaedah ini perlu digunakan oleh guru dalam menyampaikan
pengajarannya. Di samping itu, guru juga perlulah mempelajari bahasa Orang Asli supaya
penyampaian pengajaran menjadi lebih berkesan kerana interaksi dua hala dapat diwujudkan
sama ada dalam bahasa Orang Asli mahupun bahasa Melayu. Seseorang guru perlu
merancang aktiviti yang dapat menarik minat murid Orang Asli untuk mempelajari bahasa
Melayu mengikut kehendak mereka sendiri.
Oleh itu, pihak sekolah terutamanya mengambil inisiatif untuk membantu menangani
masalah atau isu pendidikan masyarakat Orang Asli yang telah lama wujud. Guru memainkan
peranan yang penting bagi menguruskan bilik darjah yang mesra supaya dapat membentuk
suasana yang kondusif untuk yang terdiri dari masyarakat Orang Asli. Amalan pedagogi yang
relevan perlu diterapkan supaya motivasi murid sentiasa berada di tahap yang tinggi untuk
menerima proses pembelajaran yang dilaksanakan. Guru harus memastikan bahawa tidak ada
murid murid Orang Asli yang tercicir dari arus pendidikan melalui proses penilaian kerana ia
akan memberikan impak yang negatif kepada pembangunan Negara. Murid yang dikenalpasti
bermasalah perlulah dibantu dengan apa cara sekalipun untuk memberikan peluang pendidikan
yang adil kepada semua.
14