Post on 01-Apr-2021
1
EMBARGO SEHINGGA DISAMPAIKAN
SEMAK MENGIKUT PENYAMPAIAN
UCAPAN DASAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
DATO’ DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
PADA
PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
2020
27 MAC 2021
2
ۥه
ها ل ٱلغيب مفاتح وعند ورقة من تسق ط وما وٱلبحر ٱلبر فى ما ويعلم ه و إل يعلم
ها إل ت فى حبة ول يعلم ول رطب ول ٱلرض ظ ل م ب فى إل يابس بين كت م
Maksudnya:
“Dan pada sisi Allahlah pemilik kunci kepada semua perkara ghaib; tidak ada
yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia-lah yang mengetahui apa
sahaja yang berlaku di daratan dan di lautan, sehinggakan tiada sehelai daun
pun yang gugur melainkan dalam pengetahuan dan ketentuanNya, dan tidak
pula jatuh walau sebutir biji pun hatta dalam kegelapan bumi, yang basah
mahupun yang kering, melainkan setiap sesuatu ditentukan dan tertulis di
dalam Kitab yang nyata iaitu di Luh Mahfudz"
SIDANG PERWAKILAN PEMUDA SEKALIAN,
1. Saya mulakan ucapan dasar tahun ini dengan memetik surah Al-An‘am
ayat 59, yang begitu dalam maknanya bukan sahaja kepada diri saya
tetapi untuk kita semua.
2. Ayat yang benar-benar menggambarkan betapa besarnya dampak dan
impak, setiap yang berlaku dalam kehidupan kita. Semuanya ditentukan
dan ditakdirkan Allah, sama ada kita sedar ataupun dalam banyak
keadaan berlaku di luar perencanaan kita tanpa terduga.
3. Ya! SIAPA SANGKA badai COVID-19 yang melanda dunia dan negara
pada waktu ini membawa kita buat julung-julung kalinya ke
Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2020, dalam keadaan
3
norma baharu. Tiada lagi sambutan mega sepertimana kelaziman biasa.
Malah perhimpunan tahunan yang dirai bagaikan pesta kerabat besar
parti, hanya mampu diatur dengan serba sederhana!
4. Ya! SIAPA JANGKA sejak Perhimpunan yang lalu, kita bertemu semula
kali ini, dalam keadaan kita tidak lagi menjadi Pembangkang tetapi
sebahagian daripada kita kini kembali dalam Kerajaan! Tidak tergapai
dek pemikiran, tidak terdetik di sanubari, Kerajaan Pakatan Harapan
hanya mampu bertahan 22 bulan, lantas ranap angkara berantakan
berebut kuasa sesama sendiri.
5. Ya! SIAPA JANGKA dua parti induk Melayu-Islam yang berseteru 40
tahun lamanya, akhirnya mempaterikan agenda Penyatuan Ummah
secara bersama di PWTC ini, atas nama PIAGAM MUAFAKAT
NASIONAL, dengan linangan air mata syukur dan hiba.
6. Namun SIAPA SANGKA, belum pun kering deraian air mata, belum pun
reda hilai tawa bersama, kasih yang baharu berputik, terpaksa pula
dikongsi dengan pihak ketiga. Dengan rasa berat hati, kita pasrah
pilihan sahabat kita untuk bermadu, walau hati rasa terluka.
7. Semuanya ini berlaku tanpa diduga, tanpa dijangka. Yang pasti
semuanya sudah termaktub dalam kitab aturan, ditakdirkan oleh Yang
Maha Berkuasa sebagaimana ayat Al-An’am yang saya bacakan tadi.
UJIAN MENGUKUR KESETIAAN
Sahabat-Sahabat Seperjuangan Sekalian,
4
8. “Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”.
Prinsip tawakkal mengajar kita bukan sekadar menyerah kepada
takdir Ilahi semata-mata. Sebaliknya ia wajib disulami dengan ikhtiar
dan dicermati dengan usaha. Malah, ujian yang silih-berganti perlu
didepani dengan insaf, sabar dan penuh bijaksana.
9. Demikian jugalah perihal bahtera UMNO yang pernah diuji dengan
hempasan badai yang ganas, hingga hampir menenggelamkannya.
Tidak sedikit juragan hatta nakhoda terjun meninggalkan bahtera,
lantaran mahu selamatkan diri hingga parti sanggup diketepi.
10. Namun saya amat berbangga dengan kesetiaan para Pemuda di akar
umbi, yang sanggup melalui saat getir, harungi susah senang bersama
mempertahankan bahtera dalam tempoh hampir tiga tahun ini.
11. Sudah tentu kita juga harus berterima kasih kepada Nakhoda utama
Datuk Seri Presiden atas kecekalan dan keberanian, memastikan
bahtera UMNO tidak karam, tanpa kuasa, tanpa jawatan. Bahkan
terpaksa pula berhadapan dengan seribu satu ugutan, rintangan dan
tekanan.
12. Ikrar Pemuda, biarpun seganas mana gelombang menghempas
bahtera, namun membujur lalu melintang patah, tidak sesekali kami
akan pernah menyerah kalah. Biar menderu ribut halilintar menerpa,
biar patah pendayung hatta robek layarnya, Pemuda tetap bersama
kepimpinan pertahan bahtera walau terpaksa berkayuh dengan tangan
hatta jari jemari sekalipun!
5
13. Rupanya roda berputar begitu pantas. Bahtera yang ditakuti karam
bukan sahaja berjaya mengharungi badai, bahkan Tuhan takdirkan kita
kembali ke puncak kuasa, di atas keruntuhan Kerajaan PH yang
bersengketa dan haloba kuasa.
14. Benarlah, kuasa yang dikecap bukan milik mutlak selamanya. Kuasa
dan kepimpinan hanyalah pinjaman Yang Maha Pencipta. Ingatlah
hakikat ini:
ع تشاء من الملك تؤت ي الملك مال ك اللهم قل ن الملك وتنز م ز تشاء م ل تشاء من وتع وتذ
ك تشاء من ير شيء كل على إ نك الخير ب يد قد
Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau
berikan kuasa kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau
cabut kuasa dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan
orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau
kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya
Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Ali Imran [3] : 26)
15. Namun ujian kemenangan ini hakikatnya begitu mencabar sekali.
Bagaikan mengulangi tragedi Peperangan Uhud, nikmat kemenangan
yang dikecap seketika telah mengaburi kewarasan apabila ghanimah
harta di hadapan mata, hingga amanah perjuangan dan perintah
Junjungan mudah dilupa.
16. Demikianlah tamsilan sirah yang bagaikan berulang. Kini, ditakdirkan
kita kembali berkongsi kuasa, hanya untuk memelihara kerajaan buat
seketika. Malangnya! Ramai yang mula lupa diri, lupa daratan. Mungkin
6
ada benarnya singgungan kata-kata pujangga perihal orang lupa diri
tatkala diulit fatamorgana kuasa:
Beriman di mulut, hati berlumut. Beriman di lidah, hati menyalah.
Lidah bercabang, langkah menyilang. Tamak harta, mabuk dunia.
Loba pada pangkat, lupa pada akhirat. Kemaruk puji, lupa diri.
Ke tengah menfitnah, ke tepi mendengki. Ke laut menghasut, ke darat mengumpat.
Ke hulu menipu, ke hilir menyindir. Ke atas mengampu, ke bawah melapah.
Ke gunung menyombong, ke lurah menyumpah.
17. Hakikatnya ujian kuasa dan harta bukanlah mudah untuk dihadapi.
Saat kita sama-sama diuji jatuh kecundang, ternyata kita mampu
melupakan segala sengketa lama, kita boleh pula berganding bahu
meniti bara, sama-sama berdengkit-dengkit, sama-sama merangkak
mengesot, sedikit demi sedikit menulusuri terowong sempit.
18. Namun, tatkala kelihatan sinaran cahaya di hujung terowong, mulalah
menjelma pelbagai kelibat dan watak warga parti yang menzahirkan
warna sebenar diri.
19. Ada yang dulunya bagai merpati dua sejoli, berpimpin tangan
berpisah tiada, tetapi kini “ibarat bunga, mekar dipakai layu dibuang”.
Sikap mereka ini, umpama “biduknya satu, nakhodanya dua”,
lantaran sikap “sayangkan kaki pada terompah”. Ingatlah! “Buruk-
buruk si kayu gaharu (seteruk-teruk Parti UMNO), apabila dibakar
tetap wangi baunya”.
7
20. Ada juga yang dulunya sanggup berjuang bermati-matian, pantang
musuh cabar menyerang, kekuda dipasang, jiwa raga rela
dipertaruhkan. Tetapi, kini dek mabuk kuasa dan harta, taat dan setia
tergamak digadaikan. Rumah sendiri dilayani bagaikan rumah
tumpangan, sanggup tikam belakang, rela buka pekung di dada tak
kira haluan, bahkan biar diri menjadi gunting dalam lipatan, lupa
hakikat diri bahawa parti inilah yang mengangkat mereka pada
kedudukan penuh penghormatan.
21. Kendati begitu, saya ingin mengimbau sejarah Islam lampau yang
berlaku pada zaman Khalifah ke-4 Saidina Ali bin Abi Talib ketika Ali
terpaksa berdepan dengan Mu’awiyyah dalam peperangan Siffin,
yang menyaksikan umat Islam berpecah teruk kepada beberapa
kumpulan besar. Perpecahan ini terjadi tidak lain hanyalah kerana
wujudnya pelbagai kepentingan yang menguasai diri.
22. Kumpulan pertama ialah Ahlu al-Qurra’ yang kemudiannya masyhur
digelar Khawarij, satu kelompok yang berkepentingan diri, berjuang
kerana mengharapkan imbuhan dan ganjaran.
23. Kumpulan kedua adalah kelompok tentera dari Iraq yang ramai
jumlahnya tetapi LOMPONG PERJUANGAN, bahkan mudah goyah
cepat mengalah tatkala disogok tentera Mu’awiyyah.
24. Kumpulan ketiga pula ialah orang-orang Ansar. Biarpun kecil sahaja
bilangannya, namun tetap teguh di belakang Ali, walau diuji dengan
harta.
8
25. Ujian bermula tatkala Khalifah Ali akur untuk berunding
menamatkan sengketa. Namun ditentang puak Khawarij. Mereka
mula memberontak, mengadu domba cetus kesangsian terhadap
kepimpinan Ali. Dengan slogan
حكمل لل إل
“Tidak ada hukum kecuali milik Allah”
Kononnya merekalah pejuang sejati menyatukan umat.
26. Sebaliknya mereka inilah sebenarnya pengkhianat, bertopengkan
agama dan retorik dengan madah berhelah, kononnya umat perlu
bersatu kerana Allah, tetapi hakikatnya ‘pepat di luar rencong di
dalam’. Saidina Ali dengan tegas membidas:
ل الب هايرادحق كل مة باط
“Ungkapan yang diluahkan itu benar, tapi punya maksud yang jahat”
27. Apakah sejarah kini berulang kembali? Dinamika politik kini juga
menyaksikan timbul watak-watak manusia seperti ini, penuh
berkepentingan dan licik bermain wayang. Ditarik dia menanduk,
digiring dia menyepak. Diberi sejengkal hendak sehasta. Diberi
sehasta hendak sedepa. Diberi madu dibalas tuba. Diberi berkuku kita
pula hendak dicengkamnya.
28. Buat mereka ini, Pemuda UMNO juga mahu membidas:
Ketika Kuat Lembut Menguntum Bicara pesona dalamnya mendomba Resam berpakat tidak menikam Gelora dusta punca sengketa
9
Serai malang sekerat di gusi Manisan sendiri dimakan jiran Ramai curang menjual diri Perikatan dicari tinggalkan teman Jika sepat menghalang belida, Ikan yang dipukat mencelah jala, Jika khianat bersarang di dada, Kesatuan yang erat terpisah jua
KELANGSUNGAN AGENDA KEBANGKITAN
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
29. Segala mehnah dan ujian yang kita lalui bersama, cukup untuk menguji
tahap kesetiaan kita kepada idealisme dan prinsip perjuangan. Setia
kepada perjuangan bukan hanya di saat kesenangan. Setia kepada
perjuangan bukan hanya ketika berkedudukan. Setia kepada perjuangan
bukan juga di waktu diuji dengan serba kepayahan.
30. Sebaliknya setia yang sejati adalah di saat kita harus membuat
perhitungan besar, antara mempertahankan parti biarpun menjadi lilin
membakar diri, atau merelakan diri diperlakukan semahunya bak
lembu dicucuk hidung oleh tuan yang mendedaknya. Mereka ini
kadangkala terlupa atau buat-buat lupa bahawa tuan dedaknya itu,
umpama serigala berbulu kambing, penuh muslihat, licik tingkah
olahnya.
31. Namun, jangan ingat UMNO ini seperti “kambing kecil, merentak tidak
memutus tali, berantuk tidak melambung bumi”. UMNO masih punya
10
maruah dan harga diri. Jangan cuba-cuba menjolok sarang tebuan.
Kerana sengatannya masih berbisa lagi.
32. Pemuda berpendirian tegas, mendesak agar kepimpinan parti tidak lagi
memberi muka kepada golongan ini. Jangan sesekali diberi tempat di
barisan hadapan untuk mewakili parti. Malah, ahli UMNO wajar menolak
watak-watak hipokrit seperti ini dalam pemilihan parti. Pesanan Nabi:
تين لا يلدغ المؤمن من جحر واحد مر
“ Jangan sampai seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang
sama dua kali” (HR. Bukhari no. 6133 dan Muslim no. 2998)
AGENDA PEMUDA ERA KEBANGKITAN
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
PEMUDA BANTU RAKYAT, JURUBICARA RAKYAT
33. UMNO dan Rakyat umpama aur dan tebing, irama dan lagu. Tanpa
rakyat UMNO runtuh. Tanpa UMNO, rakyat lumpuh. Sebab itulah
apabila rakyat susah, resah, dan gelisah memikirkan dapur tak berasap,
makan pakai anak-anak tersekat, di kala pandemik Covid menular
membiak, Pemuda mesti bangkit menggerakkan agenda
#PEMUDABANTURAKYAT.
34. Terus-terang saya ingin merekodkan betapa bangganya saya kepada
anda semua. Rela berkorban tenaga, masa dan wang ringgit demi rakyat
melalui pelbagai inisiatif khidmat bakti terutamanya membantu agih
bakul makanan dan program sanitasi nyahkuman, mencegah virus
11
covid-19 secara percuma, di semua 191 Bahagian seluruh Negara.
Syabas!
35. Pemuda juga terus istiqomah dengan Agenda
#PemudaJurubicaraRakyat. Pemuda bersuara isu-isu rakyat ‘without
fear or favour’, seperti tuntutan i-Sinar tanpa syarat, lanjutan
Moratorium tanpa faedah tanpa syarat, kemudahan Pembelajaran dan
Pengajaran di Rumah (PdPR), capaian internet dan kebajikan
mahasiwa; bahkan kita juga menyediakan khidmat guaman percuma
untuk mereka yang rasa teraniaya dengan kompaun RM10,000 yang
tinggi dan tidak munasabah.
36. Kita sedar banyak suara-suara sumbang, sindiran dan perlian tajam,
namun sedikitpun tidak melunturkan semangat kita untuk terus
bersuara! Ini bukan soal nak popular, tetapi dua talian khas (hotline)
yang kita sediakan untuk memantau isu-isu rakyat menerima ribuan
mesej orang ramai, menandakan betapa rakyat meletakkan harapan
tinggi untuk kita terus membela mereka.
37. Saya cukup terkesan satu aduan yang kita terima mengenai kes seorang
anak muda yang baru dapat kerja di Larut. Kesalahannya hanya kerana
bertanya tentang ubat ibunya di penghadang kaca kedai Mesra
Petronas, tanpa pelitup muka, tanpa scan MySejahtera. Beliau akhirnya
dikompaun RM10,000. Hakikatnya, ratusan aduan seperti ini kami
terima setiap hari melalui hotline Pemuda.
38. Sebab itulah Pemuda kena terus bersuara. Pemuda harus menyelami
denyut nadi suara hati rakyat yang merana. Pemuda mesti menjadi
penyambung lidah rakyat yang teranianya. Kerana itu darah daging kita.
12
Itu tradisi perjuangan kita. Tradisi UMNO Membela Rakyat! Jika sudah
tidak sanggup bersuara untuk rakyat, usah bicara soal pengorbanan!
39. Alhamdulillah, hasil desakan semua secara berterusan melalui pelbagai
medium dan cara, banyak juga isu yang kita perjuangkan akhirnya
diterima juga Kerajaan. Ternyata! Ada kalanya kelantangan itu ada
bisanya berbanding kaedah berbisik.
40. Namun, jangan sesekali mendabik dada untuk ‘claim credit’, jauh sekali
untuk kita bersaing dengan sesiapa kononnya kita sahajalah juara
rakyat, kerana yang penting apa juga yang kita usahakan, matlamat
akhirnya rakyat yang dapat manfaatnya.
41. Ambillah semangat regu Pemuda era 70-an Almarhum Bekas Ketua
Pemuda Harun Idris dan Naibnya Musa Hitam yang mempelopori idea
‘Parti dalam Parti’, lantaran kelantangan dan ketegasan Pemuda di
zaman mereka yang sentiasa berani mengkritik dan menjadi agen
‘semak dan imbang’ kepada Kerajaan.
42. Seharusnya para penguasa jangan pula rasa tercabar atau mudah koyak
apabila ditegur. Mendengar dengan hati terbuka dan bersedia
menambah-baik demi rakyat adalah lebih baik daripada melatah atau
merasa terancam, lantas mengambil sikap yang keras. Ingatlah pesanan
Nabi SAW:
ن ما استرعاه عبد م ية، الل ، يحطها فلم رع يحة د لم إل بنص الجنة رائ حة يج .
"Barang siapa dikalangan hamba yang diberikan kuasa oleh Allah
untuk menguruskan rakyat, lalu dia tidak melengkapi dirinya dengan
13
nasihat atau teguran, maka tidak akan merasa baginya bau syurga”
(Sahih Bukhari)
MEWARISI KEBOBROKAN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN
Sahabat-Sahabat Seperjuangan Sekalian,
43. Benar, Kerajaan PH sudah jatuh, tetapi masih banyak lagi isu-isu
tertunggak yang diwariskan kepada Kerajaan hari ini yang belum tuntas
penyelesaiannya.
44. Pemuda ingin bertanya, apa sudah jadi dengan tuntutan rakyat mendesak
ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat segala dakwaan
salah laku dan penyelewengan dalam Tabung Haji (TH)?
45. Apakah status pendakwaan dan keadilan buat Allahyarham Adib Kassim,
anggota Bomba yang dibunuh kejam sebagaimana dapatan Inkues?
46. Bagaimana pula status siasatan dan pendakwaan kes-kes pimpinan PH
yang digugurkan atau ditarik balik termasuk kes banglo dan terowong
Lim Guan Eng, kes ADUN-ADUN DAP dalam aktiviti pengganas LTTE, kes
rogol melibatkan bekas ADUN DAP di Perak dan lain-lain?
47. Apakah kerajaan akan terus berdiam diri juga terhadap tuntutan
penubuhan RCI menyiasat segala pendedahan bekas Peguam Negara
Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’,
yang jelas menggambarkan wujud pendakwaan terpilih; wujud campur
tangan politik dalam badan pengadilan dan kehakiman; bahkan wujud
penyalahgunaan kuasa dalam perlantikan Hakim?
14
48. Bagaimana pula dengan kes perhimpunan pro-komunis di sebuah kolej
swasta Kajang? Atau kes penyeludupan abu mayat Chin Peng? Mahupun
isu Buku Teks Sejarah yang dimanipulasi fakta mengagungkan komunis
hingga mengecilkan peranan polis, tentera dan anggota keselamatan
negara?
49. Semuanya ini umpama ‘Bangkai Gajah yang tak dapat ditutup hanya
dengan nyiru’, baunya yang semerbak pasti terpalit juga ke badan kita.
Kepincangan zaman PH tidak wajar didiamkan begitu sahaja, kelak kita
akan dikaitkan bersama. Melainkan kita rela membenarkan tanggapan
ramai betapa roh PH sudah mulai meresap masuk ke jasad Perikatan!
50. Usahlah berdalih lagi. Jangan menggunakan madah Penyatuan Ummah
bagi mempertahankan kelemahan. Jangan berselindung disebalik slogan
‘No Anwar No DAP’ bagi menyembunyikan agenda peribadi
mempertahan kedudukan. Janganlah diulangi perangai PH lalu yang
hanya pandai menabur janji tetapi semuanya ‘dicapatikan’.
51. Jika benar dakwaan bahawa kerajaan PN kunci kepada perubahan, maka
mengapakah polisi PH yang selama ini kita lawan, masih lagi dikekalkan?
Mengapakah penganiayaan politik yang dimulakan oleh PH dahulu masih
kalian teruskan?
52. Di manakah keadilan apabila pemimpin UMNO yang kononnya terima
peruntukan daripada sumber 1MDB didakwa, sedangkan pengkhianat
yang terima peruntukan serupa tidak pula didakwa, malah terus menjadi
suci apabila melompat ke Parti BERSATU, bahkan boleh diangkat pula
menjadi Menteri?
15
53. Di manakah keadilan jika anggota keluarga bekas Gabenor Bank Negara
yang mengaku mengetahui tentang ratusan juta wang 1MDB di dalam
akaun mereka tidak pula didakwa, sedangkan pemimpin UMNO begitu
pantas dihadap ke mahkamah pengadilan?
54. Jadi siapa sebenarnya yang khianat? Siapa yang tidak jujur dalam
muafakat? Sekiranya ikhlas, kenapa amalan pendakwaan terpilih warisan
PH masih diteruskan?
KESTABILAN KUNCI KESEJAHTERAAN
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
55. Hakikatnya rakyat memang susah. Ramai hilang punca pendapatan.
Ramai hilang pekerjaan. Ramai eksekutif yang dulunya bergaji tetap dan
berelaun lumayan tetapi kini terpaksa lakukan apa sahaja demi
kelangsungan hidup. Ramai yang dulunya berstatus T20, kini jatuh ke
M40 bahkan B40 hingga hidup tertekan tak keruan.
56. Ada juruterbang Malindo yang dicutikan tanpa gaji setahun menghubungi
saya melalui facebook, mempromosi jualan rempeyek bersama-sama tiga
lagi rakan juruterbang lain yang senasib dengannya.
57. Ada pekerja kilang mengadu tertekan memikirkan nasib 3 orang
anaknya yang perlu disara selepas kilang ditutup di Seberang Jaya.
58. Ada seorang pemuda 30-an dari Besut dibuang kerja dengan pelbagai
tanggungan, bawa GRAB pun tak dapat tampung, bergantung harap pada
i-Sinar untuk mulakan perniagaan kecil-kecilan di kampung.
16
59. Ada graduan yatim dari Grik, Perak, mesej di instagram saya. Beliau
menjadi sandaran keluarga menyara adiknya OKU sedang ibunya
terlantar sakit barah. Berkongsi resah nak bayar hutang PTPTN tapi
pekerjaan bagaikan tiada kepastian.
60. Inilah realiti sebahagian kehidupan rakyat di bawah, yang memang susah
dan tertekan dengan situasi ekonomi negara hari ini. Apakah puncanya?
Benar, Covid19 adalah sebahagian daripada puncanya. Benar, Kerajaan
telah menyalurkan pelbagai pakej bantuan kepada rakyat.
61. Tetapi mengapa begitu lambat sekali proses pemulihan ekonomi negara?
Sedangkan negara jiran yang kadar wabak jauh lebih buruk daripada kita,
menunjukkan pertumbuhan ekonomi lebih pantas, malah menerima
limpahan pelaburan.
62. Laporan Bank Dunia dan United Nations Conference on Trade and
Development melaporkan dua minggu lalu, kedudukan Malaysia jatuh
tercorot berbanding negara-negara serantau ASEAN lain dari segi
pelaburan asing.
63. Dahulu kita gah di Bursa Malaysia, tetapi trend terkini pelabur luar
mendadak meninggalkan pasaran saham, sedangkan kita pernah menjadi
juara pasaran saham dunia. Syarikat gergasi IT IBM menutup operasi,
Toyota pula mahu memindahkan pusat operasi ke Indonesia. Tesla dan
Google dilaporkan melabur berbilion ringgit di negara jiran kita.
64. Bayangkan, betapa banyak peluang pekerjaan yang terlepas akibat
pelaburan beralih arah. Bayangkan, perasaan lebih 800,000 pengganggur
17
kini, yang melihat sahaja pelaburan berlalu depan mata, sedangkan diri
terus tertekan, tanpa kerja, tanpa pendapatan.
65. Mujurlah ada juga berita menggembirakan Peneroka Muda Saudara
Zulkarnain di Felda Gunung Besout 3, Sungkai dan Pok Su Mail di Felcra
Teratak Batu Pasir Puteh, apabila harga komoditi minyak sawit naik ke
paras tertinggi awal bulan ini hingga mencecah RM900 setan bagi Buah
Tandan Segar (BTS), berbanding hanya sekitar RM300 zaman PH.
66. Sebenarnya, kunci kepada keutuhan ekonomi terletak kepada kestabilan
polisi dan dasar Kerajaan. Inilah prasyarat asas membina keyakinan dan
meneguh kepercayaan pelabur. Ya, kestabilanlah yang memacu
kesejahteraan. Kestabilanlah yang menjamin keyakinan pelaburan.
Kestabilanlah yang merancakkan pertumbuhan ekonomi hingga
mencipta pelbagai peluang pekerjaan, meningkatkan keberhasilan
rakyat, membina kemakmuran sekaligus menatijahkan keharmonian.
67. Selama lebih 60 tahun, inilah acuan kestabilan yang begitu sebati dalam
pemikiran dan kehidupan rakyat Malaysia. Ya! Model Barisan Nasional
yang mewakili realiti kemajmukan masyarakat berbilang agama dan
kaum, dengan dipasakkan akar kekuatan keindukan parti yang mewakili
bangsa teras majoriti. Inilah tunjang kestabilan sebenar yang menjamin
kesejahteraan.
68. Namun, bagaimana nak stabil jika polisi-polisi warisan Kerajaan PH yang
ditentang dahulu masih dikekalkan? Bagaimana nak stabil, bila aset-aset
strategik syarikat-syarikat milik Kerajaan pun masih dijual? Bahkan
18
banyak projek-projek infrastruktur mega pengganda ekonomi
(multiplier effect) yang baik untuk rakyat terus dibatalkan.
69. Rakyat wajar bertanya kepada Kerajaan khususnya Menteri Kanan
Ekonomi merangkap Menteri MITI (Perdagangan Antarabangsa dan
Industri), apa pelan strategik untuk memancing pelabur masuk selain
kesibukan beliau memancing wakil rakyat PKR masuk PN?
Ke Sana Ke Sini Jangan Sekali, Nanti Covid Menular Kembali, YB Nak Bersuara Parlimen Dikunci, Rupanya sibuk Lompat Parti. Ke Sana Ke Sini Setiap Hari Membawa Dulang Membeli YB Titah Tuanku Tak Dipeduli Parlimen Tetap Dikunci Lagi
RESEPI KEMENANGAN
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
70. Pilihanraya akan datang adalah lebih besar gelora dan gelombangnya. Ia
bakal menggoncang bahtera bukan sahaja dengan fitnah lama, tetapi juga
dengan pelbagai khabar curiga.
71. Namun, UMNO tidak boleh memasuki medan perang dengan kaki yang
tempang. UMNO tidak boleh memasuki gelanggang dengan kasut yang
berlubang. Justeru, Pemuda menggariskan 5 perkara penting sebagai
pedoman dan resepi kemenangan, untuk menghadapi Pilihanraya Umum
ke-15 akan datang.
19
RESEPI PERTAMA: KUASAI PERSEPSI ANAK MUDA
72. PERTAMA, kita perlu menyedari bahawa lanskap dan demografi politik
negara hari ini sudah berubah. Dahulu, kita boleh bergantung kepada
undi ahli untuk memenangi kerusi. Tetapi hari ini dengan pertambahan
7.8 juta pengundi termasuk Undi 18 tahun yang tidak berparti, kita mesti
segera memenangi hati dan menguasai persepsi hingga mampu
diterjemahkan kepada undi.
73. UMNO mesti berani berubah dan bersedia melakukan transformasi ke
arah budaya politik yang berintegriti. UMNO mesti dilihat sebagai parti
yang tulus dan telus, berpegang kepada prinsip moral dan berakhlak
tinggi. UMNO mesti dilihat mendekati semua lapisan pengundi bukan
hanya syok sendiri sesama ahli. UMNO mesti dipandang sebagai suara
yang konsisten memperjuangkan kepentingan rakyat, biarpun menjadi
lilin yang membakar diri. Barulah kita mudah diterima kembali.
RESEPI KEDUA: CALON YANG SEGAR DAN DITERIMA RAKYAT
74. KEDUA, untuk UMNO diterima rakyat terutama 47% pengundi muda
yang rata-rata tidak terikat dengan sebarang ideologi mahupun parti,
UMNO mesti berani menonjolkan pemimpin muda yang segar bukan
sekadar pelapis, sebaliknya sebagai barisan peneraju kepimpinan negara
yang baharu.
75. Maka PEMUDA berpendirian, calon-calon PRU akan datang, mestilah
diperbanyakkan orang muda yang kompeten dan berilmu, diterima
rakyat bukannya sekadar hero dikalangan ahli sendiri. Calon-calon juga
20
mesti terdiri hanya mereka yang setia dan bukannya yang mudah
‘kowtow’ kepada sekutu atau mengkhianati parti sendiri.
RESEPI KETIGA: YAKIN DIRI, PERTAHAN IDEOLOGI
76. KETIGA, jangan sesekali rasa kerdil diri (inferiority)! Merasakan parti
ini lemah, lantas tidak mampu bersendirian. Jangan hilang harga diri!
Merasakan parti ini tidak lagi ada karamah, lantas rela melutut kepada
seteru, kononnya boleh menjamin kemenangan.
77. Ya! Rakyat sudah mencuba Kerajaan PH selama 22 bulan, lantaran
terkesima dengan janji bulan dan bintang, termakan dengan fitnah dan
hasutan kebencian. Namun akhirnya rakyat menjadi mangsa, kerajaan
yang naik mengganti Barisan Nasional rupanya indah khabar dari rupa.
78. Rakyat juga ditakdirkan mendapat Kerajaan PN yang hakikatnya rapuh
dan susah nak bertahan lama, lantaran hanyalah sekadar gabungan
longgar parti-parti yang bekerjasama. Janji untuk bersama hanya buat
seketika, kerana sama-sama telah sepakat untuk kembalikan mandat
kepada rakyat semula.
79. Justeru, Pemuda mesti memahat keyakinan yang jitu bahawa kita ada
jenama Barisan Nasional yang wajib dipertahankan. Inilah sahaja parti
yang terbukti punya ‘track-record’ yang panjang, mampu menawarkan
KESTABILAN.
80. InsyaAllah, rakyat bersedia menerima kita. Rakyat menanti kita
menjadi kerajaan semula. Namun, sudah tentu dengan citra perjuangan
kita yang lebih kudus dan wajah baru yang lebih tulus.
21
81. Ya! UMNO tidak sempurna kerana kita semua manusia biasa yang tidak
terlepas daripada noda dan dosa. Yang penting kita belajar daripada
kesilapan dan jangan diulangi kepincangan yang sama.
RESEPI KEEMPAT: SEDIA BEKERJASAMA TANPA MENCAIRKAN PRINSIP
82. KEEMPAT, sejak merdeka lagi UMNO tidak pernah bersendirian dalam
membentuk Kerajaan. UMNOlah parti yang sangat terbuka dan
bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi rakyat, demi
negara. Tetapi bukan dengan cara menggadai maruah, mencairkan
wadah dan membiarkan diri diinjak-injak muka kepalanya.
83. UMNO adalah parti yang mendokong penyatuan demi Ummah, tetapi
bukan dengan cara menghalalkan khianat dan merelakan parti terus-
menerus dicurangi dan diperkotak-katikkan semahunya.
84. Kita juga sedar ada parti yang ditubuhkan untuk menggantikan kita,
sengaja membentuk perikatan baharu, untuk menyisihkan barisan kita.
Depan manis, belakang bak ‘telunjuk lurus kelengkeng berkait’.
Bercakap soal kejujuran tapi sebenarnya dialah khianat. Bercakap soal
bersih dan berintegriti tapi cakap tak serupa bikin. Bercakap soal
perpaduan tapi dialah yang mencatur pemecahan. Inilah yang
dikatakan orang tua-tua bijaksana,
ل يستق يم كيف والعود الظ جاجا إعو
“Kayu bengkok, masakan lurus bayangannya”.
22
85. Namun bagaimana ‘kepala cuba disorokkan, punggung tetap juga
kelihatan’. Sebab itulah UMNO jangan mudah tertipu dan mesti kenal
kawan dan lawan. Siapa yang boleh dijadikan kawan tapi tidak makan
kawan. Siapa yang sebenarnya lawan walaupun sudah berkawan. Yang
penting UMNO jangan hilang arah dan mesti tegas, berani buat
pendirian ‘bak menikam biar tembus, memancung biar putus,
menggantung biar tinggi’.
86. UMNO tidak pernah curangi kawan. Kita berpegang kepada janji dan
ketetapan bersama dalam Muafakat Nasional, termasuklah tidak
pernah setuju menganggotai Parti Perikatan Nasional, walaupun
akhirnya didaftarkan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan, tanpa
persetujuan.
87. Buat sahabat dan sekutu kami PAS di dalam Muafakat Nasional. Ikhlas
kami Pemuda katakan penyatuan bersama kalian adalah mimpi
terindah, suatu yang kita semua dambakan berpuluh tahun lamanya.
Pegang eratlah ikatan Muafakat Nasional ini seutuhnya! Jangan biarkan
ikatan terlerai atau dileraikan oleh pihak ketiga! Kerana belum tentu
peluang sebegini menjelma lagi buat kali kedua.
88. Seruan Pemuda buat kepimpinan, berpakatlah dengan hikmah,
berundinglah tanpa helah bak “kundur tidak melata pergi, labu tidak
melata mari”. Tidak ada kusut yang tidak boleh selesai. Yang penting
mesti ada ikhlas dan jujur dalam persahabatan mahupun
persepakatan.
23
89. Kami Pemuda rela menjadi sebahagian daripada kudrat yang memikul
jentera untuk kemenangan semua. Namun, Pemuda ingin ingatkan!
Jangan sesekali khianat dan curang bak “duduk berkisar, tegak
berpaling” kerana kesannya kelak boleh merosakkan kesatuan dan
permuafakatan.
RESEPI KELIMA: PERKASA JENTERA, JAUHI SENGKETA
90. KELIMA, Alhamdulillah 7 PRK dan 1 PRN di Sabah yang dimenangi
sebelum ini memberikan isyarat bahawa jenama Barisan Nasional
masih segar di hati rakyat. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk
merakamkan ucapan terima kasih kepada Pemuda MCA, Pemuda MIC,
Pemuda PBRS dan Friends of BN kerana kekal setia bersama bahtera
Barisan Nasional di kala susah dan senang. Harapnya kita terus
bersama menuju ke destinasi.
91. Saya percaya, banyak kita pelajari daripada kemenangan ini untuk kita
menyusun AGENDA GERAK PEMUDA bagi mempersiapkan jentera
mengadapi PRU ke-15 nanti, untuk kita sama-sama berusaha
menambat kembali hati dan kepercayaan rakyat.
92. Pemuda tidak lagi sekadar menggalas tugas-tugas tradisi gerak gempur
pasang poster sahaja, kini Skuad Sabil diberikan amanah kali pertama
mengurus keselamatan dan yang terbaru PACABA – Laksanakanlah
amanah ini dengan penuh semangat dan serlahkanlah wibawa kalian
di mata rakyat!
93. Utamakanlah kesatuan dan solidariti! Pertahankanlah tradisi dan
insitusi kepimpinan parti! Jangan mudah percaya cerita-cerita sensasi
24
yang mencetuskan prasangka sesama sendiri! Janganlah menari
mengikut alunan irama dan lagu dendangan musuh yang sentiasa
mendengki!
94. Usah hanyut dalam gelora pemilihan parti! Mula menyusun ‘rakit’, ‘cai’
kumpulan, mula mencatur peluang nak rebut kedudukan. Ingatlah!
semuanya ini tidak punya makna apa-apa, jika bahtera karam dalam
medan sebenar peperangan.
Sahabat-Sahabat Seperjuangan Sekalian,
95. Sejujurnya saya ingin merakamkan penghargaan setulusnya kepada
seluruh jentera Pemuda di segenap pelusuk negara! Anda semua
adalah wira-wira yang memberi nafas baharu kepada parti ini! Kalian
terbukti setia bersama saat suka dan duka, tatkala kita mula meniti
bara untuk BANGKIT KEMBALI! Kalian terbukti cekal dan sanggup
berkorban untuk kita bersama MEREKAYASA KEBANGKITAN parti
keramat UMNO ini!
96. Kalianlah sebenarnya sumber kekuatan untuk saya terus berdiri
sehingga ke saat ini, walau tak terbayang dek imaginasi untuk saya
masih bertahan hingga ke titisan ini, dengan segala gelora badai penuh
onak dan duri. Semuanya ini kita telah lalui bersama untuk UMNO
menuju ke DESTINASI – SEBUAH KEBANGKITAN!
Justeru, Wahai Pemuda-Pemuda Teras Kebangkitan!
25
97. Persiapkanlah jentera, Perkemaskan gerakerja bagi memenangi PRU-
15 yang menjadi matlamat kita. This is our goal! This is the real battle!
This is the ultimate war!
98. Yakinlah wahai Pemuda-Pemudaku sekalian!
Selagi nyawa di kandung badan,
Selagi hayat diizin tuhan,
Selagi kudrat menggengam tangan,
Berjuanglah sehabis daya mempertahankan bahtera perjuangan!
Ingat pesan keramat “Dari Hidup Bercermin Bangkai, Lebih Baik Mati
Berkalang Tanah”.
99. Namun IKRAR PEMUDA, bahtera parti keramat ini tidak sesekali kita
korbankan.
100. Jadilah obor dan penggerak kepada edisi KEBANGKITAN ini,
Jadilah penawar kepada semua kesilapan lalu,
Jadilah pewaris kepada perjuangan parti,
Jadilah wira untuk UMNO kembali ke DESTINASI;
demi KESTABILAN, demi agama, demi bangsa, demi negara.
PEMUDA! BANGKIT KEMBALI!
WABILLAHI TAUFIQ WAL HIDAYAH, WASSALAMUALAIKUM
WARAHMATULLAHI WABARAKATUH!