Post on 14-Dec-2015
description
PERNYATAAN PROFESIONAL
(Apa yang diharapkan melalui praktikum)
Praktikum Fasa 3 yang dijalankan selama tiga bulan ini telah menempatkan
saya di Sekolah Kebangsaan Tembila yang terletak di daerah Besut, Terengganu.
Lokasi sekolah ini agak berdekatan dengan kawasan Institut Pendidikan Guru
Kampus Sultan Mizan dan hanya mengambil masa selama 15 minit untuk sampai di
sekolah tersebut. Praktikum untuk sesi ini adalah untuk subjek major iaitu Matematik
dan subjek elektif, iaitu Dunia Sains dan Teknologi. Bagi fasa 3, saya perlu menjalani
praktikum selama 12 minggu, bermula pada 1 Februari 2015 dan tamat pada 30 April
2015.
Sebagai bakal guru, harapan saya melalui latihan praktikum ini ialah untuk
membina jati diri seorang guru. Untuk membina jati diri ini, saya perlu memperolehi
pelbagai pendedahan dalam pelbagai bidang berkaitan dengan perguruan dan
khususnya pendidikan Matematik di sekolah. Selain itu, semasa praktikum ini juga
saya ingin memahami dan mendalami mengenai budaya murid dan guru serta
suasana di sekolah rendah sebagai pendedahan dan pengalaman awal sebelum
ditauliahkan sebagai seorang guru nanti. Walaupun Praktikum Fasa 3 ini hanya
mengambil masa selama tiga bulan, saya akan berusaha sedaya upaya untuk
menimba pengalaman dan pengetahuan daripada senior dan guru-guru yang lebih
berpengalaman agar pengalaman ini boleh diaplikasikan pada masa akan datang
terutamanya apabila sudah bergelar sebagai seorang guru kelak. Saya juga
berharap agar guru-guru dapat memberikan kerjasama serta tunjuk ajar kepada saya
untuk menimba pengalaman dan pengetahuan dalam tempoh sebulan ini.
Selain itu, saya juga berharap agar dapat mengaplikasikan segala
pengetahuan saya selama menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan
Mizan terutamanya mengenai teori-teori pembelajaran yang boleh digunakan
semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Saya percaya bahawa sesi pengajaran
dan pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan seronok jika diaplikasikan dengan
pelbagai teori yang sesuai dan sekaligus dapat membantu pemahaman murid-murid.
Ini kerana, ia memenuhi kecerdasan murid yang pelbagai dan sesuai dengan tahap
pencapaian mereka. Justeru, untuk memastikan proses ini berkesan, saya perlu
mengingat nama murid-murid di dalam kelas. Saya juga akan berkolaborasi dengan
guru yang berkaitan untuk mengetahui tahap pembelajaran setiap murid.
Praktikum Fasa 3 ini mendedahkan saya kepada situasi persekolahan
sebenar, di mana saya perlu mengajar murid-murid dan bukanlah seperti pengajaran
mikro dan makro yang mengajar rakan-rakan sekelas. Justeru, cabaran yang bakal
saya hadapi ialah pengurusan bilik darjah yang sebenar dengan perangai murid-
murid yang pelbagai dan berbeza latar belakang. Saya berharap agar semasa
Praktikum Fasa 3 ini mampu meningkatkan kemahiran mengajar saya. Ini kerana,
saya perlu mempraktikkan segala yang telah dipelajari sebelum ini. Saya juga
berharap melalui Praktikum Fasa 3 ini saya dapat membina hubungan yang positif
dengan organisasi sekolah iaitu dengan guru-guru dan staf sokongan sekolah ini.
Saya akan berusaha untuk menonjolkan perwatakan yang positif dan sentiasa
menghormati antara satu sama lain. Ini kerana, saya turut membawa nama baik
Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan bersama. Oleh sebab itu, saya akan
berusaha untuk menjaga nama baik saya serta nama baik kampus tempat saya
menuntut ilmu.
Akhir kata, saya berharap melalui praktikum ini dapat memberikan nilai
tambah dalam diri saya untuk menjadi seorang guru yang mempunyai jati diri. Saya
juga berharap agar seluruh warga Sekolah Kebangsaan Tembila dapat menerima
kehadiran saya di sekolah dan menimba pengetahuan baru di sekolah tersebut
sebagai persediaan untuk bergelar sebagai seorang guru.