Post on 26-Oct-2015
REFLEKSI BENGKEL KESANTUNAN BERBAHASA
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan
rahmatNya dapat kita meneruskan lagi kehidupan di atas muka bumi ini. Sedikit
perkongsian refleksi.
Pada 6 Februari 2011, satu bengkel etiket sosial dan protokol pertama
berkenaan dengan tajuk “ Kesantunan Berbahasa” telah Berjaya dilaksanakan. Terima
kasih kepada kumpulan yang telah berjaya menganjurkan bengkel ini yang terdiri
daripada empat orang ahli iaitu Muhammad Hazwan bin Hamidan, Nur Fadzlina binti
Muhamad Muhaidin, Nurul Mardhiah binti Abdul Wahab dan Wan Nor Farehah binti
Wan Mohamad.
Pada bengkel kali ini, mereka berempat telah menjemput En. Idrulhisyam bin
Ismail, Ketua Penyelaras Tutorial IPG KDRI sebagai penceramah kepada hadirin yang
hadir yang terdiri dari unit PISMP PAI semester 3.
Bengkel Kesantunan Berbahasa banyak memberi input-input yang berguna
kepada guru pelatih sekalian lebih-lebih bila mengendalikan proses pengajaran dan
pembelajaran ataupun di majlis-majlis rasmi. Dengan menggunakan bahasa yang betul,
seseorang guru akan Berjaya menarik minat pelajar untuk terus belajar. Malah, pelajar
juga turut mencontohi apa yang diamalkan oleh guru mereka terutamanya dalam
berbicara dalam kalangan yang sebaya,orang yang lebih muda, orang yang lebih tua
dan sebagainya.
Pada bengkel ini juga, En. Idrulhisyam juga banyak menekan kepada guru
pelatih sekalian berkenaan dengan teknik-teknik menarik minat pelajar dengan bahasa,
penggunaan bahasa selari dengan mimik muka, bahasa badan dan lain-lain lagi.
Semuanya itu akan dipraktikkan oleh guru pelatih di sekolah nanti. Jika kita perhatikan
suasana dunia semasa sekarang, lidah sudah menjadi satu kuasa besar. Di negara-
negara yang bergolak contohnya di Mesir, suara rakyat dapat menjatuhkan dan
menggulingkan Presiden Mesir, Hosni Mubarak kerana tidak berpuas hati dengan
pentadbirannya yang tidak telus kepada rakyat. Itulah kuasa lidah. Ada pepatah yang
mengatakan, lidah lebih tajam dari mata pedang. Dengan lidah juga, mereka mampu
menipu, memfitnah dan sebagainya.
Walaupun begitu, ada sedikit kekurangan yang tidak ketara berlaku. Pertama,
adalah kesilapan tarikh dalam penyediaan buku program bengkel etiket sosial dan
protokol “ Kesantunan Berbahasa” . Jika kita rujuk pada buku program tersebut, tarikh
yang ditulis adalah 6 Feb 2010 . Padahal tahun yang sebenar adalah 2011. Namun
begitu, ianya hanyalah kesilapan kecil dan masih boleh diperbaiki dan diambil perhatian
serius pada masa akan datang.
Bagi guru pelatih sekalian, segala maklumat dan pengalaman yang diperoleh
ketika menghadiri bengkel etiket sosial dan protokol kesantunan berbahasa ini mesti
dugunakan sebaik mungkin dalam kerjaya sebagai seorang pendidik tidak kira kepada
murid-murid, masyarakat dan sebagainya. Ilmu yang dipelajari dapat digunakan untuk
menyebarkan risalah-risalah dakwah dengan lebih berkesan kepada umat manusia di
surau-surau, masjid, sekolah dan lain-lain lagi. Bahasa yang berkesan mampu menarik
minat pelbagai golongan untuk lebih tertarik kepada apa yang hendak kita sampaikan.
Pada masa yang sama, kesantunan berbahasa yang kita amalkan juga dapat dijadikan
satu ikutan yang baik kepada masyarakat di sekolah atau sebaliknya.
Tambahan pula, kita akan selamat dari celaan atau cercaan dari masyarakat
apabila menggunakan bahasa yang sesuai kepada mereka. Malah, masyarakat juga
akan lebih tertarik kepada kita dengan kesantunan bahasa yang kita guna pakai dalam
kehidupan sehari-hari. Jadi, mudah bagi seseorang terutamanya golongan pendidik
untuk menarik perhatian ibu bapa serta masyarakat sekitar untuk sama-sama
membantu dalam pembangunan sahsiah dan prestasi akademik pelajar selaras dengan
tuntutan agama Islam sendiri dan Falsafah Pendidikan yang menitikberatkan usaha
berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani.
Kesimpulannya, segala yang baik dijadikan amal dalam kehidupan dan segala
yang berlawanan dengan yang benar itu dijadikan sempadan untuk terus-menerus
mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Akhir kata, jadilah pendidik yang mampu menjadi
ikutan yang baik kepada murid khususnya dan masyarakat amnya. Sekian.