Post on 08-Apr-2019
PERUTUSAN TAHUN 2015
YANG BERBAHAGIA DATO’ AMIR BIN MD. NOOR
KETUA PENGARAH
JABATAN PENGAJIAN KOLEJ KOMUNITI
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
22 JANUARI 2015
DEWAN SERI SIANTAN
BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM.
Terima kasih pengacara majlis.
Yang dihormati dan dikasihi:
Pengarah-Pengarah,
Pegawai-Pegawai Kanan,
Pegawai-Pegawai
Barisan Pensyarah Kolej Komuniti,
Warga di Jabatan dan Kolej Komuniti serta sidang hadirin yang dihormati
sekalian.
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
1. Terlebih dahulu, mari kita bersama-sama melafazkan setinggi-tinggi
rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah Taala, kerana dengan limpah
kurnia dan izin-Nya, maka dapatlah kita berkumpul dalam majlis
“PERUTUSAN TAHUN BAHRU 2015” pada malam ini. Rasanya tidak
terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Menyambut kedatangan Tahun
Baharu 2015 kepada semua warga Jabatan Pengajian Kolej Komuniti dan
Kolej Komuniti. Tirai 2014 telah berlabuh, meninggalkan kita dengan 1001
kenangan pahit manis yang perlu diambil iktibar dan pengajaran
daripadanya.
Musibah Banjir
2. Terkini, Malaysia secara am dan warga kolej komuniti khususnya
diduga dengan musibah banjir yang luar biasa dalam abad ke-21 ini.
Sama-sama kita mendoakan saudara-saudara kita yang menjadi mangsa
musibah ini bersabar dengan dugaan tersebut dan dapat meneruskan
kehidupan mereka seperti sediakala. Di kesempatan ini, saya ingin
mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua
warga jabatan, kolej komuniti dan pelajar-pelajar yang terlibat khususnya
sukarelawan kolej komuniti (BriSK) dalam menyumbang kepakaran,
tenaga, masa, barang-barang keperluan serta wang ringgit dalam
meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Saya amat tersentuh apabila
dimaklumkan tentang penglibatan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh
semua dalam pelbagai cara di antaranya menyediakan makanan, menjahit
pakaian seragam sekolah, pengangkutan dan membersihkan kawasan
bencana. Sehingga kini, seramai 3,160 sukarelawan KK yang telah terlibat
dalam membantu mangsa-mangsa banjir seluruh Malaysia.
3. Beberapa kolej komuniti telah terlibat secara aktif dalam aktiviti
kesukarelawanan ini dan saya sendiri berpeluang bersama-sama
sukarelawan menjalankan tugas dengan komitmen yang tinggi di HUSM.
Sukarelawan KK telah memasak dari awal pagi hingga lewat malam untuk
menyediakan makanan petugas-petugas dan sukarelawan di HUSM.
Antara kolej yang terlibat adalah kolej dari Wilayah Utara, Wilayah
Selangor, Wilayah Melaka & Negeri Sembilan, Wilayah Timur, Wilayah
Perak dan Wilayah Johor telah membantu secara aktif dalam membantu
mangsa-mangsa banjir. Buat julung kalinya soup kitchen turut dibuat di
Kelantan. Sehingga kini, lebih 10,000 bungkusan makanan telah diedarkan
kepada sukarelawan dan mangsa banjir di Kelantan dan Pahang.
Manakala di Perak soup kitchen akan diuruskan pada minggu hadapan.
Lebih mengagumkan Kolej Komuniti Kuala Kangsar yang menjadi mangsa
banjir turut serta dalam misi kesukarelawanan dan menyediakan bantuan
mengikut kemampuan. Untuk pengetahuan semua, sebanyak 2,221
pasang baju sekolah (rendah dan menengah) berjumlah RM 108,000 telah
dihasilkan oleh 14 buah KK. Kesemua pakaian seragam sekolah tersebut
diedarkan oleh YB Menteri Pendidikan II dan YBhg KSU II di Kelantan.
4. Antara inisiatif Kementerian bagi tindakan pemulihan pasca banjir di
Kelantan, suka saya maklumkan di sini bahawa 39 buah kolej komuniti
telah dikenal pasti untuk mengambil 39 buah sekolah yang terjejas banjir
sebagai sekolah angkat. Melalui program ini, kolej komuniti yang terlibat
akan menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk iaitu tenaga kerja
(keceriaan, bersih kawasan), khidmat nasihat (motivasi, kaunseling
psikologi), kepakaran dan sebarang bantuan yang diperlukan. Kolej-kolej
tersebut adalah KK Arau, KK Langkawi, KK Kulim, KK Sungai Petani, KK
Bandar Darul Aman, KK Baling, KK Padang Terap, KK Kepala Batas, KK
Bayan Baru, KK Gerik, KK Pasir Salak, KK Teluk Intan, KK Sungai Siput,
KK Chenderoh, KK Sabak Bernam, KK Hulu Langat, KK Selayang, KK
Hulu Selangor, KK Kuala Langat, KK Rompin, KK Bentong, KK Temerloh,
KK Kuantan, KK Paya Besar, KK Pekan, KK Jerantut, KK Kuala
Terengganu, KK Besut, KK Kemaman, KK Kok Lanas, KK Pasir Mas, KK
Jeli, KK Masjid Tanah, KK Selandar, KK Bukit Beruang, KK Jasin, KK
Ledang, KK Segamat, KK Segamat II.
5. Tidak dilupakan juga seramai 212 orang staf dan pelajar KK terkesan
dengan banjir di mana rumah mereka dinaiki air melebihi paras pinggang
dan paras bumbung. Sementara itu, 2 pelajar KK bersama keluarga
mereka tinggal sehelai sepinggang kerana rumah dihanyutkan banjir.
Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan supaya satu kutipan khas
dijalankan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang
terlibat. Di samping itu, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) berbesar hati
menghulurkan bantuan kepada warga kolej komuniti yang terlibat.
6. Dalam kita mengalu-alukan kedatangan tahun 2015, kita juga perlu
bersiap-siaga untuk berdepan dengan pelbagai cabaran yang menanti kita
sepanjang tempoh tahun ini. Apa yang kita pelajari daripada pelbagai
peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2014 ialah keupayaan kita untuk
mengurus sebarang krisis dan musibah yang tidak dijangka serta bersedia
menghadapi situasi terburuk (worst possible scenario).
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati
(MENYUSURI 2014)
7. Alhamdulillah, pada tahun 2014, kita telah mencapai pelbagai
kejayaan yang boleh menjadi perangsang kepada warga jabatan dan kolej
komuniti untuk terus menyumbang khidmat bakti terhadap kecemerlangan
kolej komuniti. Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dikalungkan
kepada semua warga jabatan dan kolej komuniti di peringkat pengurusan
mahupun pelaksana di atas kerja keras dan sumbangan sepanjang tahun
2014.
Keikhlasan Dalam Bekerja
8. Sesungguhnya, pihak pengurusan tertinggi kolej komuniti sentiasa
prihatin dan menghargai penat jerih dan keringat yang tuan puan curahkan
selama ini. Meskipun segala pengorbanan tersebut tidak dapat dibalas
sepenuhnya dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) mahupun
anugerah-anugerah lain, percayalah, jasa anda semua pasti akan terbalas
dalam bentuk yang lain tidak semestinya di dunia tetapi mungkin di akhirat.
Setiap perkara dan perbuatan yang baik pasti akan dibalas dengan
kebaikan jua. Namun, kita seharusnya menanamkan dalam hati supaya
kita bekerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan tidak kira
dalam bentuk pangkat, pingat mahupun wang ringgit.
Kenaikan Pangkat Dan Pergerakan Pegawai
9. Baru-baru ini keputusan kenaikan pangkat telah diumumkan. Tahniah
dan syabas kepada semua yang berjaya. Untuk pengetahuan semua,
seramai 60 calon skim DH telah memohon kenaikan pangkat. Suka saya
memaklumkan, kenaikan pangkat di KK bagi Gred 48 ke 52 dan Gred 52
ke 54 adalah 100% berbanding Politeknik yang hanya 77%. Berdasarkan
kepada keputusan kenaikan pangkat ini, Jabatan telah membuat
perubahan dalam jawatan pengarah di KK dan pegawai di JPKK. Ini untuk
memastikan supaya semua program yang telah dirancang berjalan dengan
jayanya. Pegawai yang berjaya dari Gred DH52 ke DH54 adalah:
i. Pn Rohana binti Zulkifli;
ii. Pn Zalma binti Yaacob;
iii. Hjh Sapiah binti Aluan (Pensyarah Kanan di PUO); dan
iv. Hj Ahmad Zaini bin Mohamed (Pensyarah Kanan di KK
Chenderoh).
Manakala pegawai dari Gred DH48 ke DH52 adalah:
i. Pn Salmah binti Ijam (Pengarah KK Pasir Salak);
ii. Hj Abdul Rahim bin Hashim (Pensyarah Kanan di KK Kepala Batas);
iii. En Abu Bakar bin Mat Tai (Pengarah KK Rompin);
iv. En Mohammad Rashid bin Saad (Pengarah KK Tawau);
v. En Chow Tio Kiong (Pensyarah Kanan di Politeknik Kuching);
vi. En Hisamudin bin Mohd Tamim (Ketua Penolong Pengarah Kanan di
Bhg Dasar JPKK);
vii. Pn Nor Azira binti Md Yusof (Pensyarah Kanan di KK Arau);
viii. Pn Nor Azira binti Yusoff (Pensyarah Kanan di KK Sabak Bernam);
dan
ix. Pn. Yufiza binti Yusof (Pensyarah Kanan di PUO).
Di samping itu, terdapat juga pegawai yang akan bertukar dan mereka
ialah:
a. En Jamalluddin bin Ali - (Pengarah KK Rompin kepada Pengarah KK
Ledang);
b. En Gazari bin Osman – (Pengarah KK Tawau kepada Pengarah KK
Jasin);
c. En Amin bin Ali – (dari Bahagian Pembangunan Pelajar kepada
Pengarah KK Pekan);
d. En Fauzi bin Mansor – (Pengarah KK Jerantut kepada Pengarah KK
Penampang dan Caretaker KK Tuaran); dan
e. En Jamaluddin bin Ali – (Pengarah KK Lahad Datu kepada Pengarah
KK Tambunan).
Keputusan kenaikan pangkat bagi Gred DH44 ke 48 dijangka diumumkan
pada bulan Mac 2015.
Hadirin dan hadirat sekalian
CCRC
10. Tahun 2014 merupakan tahun yang memperhalusi pelaksanaan
Community College Report Card (CCRC). Saya melihat bahawa pelbagai
usaha telah dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kesedaran dan
pemahaman serta rasa keterpunyaan (sense of ownership) di kalangan
warga kolej komuniti terhadap pelaksanaan CCRC. Kesedaran warga akan
kepentingan CCRC dan rasa keterpunyaan telah membuahkan hasil,
dengan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan CCRC. Ini
dibuktikan dengan penambahan bilangan kolej komuniti yang mendapat 5
bintang. Syabas saya ucapkan di atas pencapaian ini dan kecemerlangan
ini harus diteruskan sehingga menjadi amalan setiap warga.
Status Penarafan Kolej Komuniti
11. Penarafan bagi Kolej Komuniti telah dilaksanakan dengan jayanya.
Saya mengucapkan kasih kepada semua yang memberi kerjasama yang
padu. Keputusan rasmi akan diumumkan oleh YAB TPM pada awal
Februari. Bermula 2015 Penarafan Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan
dijenamakan atas satu jenama iaitu setara. Ini bermaksud Penarafan
akan menggunapakai frasa mengikut institusi iaitu Setara Kolej Komuniti,
Setara Politeknik dan Setara Universiti.
Program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat 2014
12. Tahun 2014 juga memperlihatkan usaha-usaha ke arah
perkembangan pelaksanaan Program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat.
Terima kasih di atas usaha tuan-tuan dan puan–puan yang telah
mewujudkan kerjasama antara kolej komuniti dengan Jabatan Agama
Islam Negeri dan institusi-institusi agama seperti sekolah tahfiz dan pondok
serta menggerakkan program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dengan
pelbagai pendekatan yang akan terus menjayakan program ini. Sehingga
kini seramai 36,457 orang peserta telah mengikuti program Pendidikan
Islam Sepanjang Hayat merangkumi 403 kursus kerohanian dan 601
kursus kemahiran. Program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat yang telah
dilancarkan pada April 2014 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri turut
menyaksikan berlangsungnya penyerahan Nota Kerjasama antara KPM
dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama
Islam Johor.
13. Semasa berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pendidikan
Islam Sepanjang Hayat Nasional pada bulan Disember 2014 yang lalu,
jabatan mendapat sokongan yang padu daripada semua Majlis Agama
Islam Negeri dan agensi yang terlibat. Melalui sokongan padu ini kita
berharap ianya menjadi pemangkin dalam menggerakkan, seterusnya
melonjakkan program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat seperti mana
hasrat YAB TPM.
Kolaborasi 2014
14. Tahun 2014 turut memperlihatkan kejayaan kolej komuniti dalam
kerjasama Public Private Partnership di mana Pusat Teknologi Latihan
Kenderaan Hybrid dan Elektrik Kolej Komuniti Kepala Batas telah
mendapat pengiktirafan sebagai pusat bertauliah oleh Institute Of Motor
Industry UK (IMI Awards). Melalui kerjasama strategik ini, kita telah berjaya
melahirkan 2,790 orang mekanik EEV Hybrid dan Elektrik dalam tempoh
Mac hingga Disember 2014.
15. Seramai 300 graduan Kolej Komuniti turut dilatih secara kerjasama
dengan Malaysia Offshore Contractors Association (MOCA) untuk bekerja
di syarikat Minyak dan Gas dalam pelbagai bidang. Graduan yang telah
dilatih telah ditempatkan di syarikat minyak dan Gas yang beroperasi di
Koridor Iskandar (Sykt MHHE), Koridor Utara (Sapura Kencana Petroleum)
dan Koridor Sabah (Coral Alliance). Manakala 40 pelajar daripada 3 kolej
komuniti telah dilatih sebagai mekanik penjenteraan peladangan melalui
kerjasama KK bersama Sime Darby Plantation dan Syarikat Semai Alam
untuk bekerja di 15 ladang milik Sime Darby Plantation. Turut
membanggakan seramai 100 pelajar bidang Teknologi Maklumat telah
diterima bekerja sebagai IT Support di syarikat Pro Office untuk
menyelenggara peralatan IT di Petronas KLCC, PMO Petronas Kerteh dan
RISDA. Hasil dari kolaborasi dan kerjasama ini telah berjaya melahirkan
beberapa orang graduan yang berpendapatan tinggi. Kita boleh berbangga
dengan pencapaian graduan kita kerana berupaya memperoleh
pendapatan setaraf dengan pemegang Diploma dan Ijazah. (Ucapkan
terima kasih kepada Pengarah BKK dan warga kolej komuniti yang
terlibat).
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian
Peningkatan Kompetensi Pegawai/Pensyarah 2014
16. Bagi meningkatkan kualiti PdP di kolej komuniti, keutamaan difokus
kepada peningkatan kompetensi dan kemahiran dalam kalangan
pensyarah dan warga kolej komuniti amnya. Sebanyak 12 jenis program
latihan telah dirancang dengan teliti dan dilaksanakan sepanjang tahun.
Program-program tersebut dibahagikan kepada program teknikal dan
program soft skills. Program teknikal meliputi Program Pembangunan
Kemahiran (PPK), Sangkutan Industri Pensyarah (SIP), Latihan
Antarabangsa (LA), Subject Matter Experts (SME) dan pensijilan
profesional. Program berbentuk soft skills pula ialah Career Path
Competency Matrix (CPCM), Kursus Instruksional & Pembangunan
Andragogi (KIPA), kursus kepimpinan, branding, Kursus Dalam
Perkhidmatan (KUDAP), perancangan strategik, bengkel / mesyuarat.
Sehingga akhir tahun seramai 2,290 pensyarah kolej komuniti telah
mengikuti kursus dan latihan yang dirancang. Program peningkatan
kompetensi dan kemahiran ini bukan sahaja untuk membantu
pensyarah/staf dari segi PdP, malah ia juga membantu dalam proses
kenaikan pangkat pegawai/staf dalam skim PPPT. Pada tahun 2014, 98%
pegawai dan staf dari jabatan dan kolej komuniti berjaya melengkapkan
sekurang-kurangnya 7 hari berkursus. Saya berharap pada tahun ini
pencapaian kita adalah lebih baik iaitu 100%.
17. Mengambil kira matlamat untuk membudayakan penyelidikan dan
inovasi, Kolej komuniti juga giat mengenalpasti pendekatan yang
bersesuaian bagi tujuan ini. Program-program berbentuk penyelidikan dan
inovasi dilaksanakan dengan aktif sama ada dalam kalangan pensyarah
atau pelajar. Produk inovasi yang dihasilkan terbahagi kepada inovasi
Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) dan inovasi produk.
18. Inovasi PdP bertujuan untuk meningkatkan kualiti PdP dan dapat
diaplikasikan oleh pensyarah semasa proses PdP. Inovasi PdP
merangkumi Domestic Garbage Separator dan Portable Cable Case (Kolej
Komuniti Segamat 2), Guide Footer (Kolej Komuniti Batu Gajah),
Permainan Untuk Pembelajaran Orang Kelainan Upaya (Kolej Komuniti
Pasir Salak), Soldering Workstation dan Easy TS (Kolej Komuniti Sabak
Bernam) serta Eco Green Dryer (Kolej Komuniti Jelebu). Secara
keseluruhan, saya amat berbangga dengan sikap inovasi yang ditampilkan
dalam kalangan pensyarah dan pelajar. Lebih membanggakan lagi, saya
dimaklumkan bahawa terdapat inovasi PdP yang dihasilkan oleh
sekumpulan pelajar Sijil Pelukis Pelan Seni Bina iaitu Easy TS. Tahniah
juga diucapkan kepada Encik Mat Sazilin Bin Ayub (KK Kuala Terengganu)
yang menjadi juara dalam Pertandingan dan Konferensi Rekacipta
International Invention Innovation And Design (IIID) 2014 dengan rekaan
beliau ‘Pengadun Suara Berketepatan Tinggi untuk Guru’.
19. Inovasi produk yang dihasilkan ialah Petunjuk Suis Menggunakan
Deria Rasa dan Penglihatan (Kolej Komuniti Hulu Selangor), Integrated
Soil Moisture Control (Kolej Komuniti Batu Pahat), Sesiku 135 (Kolej
Komuniti Paya Besar) dan Stand For Mill (Kolej Komuniti Kuantan).
Penghasilan inovasi seperti ini meningkatkan daya kreativiti dan inovasi di
kalangan pelajar dan pensyarah serta boleh diketengahkan dalam
pertandingan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Ini
dibuktikan melalui pertandingann MyInovasi 2014, di mana 4 buah kolej
komuniti berjaya diperingkat zon dan satu daripadanya iaitu KK Bagan
Serai berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan MyInovasi 2014
keseluruhan dengan ciptaan mereka iaitu ‘Self Standing Hose’.
20. Usaha berterusan dalam mengetengahkan pelajar dan pensyarah
dalam pertandingan akan melahirkan pelajar dan pensyarah yang berkualiti
dan berdaya saing dengan institusi kemahiran mahupun institusi pengajian
tinggi. Ini secara langsung memperlihatkan kemampuan kolej komuniti
sebagai sebuah institusi yang menggalakkan dan mengamalkan budaya
inovasi.
Hadirin dan hadirat sekalian
21. Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti 2014 yang
berlangsung dari 18 hingga 21 September buat julung kalinya diadakan
secara serentak dan berpusat menjadi mercu tanda dan simbolik kepada
kewujudan dan kelestarian lebih sedekad kolej komuniti. Majlis
Konvokesyen ini menyaksikan 3,282 graduan menerima sijil kolej komuniti
dalam pelbagai bidang pengajian. Setinggi tahniah saya ucapkan kepada
semua warga kolej komuniti kerana berjaya melahirkan graduan yang
berkemahiran dan berpengetahuan. Atas usaha tuan puan,
kebolehpasaran graduan kolej komuniti mencapai 94.3% dan ini amat
membanggakan.
22. Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya merasa selesa dengan
pencapaian ini. Malah, harus melipat gandakan usaha dalam melahirkan
lebih ramai graduan yang sedia diterima dan menjadi pilihan utama
industri. Kita juga perlu mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan
yang sedia ada di pasaran sebaliknya, kita perlu melengkapkan graduan
dengan kemahiran kemandirian supaya mereka boleh menjadi pereka cipta
pekerjaan. Cabaran kita adalah memastikan lebih daripada 7,000 pelajar
yang akan bergraduat dan berhadapan dengan senario pekerjaan yang
amat berbeza pada tahun 2015 memperoleh pekerjaan dan sumber
pendapatan yang setimpal dengan kelayakan serta kemahiran mereka.
Sejajar dengan perkembangan seperti ini, kolej komuniti perlu bergerak ke
arah memperkukuhkan jaringan kolaborasi dengan industri bagi
memastikan semua graduan mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian.
23. Saya berharap, graduan yang dilahirkan mampu berdaya saing
dengan graduan dari institusi lain seterusnya memenuhi keperluan industri.
Sepertimana yang tuan puan sedia maklum, kerajaan mengunjurkan
bahawa seramai 3.2 juta tenaga kerja industri yang mahir dan separa
mahir diperlukan bagi menyemarakkan pembangunan negara ke arah
negara maju berpendapatan tinggi. Justeru, kolej komuniti harusnya
berupaya menyahut keperluan ini untuk lebih giat lagi dalam melahirkan
graduan yang berkualiti dan memenuhi ekspektasi majikan serta industri.
Stompers
24. Majlis konvokesyen ini juga merupakan satu detik bersejarah di mana
pasukan R&B Stompers berjaya melakukan persembahan penuh
bertenaga selama 39 minit 26 saat dengan kekuatan seramai 1,030 warga
kolej komuniti meliputi pelajar dan pensyarah serta pengarah.
Persembahan yang vibrant dan dinamik ini berjaya mendapat pengiktirafan
dan dicatatkan sebagai rekod baru dalam Malaysia Book of Records.
Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam penyertaan ini dan
ianya mendapat pujian YB Dato Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II.
Saudara dan saudari yang dikasihi
Pengikhtirafan Industri
25. Mengimbas pencapaian dan pengiktirafan yang diterima daripada
pelbagai agensi sepanjang 2014, kolej komuniti telah membuktikan
bahawa kita sebenarnya diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dengan
menggondol Best Industry Partner Annual Automotive Insurance Industry
Forum 2014 (Kenderaan EEV) dan ASEAN Outstanding Business Award –
Leaders In Community Education and Training Of Retail & Franchise
Federation (RFT), maka terserlah kedudukan kolej komuniti sebagai
institusi yang disegani, relevan dan dirujuk (3R – Respected, Relevant and
Referred).
Pencapaian Antarabangsa
26. Anugerah Fotografi Dunia Kelolaan SONY yang dimenangi oleh
pensyarah Kolej Komuniti Paya Besar iaitu En. Hairul Azizi Harun,
membuktikan kita mempunyai ramai warga yang berbakat besar.
Seharusnya warga kolej komuniti perlu didedahkan kepada pengalaman
dan ilmu baharu bagi mencetuskan minat dan keghairahan untuk
beraspirasi tinggi. Di sini, saya ingin menekankan, percayalah kejayaan
adalah milik mereka yang berani bercita-cita besar, berani berubah
dan berani mengambil risiko. Mereka yang berjaya adalah mereka yang
tidak melihat kekurangan sebagai halangan tetapi sebagai satu peluang
untuk terus memajukan diri dan akhirnya mencapai apa yang dicita-citakan.
Kejayaan Keusahawanan
27. Pertandingan Usahawan Inovasi Piala Menteri Pendidikan 2014
dalam Karnival Kerjaya & Keusahawanan Graduan (K3G) mencatatkan 78
penyertaan di mana daripada 40 pasukan ke peringkat akhir meliputi
pelbagai IPTA dan IPTS, 10 daripadanya adalah dari kolej komuniti. Lebih
membanggakan Kolej Komuniti Batu Gajah telah merangkul gelaran Johan
sementara Naib Johan dimenangi oleh Kolej Komuniti Bandar Darul Aman
dan tempat ketiga pula dimiliki oleh Universiti Sains Islam Malaysia.
Kejayaan ini menunjukkan KK mampu bersaing dan lebih baik dari IPTA
yang ada di Malaysia walaupun dengan kelulusan pelajar KK rendah.
Tidak penting di mana anda bermula, yang penting di mana anda
berakhir.
28. Setiap tahun kolej komuniti sentiasa memberi peluang dan ruang
kepada para pelajar untuk menyerlahkan bakat dan potensi dalam pelbagai
bidang pengajian melalui penyertaan dalam pertandingan sama ada
peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Tahun 2014, menyaksikan
seramai 12 orang pelajar kolej komuniti berjaya ke peringkat akhir dalam
World Skills Malaysia Belia 2014 di mana 3 orang pelajar kita berjaya
merangkul 1 pingat perak dan 2 pingat gangsa dalam dua bidang iaitu
Cooking dan Restaurant Services. Bagi pertandingan World Skills Malaysia
Pengajar pula, kita berjaya merangkul 1 pingat emas (Cooking), 1 pingat
perak (Restaurant Services) dan 1 pingat gangsa (Web Design).
29. Pencapaian di peringkat antarabangsa pula, dua orang pelajar dalam
bidang Cooking dan Restaurant Services telah melayakkan diri ke ASEAN
Skills Competition 2014 di Hanoi, Vietnam serta memperoleh Medallion of
Excellence. Kecemerlangan pensyarah kolej komuniti diserlahkan lagi
melalui pencapaian 2 pingat emas dalam pertandingan Battle Of The Chefs
2014. Pingat emas tersebut dimenangi oleh pensyarah dari Kolej Komuniti
Sungai Petani.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian
30. Dalam usaha kita mencapai kejayaan, kita turut memberi
pengiktirafan kepada para pelajar dan warga kolej komuniti. Majlis
Anugerah Gemilang Kolej komuniti (AGK) 2014 yang telah dirasmikan oleh
YB Datuk Mary Yap Kain Ching merupakan wadah dalam menghargai
sumbangan dan penglibatan bukan sahaja kepada para pelajar bahkan
juga kepada warga kolej komuniti. Majlis ini menekankan penganugerahan
berdasarkan 7 kategori iaitu Anugerah Ketua Pengarah, Kecemerlangan
Pelajar, Kemahiran dan Inovasi, Sukan, Alumni, Program BrisK Terbaik
dan Penghargaan Program Sahsiah.
31. Tahun 2014 turut menyaksikan ketampakan kolej komuniti secara
menyeluruh melalui media masa dan media elektronik. Di antaranya, kita
mendapat banyak peluang untuk bersiaran secara langsung di kaca
televisyen melalui pelbagai saluran. Saya berharap usaha-usaha ke arah
meningkatkan ketampakan kolej komuniti ini dapat dilestarikan. Saya
menyeru agar semua warga Jabatan dan kolej komuniti bersama-sama
mendokong usaha untuk menyerlahkan lagi ketampakan kolej komuniti.
32. Pada setiap tahun, kita menerima peruntukan kewangan yang perlu
dibelanjakan sepenuhnya. Perancangan teliti pada peringkat kolej dan
jabatan perlu diselaraskan sebaik mungkin bagi memastikan peruntukan
yang diterima dibelanjakan secara optimum. Peratusan perbelanjaan tahun
2014 (98.19%) menurun sedikit berbanding dengan peratusan tahun 2013
(99.99%). Saya ingin menegaskan agar semua pengarah kolej serta
pengarah bahagian membuat perancangan yang realistik dan teliti bagi
memastikan peruntukan yang diterima pada tahun ini (2015) dapat
dibelanjakan 99.99%.
33. Sehubungan itu, saya mohon tuan puan merancang perbelanjaan
peruntukan yang diberikan dengan sewajarnya. Saya memandang serius
tentang kelemahan pengurusan KK dalam merancang dan menguruskan
kewangan di kolej. Lebih-lebih lagi kita baru dimaklumkan pada beberapa
hari yang lepas, bahawa RM1050 juta akan ditarik balik daripada
Kementerian Pendidikan Malaysia. Dari jumlah ini RM500 juta adalah dari
Sektor Pengajian Tinggi manakala selebihnya dari Sektor Pendidikan. Oleh
yang demikian, kita mesti menyusun semula perbelanjaan mengikut
keutamaan terutama sekali bagi melaksanakan program high impact, high
value.
(MENDEPANI 2015)
34. Pada hemat saya, tahun 2015 merupakan tahun yang penuh
cabaran. Besar kemungkinan terdapat kesukaran untuk menepati janji-janji
yang telah dikenalpasti pada 2014. Walau bagaimanapun, kita harus
mencuba sebaik mungkin untuk meneruskan kesinambungan perancangan
dan pelaksanaan yang dikenalpasti semasa 2014. Pastinya pada tahun ini
lebih banyak program-program high tech, high value dan berimpak tinggi
bakal direncanakan dengan kewangan yang terhad. Ini bermaksud, kita
perlu sentiasa selangkah ke hadapan dalam penawaran dan pelaksanaan
program-program di kolej komuniti. Sekali lagi saya ingin mengingatkan
tuan puan bahawa pelaksanaan semua program yang melibatkan
perbelanjaan kewangan harus memberi impak yang benar-benar berkesan
memandangkan semua peruntukan kewangan kementerian 2015 akan
dikaji semula bagi menampung peruntukan khas bencana yang melanda
negara.
35. Sepertimana yang disarankan oleh YAB TPM merangkap Menteri
Pendidikan dalam Perutusan Tahun Bahru 2015 KPM, untuk memenuhi
permintaan tenaga mahir yang semakin meningkat dalam pasaran
pekerjaan di negara kita, transformasi pendidikan teknik dan vokasional
akan diteruskan. Perancangan strategik seperti meningkatkan penawaran
tempat menerusi kerjasama dengan sektor swasta akan giat dilaksanakan
agar enrolmen pelajar dalam bidang teknik dan vokasional dapat
ditingkatkan. YAB TPM berharap Kolej Komuniti turut memainkan peranan
penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan
industri. Jaringan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta perlu
dipergiatkan untuk membuka peluang latihan yang lebih luas khususnya
dalam bidang-bidang kritikal. Satu contoh yang baik ialah program Public-
Private Partnership dan Industry on Campus yang dilaksanakan secara
kerjasama pintar bersama industri automotif pada tahun 2014. Pada tahun
ini, kolej komuniti bakal melatih 800 tenaga kerja bagi projek minyak dan
gas di PIP Pengerang dan 300 orang untuk projek Sapura Kencana
Fabrication Yard di Lumut.
Modul SMK
36. Modul SMK akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar sekolah
menengah. Justeru, kolej-kolej disarankan untuk mengenalpasti sekolah
yang boleh dijadikan sekolah rintis yang mampu menjalankan Modul SMK.
Modul SMK yang ditawarkan haruslah mengikut minat pelajar sekolah
tersebut. Dalam jangka masa panjang, ini akan membantu meningkatkan
pengambilan pelajar kolej komuniti. Saya berharap semua pengarah mula
mewujudkan jaringan kerjasama yang aktif dan kreatif dengan sekolah-
sekolah bagi melaksanakan program seperti ini tanpa mengharapkan
peruntukan tambahan.
Perutusan Khas YAB Perdana Menteri, 20 Januari 2015
37. Berdasarkan perutusan khas YAB Perdana Menteri pada 20 Januari
2015, YAB PM memaklumkan bahawa ekonomi negara masih berada di
dalam keadaan stabil. Negara bukan di dalam keadaan krisis. Walau
bagaimanapun kita perlu mengambil langkah-langkah proaktif selari
dengan perkembangan ekonomi global. Antara langkah merasionalisasi
perbelanjaan pula, Kerajaan menyarankan semua
Kementerian/Jabatan/Agensi mengoptimumkan perbelanjaan ke atas
bekalan dan perkhidmatan, penganjuran majlis dan mesyuarat serta
perkhidmatan profesional yang memberi penjimatan sebanyak 1.6 bilion
ringgit. Kerajaan turut menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal
terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu
memberi penjimatan sebanyak 300 juta ringgit. Perkara ini turut diberi
penekanan oleh Ketua Setiausaha Negara agar semua penjawat awam
mengamalkan perbelanjaaan berhemah dengan mengoptimumkan
perbelanjaan mengikut peruntukan masing-masing dan memastikan
adanya value for money tanpa mengabaikan kualiti perkhidmatan.
Insentif Kepada Pensyarah Pendidikan Khas
38. Suka saya mengumumkan di sini, bahawa Kementerian telah
meluluskan Bayaran Insentif Mengajar Kanak-kanak Cacat (BIMKC)
kepada Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) di kolej komuniti
dengan kadar RM250 sebulan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.
Semoga dengan bayaran insentif ini akan memacu serta menyemarakkan
lagi semangat para pensyarah untuk melaksanakan tugas dengan sebaik
mungkin. (Tindakan:Pengarah BKP)
Branding And Repositioning Kolej Komuniti
39. Pembinaan imej kolej komuniti menjadi agenda utama JPKK pada
tahun ini. Selaras dengan saranan YB Dato’ Seri Idris bin Jusoh, Menteri
Pendidikan II yang ingin melihat kolej komuniti menjadi sebuah institusi
kemahiran ternama, JPKK memulakan langkah menyahut seruan
berkenaan dengan beberapa siri Brand Audit di seluruh negara. Sesi Brand
Audit diadakan untuk mengkaji persepsi masyarakat terhadap kolej
komuniti. Selain itu, ianya bertujuan untuk mewujudkan jenama yang
mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia di samping menerapkan
budaya kecemerlangan di kalangan warga kerja Kolej Komuniti seiring
jenama yang diwujudkan. Penjenamaan ini juga adalah ke arah melahirkan
pelajar dan penuntut kolej komuniti yang berkualiti dan mampu merealisasi
potensi diri dan berperanan positif dalam pembangunan negara.
40. Susulan daripada laporan Brand Audit yang telah dilaksanakan pada
2014, JPKK merancang Branding and Repositioning 2015 yang
merangkumi skop berikut; iaitu membangunkan Brand Image, Brand
Support, Brand People, Brand Communication dan Brand Implementation.
41. Ini melibatkan aspek-aspek seperti konsep dan jenama kolej
komuniti, penjenamaan blueprint, Standard Brand Experience (SBE), dan
budaya kerja positif. Beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan bagi
memastikan kelancaran pelaksanaan proses branding and repositioning
kolej komuniti.
42. Proses branding and repositioning kolej komuniti amat bermakna
dalam menentukan sejauh mana kejayaan mentransformasi kolej komuniti
seperti mana yang diharapkan dalam Buku Pemerkasaan Kolej Komuniti
2013-2015. Bak ungkapan oleh Oprah Winfrey:
“we can’t become what we need to be by remaining what we are”
Ini bermaksud, kita perlu melakukan branding and repositioning kolej
komuniti bagi mencetuskan dan mengukuhkan transformasi lestari yang
akan memantapkan kedudukan kolej komuniti sebagai peneraju pendidikan
dan latihan teknikal dan vokasional serta PSH. Kita memandang serius
akan perkara ini kerana seperti frasa yang selalu diketengahkan oleh
Preston Bradley, “The capacity for reformation and change lies within each
of us”. Sehubungan itu, marilah kita sama-sama menggalas
tanggungjawab ini agar transformasi kolej komuniti menjadi suatu realiti.
Tuan-tuan dan puan-puan
Penawaran Program Diploma dan Sijil Baharu
43. Kolej komuniti akan memperkenalkan pertambahan penawaran
Diploma Work Based Learning (WBL) dalam 3 bidang iaitu Diploma in
Security Technology di Kolej Komuniti Segamat bersama Chubb Malaysia
Sdn Bhd, Diploma Servis Kenderaan Berat di Kolej Komuniti Rompin
(cadangan SCANIA) dan Diploma Pastri di Kolej Komuniti Kuala Kangsar
bersama Kings Confectionary. Pada tahun ini juga, Sijil Pembuatan Kasut
& Kraf Kulit di Kolej Komuniti Manjong akan diperkenalkan. Manakala bagi
Sijil Akauntasi akan digantikan dengan Sijil Pengoperasian Perniagaan.
Untuk makluman semua, pada akhir tahun 2014 kita berjaya mendapatkan
kelulusan pinjaman bagi pelajar Diploma WBL di bawah Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN). Ini memudahkan kita
menambah bilangan pelajar di peringkat Diploma WBL dari tahun 2015 dan
seterusnya.
44. Seiring dengan permintaan industri akibat perkembangan dalam
dunia teknologi digital, beberapa cadangan program baharu dalam proses
pertimbangan dan ini melibatkan bidang Logistik bersama Asian Institute
Of Logistic, Automotive Electrical and Electronic, Rapid Transit
Technology, Sound and Lighting dan Motorsport Technology. Banyak lagi
program baharu yang sedang dirancang untuk dilaksanakan bagi
memastikan program yang ditawarkan di KK mengikut keperluan industri
yang terkini. Satu kebanggaan juga apabila MMC GAMUDA memberi
kepercayaan berterusan kepada kolej komuniti dengan mengambil graduan
kolej komuniti untuk bekerja di projek MRT Line Kedua.
45. Bagi memastikan kesinambungan kualiti program yang ditawarkan,
beberapa program akan diteliti dan disemak semula termasuklah
Animasi 2D, Animasi 3D, Pengiklanan, Pelukis Pelan Senibina,
Pembuatan Perabot, Pelancongan, Kulinari, Pastri, Mekanikal Pembuatan,
Sistem Komputer dan Sokongan, Aplikasi Komputer, Penyenggaraan
Industri dan Penyamanan Udara.
46. Selain penyemakan semula program yang ditawarkan, teknik
penyampaian dan pendekatan PdP juga harus dipelbagaikan supaya
menjadi lebih berkesan. Pendekatan baharu yang perlu dipertimbangkan
adalah Service Learning di mana ia merupakan satu pendekatan
pengajaran yang menggabungkan instruksi dalam kelas dengan
perkhidmatan komuniti yang bermakna. Ia menekankan pemikiran kritikal
dan refleksi personal atau peribadi demi menggalakkan kesedaran
berkomuniti, penglibatan sama sivik (civic engagement) dan
tanggungjawab personal (personal responsibility). Service Learning
menawarkan peluang untuk pelajar mengaplikasi pembelajaran dalam
kelas kepada komuniti yang akan memberi kesan positif kepada
pembangunan komuniti tersebut. Bagi mempraktikan pendekatan ini, saya
syorkan pihak kolej mengambil langkah proaktif menggerakkan pelajar
memberi perkhidmatan terus kepada komuniti melalui pelbagai pendekatan
yang kreatif. Contohnya, pelajar dalam bidang Teknologi Maklumat
memberi servis secara percuma kepada komuniti setempat.
Hadirin dan hadirat yang dihormati
Pembelajaran Sepanjang Hayat
47. Bagi tujuan meningkatkan lagi kualiti pelaksanaan, pembelajaran dan
pengajaran dalam mendapatkan pengiktirafan PSH sejajar dengan Pelan
Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional,
kursus pendek bersiri akan dijalankan bermula pada tahun 2015 dengan
menggunapakai modul-modul yang terkandung dalam kurikulum SKK dan
SMK.
Pembelajaran Islam Sepanjang Hayat (PISH): Mengaplikasikan
Pendekatan Kreatif Bagi Membina Hubungan Merapatkan Ukhuwah
48. Kita memegang amanah besar dalam pelaksanaan Pendidikan Islam
Sepanjang Hayat di peringkat nasional kerana kita diberi kepercayaan oleh
pengurusan tertinggi negara khasnya YAB TPM merangkap Menteri
Pendidikan untuk bertindak sebagai Sekretariat Pendidikan Islam
Sepanjang Hayat. Walaupun pelaksanaan Pendidikan Islam Sepanjang
Hayat bermula pada 2014 dengan Membina Hubungan, Merapatkan
Ukhuwah yang menumpukan kolaborasi antara Jabatan, Bahagian, Agensi,
Institut Latihan Kemahiran dan Institut Pengajian Tinggi telah terjalin,
kolaborasi ini perlu diperkukuhkan dan dilebar luaskan lagi sepanjang
2015. Ini mesti mengambil kira cetusan idea dan percambahan fikiran bagi
merekacipta program baharu yang lebih kreatif, fleksibel dan inovatif
bertepatan dengan konsep Pendidikan Islam Sepanjang Hayat yang
mengamalkan Blue Ocean Strategy (BOS) iaitu perkongsian sumber
dengan agensi-agensi yang terlibat. Kolej komuniti akan lebih memberi
tumpuan kepada bidang kemahiran @ TVET dalam memberi pendidikan
berterusan kepada pelajar maahad atau tahfiz dalam menyeimbangkan
ilmu duniawi dan ukhrawi.
49. Saya juga ingin menarik perhatian tuan puan kepada salah satu
program berimpak tinggi yang dirancang pada tahun ini iaitu penganjuran
Seminar Kebangsaan Pendidikan Islam Sepanjang Hayat 2015 yang
dijangka berlangsung pada bulan Ogos 2015 dengan tema
“Memperkayakan Bakat Insan”. Selain itu, Karnival Pendidikan Islam
Sepanjang Hayat juga akan dibuat pada tahun ini. Dengan perancangan
yang jitu, bersepadu dan tepat adalah diharapkan Program Pendidikan
Islam Sepanjang Hayat menghasilkan modal insan yang berkemahiran
disulami dengan penghayatan nilai Islam yang kukuh. Dalam erti kata lain,
kolej komuniti akan dapat melahirkan insan yang seimbang ukhrawi dan
duniawi seterusnya menyumbang kepada masyarakat dan dunia sejagat.
Seperti mana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dalam sebuah
hadith yang diriwayatkan oleh Imam Nawawi yang berbunyi:
“Al Khaisu man dana nafsahu wa’amala lima
ba’dal maut, wal ‘aajizu man atba’a nafsahu
hawahaa watamanna ‘alAllahi azzawajallah”
Dan bermaksud:
“orang yang cerdik (seimbang) ialah orang
yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal
untuk matinya. Dan orang yang lemah (tidak
seimbang) itu, orang yang sentiasa mengikut
dorongan nafsunya dan berangan untuk
diampunkan dosanya”.
Ini bermaksud, kolej komuniti berniat murni untuk melahirkan insan yang
seimbang duniawi dan ukhrawi kerana mereka akan menyumbang kepada
masyarakat sejagat. Sebaliknya, jika kita melahirkan insan yang tidak
seimbang, mereka tidak akan memberi manfaat kepada dirinya, bangsa
atau negara.
Saudara saudari sekalian
Mengukuhkan Kolaborasi Dan Keusahawanan
50. Pada tahun ini, JPKK dan kolej komuniti akan melaksanakan lebih
banyak program berbentuk Public Private Partnership. Ini bermakna JPKK
akan melebarkan jaringan kolaborasi dengan pelbagai agensi
antarabangsa yang mencakupi bidang-bidang baharu yang berunsur High
Tech-High Value. Bagi merealisasikan hasrat ini, beberapa Memorandum
Persefahaman (MoU) dengan syarikat luar negara akan ditandatangani
untuk bidang-bidang yang melibatkan Green Tech (Cargill, USA) dan
pengauditan proses pengilangan sawit (Wilmar, Singapore). Bidang Green
Tech juga akan diperkukuhkan dengan mewujudkan Persijilan
Antarabangsa dalam Green Tech Auditing yang akan dijalankan bersama
Institute of Welding Italy dan MUTU Agong Indonesia.
Teaching Factory
51. Konsep Teaching Factory diperkenalkan di mana industri secara
strategik terlibat bersama membangunkan program-program pengajian
bidang baru berimpak tinggi di kolej komuniti yang terpilih. Melalui konsep
ini, industri akan menyumbangkan peralatan latihan dan kolej komuniti
akan melatih pekerja industri bagi tempoh tertentu.
Industry On Campus
52. Salah satu inisiatif bagi menjamin kolaborasi efektif ialah dengan
pelaksanaan Industry On Campus. Sejarah mencatatkan bahawa
hubungan industri dan kampus adalah bertentangan tetapi kini ianya
bertambah baik: industries are on campus. Hubungan di antara kampus
dan industri bermula awal kurun ke-11 apabila Eropah mula menubuhkan
universiti. Walaupun demikian, kepentingan hubungan ini tidak
dimanfaatkan sehingga kurun ke-20, apabila mereka membangun dan
menjadi penyuluh kepada masyarakat. Mereka juga menyediakan ruang
untuk menimba dan menerokai ilmu baharu dalam usaha menggalakkan
kefahaman dan pengajian dalam pelbagai bidang. Kebanyakan institusi
pengajian tinggi di negara maju mengamalkan konsep industry on campus
kerana ianya memanfaatkan semua pihak.
53. Pihak jabatan berpandangan bahawa konsep seperti ini boleh
digunapakai dan diperkembangkan lagi di semua kolej komuniti kerana
dengan wujudnya industry on campus, pelajar memperoleh first hand
experience and knowledge berhubung sesebuah industri. Sesungguhnya,
konsep ini akan menguntungkan kedua-dua belah pihak kerana pihak
industri memberi kepakaran, tunjuk ajar dan bimbingan. Sebaliknya,
industri pula berpeluang untuk memilih dan menggilap tenaga kerja yang
diperlukan. Bagi melaksanakan program ini, kolej komuniti akan memilih
rakan industri yang dirasakan sesuai dengan program yang ditawarkan
oleh kolej. Oleh itu, sebanyak 15,000 senarai syarikat telah dibekalkan
kepada setiap Pegawai Perhubungan Latihan Industri untuk membantu
mereka mengenalpasti pilihan rakan industri yang dirasakan bersesuaian
dengan kolej. Besarlah harapan saya agar konsep ini bukan sahaja
diterima pakai tetapi juga diberi komitmen tinggi supaya kolaborasi dengan
industri diperkukuhkan dan dilestarikan pada tahun ini.
Keusahawanan
54. JPKK akan terus membudayakan dan menggilap keupayaan
keusahawanan pada tahun 2015 dengan program-program seperti Jejak
Alumni, Community College Incubator Classrom, E-Business@KK-Mall dan
Bijak. Program-program yang dirangka adalah selari dengan Dasar
Pembangunan Keusahawanan IPT ke arah melahirkan lebih ramai
usahawan berprestasi tinggi dan berdaya maju. Malaysian
Entrepreneurship Award (MEA) 2015 membuka lebih banyak peluang
kepada kolej komuniti untuk menyertai pertandingan keusahawanan di
peringkat kebangsaan melibatkan semua IPT, Politeknik dan Institusi di
bawah MARA. Pada tahun ini kolej komuniti layak bertanding dalam 3
kategori iaitu Best Student Enterprise, Best Entrepreneurship Project dan
Best Entrepreneurship Mentor. Saya berharap kolej-kolej mencalonkan
projek-projek keusahawanan untuk dinilai dan dipertandingkan.
Pembudayaan Penyelidikan dan Inovasi
55. Sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan keupayaan
negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, penyelidikan dan inovasi
harus dititikberatkan. Justeru, JPKK dan kolej Komuniti perlu berganding
bahu untuk memikirkan agenda penyelidikan dan inovasi yang berunsur
tempatan, membangunkan teknologi baharu tempatan dan menangani
cabaran yang sedang dihadapi oleh masyarakat tempatan. Terdapat
keperluan mendesak yang perlu difikirkan iaitu bagaimana ilmu yang telah
diterokai boleh dipindahkan kepada masyarakat setempat. Sesungguhnya
pemindahan ilmu dan teknologi kepada masyarakat tempatan amat
diperlukan demi pembangunan industri tempatan. Sebagai contoh, pelajar-
pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mencipta alat
khas bagi membantu mengesan struktur tanah yang sesuai untuk membina
telaga berhampiran kawasan sekolah bagi mendapatkan bekalan air bersih
di kawasan terjejas banjir baru-baru ini seperti sekolah-sekolah sekitar Gua
Musang, Kelantan.
56. Sehubungan itu, JPKK telah diluluskan sejumlah RM40 ribu bagi
merangka aktiviti berpaksikan penyelidikan dan inovasi untuk
memantapkan pembudayaan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan
warga kolej komuniti. Antara aktiviti tersebut adalah penganjuran Seminar
Penyelidikan dan Inovasi Peringkat Wilayah serta penganjuran
Persidangan Kebangsaan CiE-TVET melalui usaha sama JPKK dengan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Selain penganjuran seminar dan
persidangan, JPKK juga bercadang untuk mengadakan Pertandingan
Inovasi Peringkat Kebangsaan dan menghantar Penyertaan Pertandingan
Inovasi Peringkat Antarabangsa ITEX 2015. Ini bertujuan untuk memupuk
minat inovasi di kalangan warga kolej komuniti. Saya ingin mengingatkan
tuan-tuan dan puan-puan bahawa keperluan utama penyelidikan adalah
berlandaskan kualiti penyelidikan dan bukan hanya dari segi kuantiti
penyelidikan yang dihasilkan. Walaupun jumlah yang diperuntukkan bagi
melaksanakan penyelidikan di semua kolej adalah kecil, produktiviti harus
dipertingkatkan dengan kos yang rendah. Dapatan penyelidikan boleh
dimuatnaik ke laman web JPKK.
Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2015
57. Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) telah dilantik oleh sekretariat
tetap SIPMA sebagai pengelola SIPMA Ke-6 2015 bertempat di Perlis
Indera Kayangan pada November 2015. Objektif utama SIPMA ialah untuk
meningkatkan integrasi nasional antara kaum di kalangan pelajar yang
berada di bawah institusi pendidikan. Saya mohon supaya semua kolej
bersedia dari sekarang untuk merancang dan melaksanakan persiapan
bagi menjayakan penganjuran SIPMA Ke-6 ini. Saya yakin tuan-tuan dan
puan-puan telah mengenalpasti atlit-atlit yang akan diketengahkan dalam
kejohanan berprestij ini. Namun, suka saya mengingatkan sekali lagi agar
memastikan pengelolaan SIPMA tahun ini berjalan lancar dengan
peruntukan yang minimum mengambil kira pemegang taruh yang
merentasi institusi dan agensi. Sebagai sekretariat dan tuan rumah, perlu
melaksanakan perbelanjaan berhemah tetapi memastikan program
berimpak tinggi.
CCRC - Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013-2015
58. Seperti yang kita sedia maklum, pada tahun ini CCRC akan
melangkah ke fasa terakhir dalam Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013 -
2015. Sehubungan itu, laporan keseluruhan Pemerkasaan Kolej Komuniti
2013 - 2015 akan dihasilkan bagi menilai pencapaian sebenar kualiti
perkhidmatan pendidikan yang disediakan oleh setiap kolej komuniti.
Segala perancangan, pelaksanaan dan pemantauan aktiviti CCRC akan
dinilai secara menyeluruh. Ia bertujuan bagi melihat keberkesanan kolej
komuniti secara khusus serta kejayaan Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013
- 2015 secara holistik. Sesungguhnya kejayaan Pemerkasaan Kolej
Komuniti 2013-2015 adalah hasil usaha gigih dan komitmen yang diberikan
oleh tuan puan.
59. Melihat ke hadapan, pelan tindakan JPKK yang berlandaskan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi) sedang
dalam proses pemurnian untuk dilaksanakan bersama. Untuk makluman
semua, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian
Tinggi) merupakan kesinambungan daripada Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi
Negara (PSPTN). Pada 28 januari 2015, bertempat di Sri Perdana draf
PPPM (Pengajian Tinggi) akan dibentangkan kepada YAB Perdana
Menteri dan Ahli Kabinet. Terdapat 10 anjakan dalam PPPM (Pengajian
Tinggi) yang mana 3 daripadanya melibatkan kolej komuniti, anjakan 1:
Graduan Holistik, Keusahawanan dan Seimbang, anjakan 3: Masyarakat
yang Belajar Sepanjang Hayat dan anjakan 4: Graduan TVET Berkualiti.
Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI)
60. Kolej Komuniti sebagai salah satu daripada institusi pengajian tinggi
di negara ini wajib mempraktikan MBMMBI bagi melahirkan pelajar yang
fasih dan yakin menggunakan kedua-dua bahasan. Saya ambil maklum
bahawa bahasa pengantar yang digunakan di kolej komuniti adalah
Bahasa Malaysia. Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan
kepentingan penguasaan bahasa dunia, khususnya Bahasa Inggeris untuk
menimba dan berkongsi ilmu. Bagi memastikan peningkatan kualiti dan
tahap kebolehpasaran graduan tercapai, kolej komuniti adalah disaran
untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan
penguasaan Bahasa Inggeris. Pemartabatan penggunaan Bahasa
Malaysia diperlukan bagi mengangkat nilainya sebagai bahasa ilmu tinggi.
Ia dapat menzahirkan perasaan cinta kepada budaya dan tamadun sendiri.
Sementara itu, pengunaan Bahasa Inggeris mesti dipertingkatkan bagi
membolehkan warga JPKK dan kolej komuniti termasuklah para pelajar
berupaya berkomunikasi dan bertindak sebagai nilai tambah kepada
mereka dalam menghadapi persaingan peringkat tempatan dan global.
61. Tahun 2015 menjanjikan pelbagai cabaran kerana kita akan
berhadapan dengan pelbagai senario terutamanya kejatuhan harga minyak
yang akan memberi impak kepada jumlah peruntukan yang telah diterima.
Justeru sepertimana tahun lepas, perbelanjaan berhemah menjadi suatu
yang perlu dipatuhi oleh KK. Keprihatinan serius tuan-puan terhadap
perkara ini amat diperlukan bagi memastikan setiap ringgit yang
dibelanjakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Ini sejajar dengan garis
panduan yang ditetapkan oleh Unit Perancang Ekonomi iaitu
menggunapakai Creativity Index bagi mengenalpasti projek yang boleh
dilaksanakan.
62. Sebelum saya terlupa, saya ingin berkongsi maklumat terkini di mana
sepanjang tahun ini, kolej komuniti akan menganjurkan program Kolej
Komuniti 2015 yang melibatkan tetamu kenamaan. Terdekat, program
yang akan dianjurkan adalah Majlis Perasmian Apresiasi bersama Industri
dengan kerjasama Kolej Komuniti Sarawak, akan diadakan di Kuching
pada 12-13 Februari 2015. Majlis akan dirasmikan oleh YAB Timbalan
Perdana Menteri. Selain itu, pada 6-7 Mac 2015 Kolej Komuniti Gerik akan
menganjurkan program Jalinan Kasih DYMM Raja Permaisuri Perak
bersama Kolej Komuniti Wilayah Perak.
63. Saya berkeyakinan, tuan puan pada tahun baru ini sudah disuntik
dengan nafas baharu serta semangat kerja yang berkobar-kobar untuk
mencapai apa yang dihasratkan. Sebelum mengakhiri perutusan ini, saya
amat berharap majlis ini menyemarakkan semangat baharu untuk mara ke
arah mutu kerja yang lebih baik iaitu bekerja secara synergistic (working
together in a creative, innovative, and productive manner). Berpegangkan
prinsip forward looking atau mendepani masa, kolej komuniti harus pro aktif
iaitu bergiat dalam penerokaan ilmu dan kemahiran baharu.
64. Saya ingin menegaskan kepentingan modal insan yang merupakan
aset kolej komuniti. Oleh itu, tuan puan diseru untuk memantapkan kualiti
PdP dan pensyarah melalui agenda kreatif dan inovatif, memandang
jauh ke hadapan, mengurangkan pembaziran dan kerenah birokrasi.
Seandainya perkara ini dapat diamalkan dan dibudayakan dengan baik,
maka akan lahirlah graduan kolej komuniti yang seimbang, kompeten dan
berdaya saing di pasaran tempatan serta antarabangsa. Marilah kita
bersama-sama melangkah untuk melahirkan juara dari Kolej Komuniti
(COMMUNITY COLLEGES CREATE CHAMPIONS). Bangkitlah tuan-tuan
dan puan-puan untuk memberi semangat dan manfaat kepada graduan,
komuniti, organisasi, industri dan negara tercinta.
65. Sebelum saya mengakhiri perutusan saya pada malam ini, saya
tinggalkan anda semua dengan satu slogan yang akan memacu kita
sepanjang 2015 iaitu “satu agenda, satu impian, satu famili”.
Dengan itu saya sudahi perutusan ini dengan lafaz;
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum W.B.T.
Sekian, terima kasih.
Bahagian Dasar Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia 22 Januari 2015