5
description
Transcript of 5
5.4 Rumusan Hasil Kajian
Berikut adalah ringkasan bagi dapatan kajian berdasarkan objektif kajian
(a) Strategi PK memberi kesan terhadap prestasi pelajar..
(d) Strategi PK tidak memberi kesan terhadap hubungan sosial pelajar.
(e) Secara keseluruhan, bagi pelajar yang mengikuti strategi pengajaran dan pembelajaran
PK, mereka berpendapat PK merupakan satu strategi pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan di dalam pendidikan matik
(i) Dari segi pengalaman mengikuti PK, kebanyakan pelajar mendapat pengalaman yang
positif.
(ii) Kebanyakan pelajar bersetuju bahawa elemen-elemen di dalam PK memberi manfaat
kepada mereka.
(iii) Kebanyakan pelajar lebih menggemari cara belajar secara berkumpulan.
5.5 Perbincangan Hasil Kajian
Dapatan kajian dibincangkan sekitar kesan PK terhadap prestasi, atribusi pencapaian,
konsep kendiri akademik dan hubungan sosial. Ulasan berkaitan dengan pandangan
pelajar terhadap perlaksanaan PK dikemukakan ketika membincangkan dapatan-dapatan
tersebut.
5.5.1 Kesan Pembelajaran Koperatif Terhadap Prestasi
Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa prestasi pelajar kumpulan PK lebih tinggi dan
signifikan berbanding dengan pelajar kumpulan PT. Maka, ini menyokong dapatan kajian
lepas yang melibatkan mata pelajaran lain seperti mata pelajaran sains yang dijalankan di
dalam negara, (Siti Rahayah, 1998), dan di luar negara, contohnya mata pelajaran sains
dan matematik (Chang dan Mao,1999; Whicker, Bol dan Nunnery, 1997) . Implikasi
dapatan ini adalah penting kerana ia mencadangkan bahawa PK wajar digunakan di
dalam kelas khususnya di dalam pengajaran perakaunan.
Keberkesanan PK di dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar boleh dikaitkan
dengan kesan strategi tersebut ke atas motivasi pelajar untuk belajar dan ke atas proses
kognitif pelajar (Slavin,1995; 1996; Abrami et al., 1995)
Elemen-elemen di dalam PK berupaya menjadikan pelajar lebih bermotivasi untuk
belajar berdasarkan teori saling bergantung sosial (Johnson dan Johnson, 1998), teori
tingkah laku dan teori kohesif sosial (Slavin,1996). Begitu juga dengan apa yang berlaku
terhadap proses kognitif pelajar seperti yang dijelaskan oleh teori perkembangan kognitif
(Slavin, 1995) dan teori penerangan kognitif (Slavin, 1990) berkait rapat dengan
perlaksanaan PK.
Berdasarkan teori saling bergantung sosial, PK dikatakan mewujudkan saling bergantung
secara positif di kalangan pelajar di dalam sesuatu kumpulan bagi mencapai matlamat
kumpulan. Saling bergantung secara positif digambarkan melalui kerjasama sesama
pelajar yang menggalakkan berlakunya interaksi di dalam sesuatu kumpulan kecil pelajar.
Situasi tersebut mendorong pelajar menjadi lebih bermotivasi untuk belajar. Di dalam
kajian ini, pelajar kumpulan PK menyatakan bahawa antara pengalaman yang mereka
lalui adalah wujud kerjasama di dalam kumpulan dan mereka kerap berbincang serta
bertukar- tukar pendapat. Ketika membuat latihan secara berkumpulan khususnya, antara
aspek positif yang dinyatakan oleh pelajar kumpulan PK adalah latihan berkumpulan
menggalakkan pelajar berbincang sesama rakan, dapat membantu pelajar membina sikap
tolong-menolong dan memberi peluang pelajar bertanya kepada rakan sekumpulan.
Maka, pengalaman pelajar kumpulan PK di dalam kajian ini jelas menyokong teori saling
bergantung sosial.
Manakala menurut teori tingkah laku, pencapaian pelajar meningkat kerana PK
menjadikan pelajar lebih bermotivasi untuk belajar dengan adanya ganjaran kumpulan.
Slavin (1983) berpendapat, ganjaran kumpulan mendorong pelajar untuk saling bantu-
membantu di dalam kumpulan mereka. Di dalam kajian ini, antara aspek positif yang
dinyatakan oleh pelajar berkaitan dengan pengiraan skor kumpulan mendorong setiap ahli
kumpulan untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapat markah yang tinggi dan
persaingan yang wujud antara setiap kumpulan mendorong pelajar untuk bekerjasama
dengan rakan sekumpulan.
Begitu juga dengan pengiktirafan kumpulan turut mendorong pelajar untuk bekerjasama
dan saling tolong-menolong di dalam kumpulan mereka bagi mendapat pelekat bintang.
Dengan kata lain, elemen pengiraan skor kumpulan dan pengiktirafan kumpulan di dalam
kajian ini turut mempengaruhi pelajar untuk lebih bermotivasi untuk belajar berdasarkan
teori tingkah laku.
Sebaliknya, teori kohesif sosial menerangkan bahawa di bawah PK hubungan sesama
pelajar menjadi lebih erat menyebabkan mereka bersedia untuk saling tolong-menolong
rakan-rakan sekumpulan mereka tanpa memikirkan soal ganjaran. Terdapat pelajar
kumpulan PK di dalam kajian ini menceritakan pengalaman mereka seperti yang
dijelaskan oleh teori kohesif sosial. Pelajar menyatakan bahawa dengan adanya
pembahagian kumpulan menyebabkan mereka dapat bekerjasama dengan rakan sekelas
yang lain dan dengan hubungan yang rapat itu menjadikan mereka saling tolong-
menolong. Maka, ini menggambarkan bahawa pelajar kumpulan PK menjadi lebih
bermotivasi untuk belajar juga dapat dijelaskan berdasarkan teori kohesif sosial. PK
berupaya meningkatkan pencapaian pelajar kerana dengan adanya interaksi sesama
mereka menyebabkan berlakunya perubahan dalam kognitif pelajar.
Merujuk kepada teori perkembangan kognitif, Slavin (1995) berpendapat melalui
perbincangan dan bertukar-tukar pendapat di dalam kumpulan pelajar dapat membantu
mereka untuk menguasai konsep-konsep penting. Di dalam membincangkan teori
perkembangan kognitif juga, Woolfolk (1995) mencadangkan situasi interaksi sesama
pelajar adalah perlu untuk membantu proses berfikir pelajar.
Pandangan Slavin dan Woolfolk tersebut selari dengan pernyataan-pernyataan yang
diberikan oleh pelajar kumpulan PK di dalam kajian ini. Pelajar mengakui bahawa
mereka menjadi lebih faham melalui perbincangan dan dapat bertanya kawan apabila
berada di dalam kebuntuan.
Sehubungan dengan itu, teori perkembangan kognitif juga dikaitkan dengan konsep
perkembangan zon proximal yang menyatakan bahawa keupayaan kognitif seseorang
pelajar dapat ditingkatkan dengan bantuan rakan sebaya yang lebih berkebolehan
(Woolfolk, 1995). Salah satu ciri kumpulan PK yang dibentuk adalah berdasarkan tahap
kebolehan yang berbeza. Di dalam kajian ini, pelajar kumpulan PK yang menganggap
diri mereka kurang berkebolehan telah menyatakan bahawa, mereka mendapat bimbingan
daripada rakan-rakan yang berkebolehan melalui aktiviti kerja berkumpulan. Manakala
teori penerangan kognitif menjelaskan bahawa melalui penerangan yang diberikan
kepada rakan menyebabkan berlakunya proses penstrukturan kognitif yang mana ini
membantu proses pengekalan maklumat di dalam ingatan (Slavin, 1990). Penggunaan
teori tersebut sejajar dengan pernyataan yang diberikan oleh pelajar kumpulan PK di
dalam kajian ini. Menurut pelajar, melalui latihan secara berkumpulan menjadikan
mereka lebih faham tentang sesuatu topik apabila mereka menerangkannya kepada rakan
sekumpulan. Dengan kata lain, kesan PK ke atas pencapaian dapat dikaitkan dengan
perlaksanaan PK yang mengkehendaki pelajar yang berbeza tahap kebolehan duduk di
dalam satu kumpulan kecil. Di dalam kumpulan tersebut wujud suasana yang
menggalakkan pelajar berbincang, bertanya kepada rakan-rakan, memberi pandangan,
menyemak sebarang kesilapan yang dilakukan serta saling bantumembantu antara satu
sama lain di dalam masalah pelajaran. Berbanding dengan suasana di dalam kumpulan
tradisional yang berbentuk individu, pelajar melihat guru mereka sebagai satu-satunya
sumber rujukan dan kurang berlaku interaksi antara sesama pelajar melainkan dengan
rakan baik mereka sahaja. Apa yang dapat dirumuskan di sini, dapatan kajian yang
menunjukkan pencapaian pelajar kumpulan PK yang lebih tinggi daripada pelajar
kumpulan tradisional dapat dijelaskan dengan pernyataan yang diberikan oleh pelajar
kumpulan PK. Pada masa yang sama, pernyataan-pernyataan tersebut konsisten dengan
teori-teori yang telah dibincangkan sebelum ini.
Walau bagaimana pun dapatan ini perlu diterima secara berhati-hati kerana kajian ini
berbentuk kuasi eksperimen. Reka bentuk ini digunakan kerana pengagihan subjek secara
rawak tidak dapat dilakukan disebabkan kekangan daripada pengurusan pihak sekolah
yang terlibat.