Post on 30-Jul-2015
Usul murid bawa telefon bimbit ke sekolah masih dibincang: Ka Siong02/09/2012 - 16:15:50 PMCetakEmel Kawan
SEREMBAN: Cadangan pelajar dibenar membawa telefon bimbit ke sekolah masih pada peringkat perbincangan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.
Katanya, banyak perkara harus diteliti sebelum kementerian itu dapat membuat keputusan yang memuaskan semua pihak. "Setakat ini pelbagai pandangan sudah diterima termasuk daripada pelajar. Malah saya ada menerima surat daripada murid berusia 10 tahun yang tidak bersetuju dengan cadangan terbabit.
"Ini adalah sesuatu yang sangat memeranjatkan apabila murid tahun empat ini sendiri memberi pandangan sebegitu dan menyatakan sebab mengapa dia tidak bersetuju," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyerahkan cek bantuan kewangan kepada sekolah bantuan kerajaan di Negeri Sembilan. Sebanyak RM6.43 juta diperuntuk kepada 41 sekolah jenis kebangsaan bantuan kerajaan tahun ini.
Bulan lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula tahun depan.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibu bapa dan guru yang rata-rata berpandangan langkah terbabit akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar. - BERNAMA
ISU :
PELAJAR BAWA TELEFON BIMBIT
KE SEKOLAH
ISU PELAJAR BAWA TELEFON BIMBIT KE SEKOLAH
1.0 PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), telefon bimbit bermaksud telefon
mudah alih tanpa wayar yang berfungsi dengan menggunakan isyarat gelombang.
Manakala, sekolah pula bermaksud tempat untuk belajar dan mengajar, tempat
menerima dan memberi pelajaran. Sekolah merupakan satu daripada tempat
seseorang menimba ilmu pengetahuan. Telefon bimbit merupakan satu daripada alat
komunikasi yang sangat penting pada masa kini. Memandangkan taraf hidup yang
semakin tinggi, ibu bapa yang berada mampu membeli telefon bimbit dan gajet untuk
anak-anak mereka sebagai motivasi dan galakan dalam pelajaran. Namun, tindakan
mereka ini seolah-olah membuka ruang kepada anak-anak mereka untuk membawanya
ke sekolah.
Di pihak kementerian pula, cadangan pelajar dibenarkan membawa telefon
bimbit ke sekolah telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka
Siong pada 16 Julai 2012 yang lalu. Cadangan ini terkandung dalam Draf Peraturan
Pendidikan Disiplin Murid 2012, yang kini diperingkat akhir, sebelum dibawa kepada
pejabat Peguam Negara dan diluluskan. Jika mendapat pandangan yang positif
kemungkinan besar usul ini akan diluluskan dan berkuatkuasa mulai tahun depan.
Biarpun baru memasuki frasa cadangan, isu sama ada membenarkan atau tidak pelajar
membawa telefon bimbit ke sekolah tahun depan pantas mendapat reaksi berbeza
daripada pelbagai pihak. Pelbagai pendapat pro dan kontra dibentangkan selain
melihatnya secara positif atau sebaliknya dengan pendapat masing-masing. Umum
mengetahui, sejarah melarang murid membawa dan menggunakan telefon bimbit ke
sekolah dikuatkuasakan sejak 13 Mei 1997. Walaupun Kementerian Pelajaran
membenarkan murid membawa telefon bimbit ke sekolah secara bersyarat menerusi
satu Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 11/2005 bertarikh 23 Disember 2005, namun ia ditarik
balik oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 19
Januari 2006 atau 28 hari selepas pekeliling itu dikeluarkan.
Kini, cadangan membenarkan murid membawa telefon bimbit dan gajet ke
sekolah disuarakan sekali lagi dan maklum balas awal yang diterima menunjukkan
majoriti guru tidak bersetuju kerana keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke
sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.
2.0 PERKEMBANGAN
Lebih 90 peratus guru dan 80 peratus pemimpin sekolah tidak bersetuju
cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke
sekolah. Keputusan hasil kaji selidik membabitkan kira-kira 2000 responden di seluruh
negara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah
(MPSM), Muhammad Khailani Abdul Jalil kepada Berita Harian. Beliau juga merupakan
Ahli Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid yang dipengerusikan
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong. Malah, kajian itu turut mendapati
lebih 75 peratus ibu bapa dan 55 peratus pelajar sendiri turut menolak cadangan
berkenaan. Kajian ini dibuat oleh Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan
pandangan pihak berkepentingan mengenainya. Beliau berkata, semua pihak bimbang
cadangan tersebut lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan.
Tambahan pula, 60 peratus pelajar tetap membawa telefon bimbit walaupun tidak
dibenarkan ketika ini. Masalah akan timbul apabila berlakunya kecurian dan
penyebaran anasir berunsur lucah ke sekolah.
Walaupun terdapat desakan daripada kalangan ibu bapa yang meminta pihak
Kementerian Pelajaran membenarkan penggunaan telefon bimbit di sekolah atas
alasan bahawa keselamatan murid akan terjamin, tetapi daripada sudut pengajaran dan
pembelajaran, hal ini lebih banyak mendatangkan keburukan. Perkara ini dikukuhkan
dengan kenyataan seorang tokoh pendidik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah
Karim yang menyatakan bahawa daripada aspek keselamatan, beliau melihat ia
memang wajar dibenarkan agar ibu bapa sentiasa boleh berhubung dengan anak-anak
mereka tetapi beliau bimbang perkara tersebut menjejaskan tumpuan pembelajaran
dan disalahgunakan oleh pelajar. Tokoh Guru Kebangsaan 2010, Awang Mohamad
pula berpendapat, langkah tersebut tidak perlu dibuat dengan terburu-buru
memandangkan suasana di dalam kelas tidak menuntut pelajar menggunakan
peralatan canggih tersebut.
Sehubungan dengan itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
(GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abdul Rani pula menyatakan bahawa membenarkan
telefon bimbit dibawa ke sekolah bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik yang boleh
menjamin keselamatan. Kaedah terbaik perlu dicari untuk memastikan keselamatan
pelajar terjamin sewaktu berada di sekolah. Selain daripada itu, bekas Ketua Pengarah
Pendidikan, Tan Sri Abdul Rahman Arshad pula percaya, pelbagai masalah akan timbul
sekiranya para pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit di sekolah termasuk kes
kecurian. Beliau berpendapat, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah akan
menimbulkan jurang pemisah antara pelajar miskin dan kaya hingga mencetus suasana
yang tidak harmoni.
Hal ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Guru-
Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Awang Mohamad yang
melihat implikasi buruk mungkin tercetus sekiranya perkara itu dibenarkan. Beliau
berpendapat, walaupun pelajar hanya dibenar menggunakan telefon bimbit sebelum
waktu persekolah bermula, semasa waktu rehat dan selepas sesi persekolahan tamat,
tanpa disedari teknologi itu ‘membunuh’ masa depan para pelajar. Pelajar hanya akan
berkomunikasi menggunakan alam maya tanpa keluar untuk bersosial dan bergaul
dengan masyarakat di sekeliling. Presiden Persatuan Perlindungan Malaysia (PPPM),
Mohd Firdaus Abdullah turut melahirkan kebimbangan terhadap penggunaan telefon
bimbit di kalangan pelajar di sekolah. Beliau menyatakan bahawa telefon bimbit boleh
menyebabkan masalah pencemaran bahasa dan penyebaran gambar-gambar lucah
seterusnya boleh menjurus kepada keruntuhan moral. Tambahan beliau, penggunaan
telefon bimbit mampu menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran.
Namun begitu, terdapat beberapa pihak yang bersetuju dengan cadangan
penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar ketika di sekolah disertai dengan
beberapa garis panduan. Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Kebangsaan
(Permuafakatan), Profesor Madya Mohd. Ali Hassan mengatakan bahawa kebenaran
itu perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat melibatkan pelajar sekolah
menengah terlebih dahulu dan jika dasar itu didapati berkesan, barulah diperluaskan
kepada pelajar sekolah rendah pula. Pihak sekolah juga perlu menyediakan tempat
menyimpan telefon bimbit bagi memastikan ia hanya digunakan pada waktu yang
ditetapkan sahaja. Beliau juga mengingatkan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah
supaya memantau dan memastikan garis panduan itu dipatuhi. Berbeza dengan
kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Profesion Perguruan Kebangsaan, Lok Yim
Pheng yang mengalu-alukan langkah tersebut kerana ia akan mendedahkan pelajar
kepada teknologi maklumat (IT). Beliau berpendapat bahawa, pada zaman ini kita tidak
boleh membataskan pelajar menggunakan telefon bimbit. Walaubagaimanapun,
katanya murid sekolah rendah terutama tahun satu, dua dan tiga tidak digalakkan
menggunakan telefon bimbit kerana umur mereka yang masih rendah.
3.0 IMPLIKASI
Pelbagai reaksi, pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak
apabila Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan bahawa pelajar boleh
membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah mulai tahun depan. Sememangnya ada
baik dan tidak baiknya membawa telefon bimbit ke sekolah. Dari segi baiknya, tentu ia
memudahkan ibu bapa untuk mengesan anak mereka terutamanya selepas waktu
persekolahan. Ada ketikanya anak-anak terlepas bas sekolah mungkin kerana lambat
keluar kelas dan tidak memaklumkan kepada pemandu bas terlebih dahulu. Perkara ini
dijelaskan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon yang menyatakan
bahawa ada ibu bapa yang mendesak pihak Kementerian Pelajaran Malaysia supaya
membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bagi memudahkan mereka memantau
dan memastikan keselamatan anak-anak mereka. Kebenaran tersebut mungkin akan
tertakluk kepada syarat-syarat dalam Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh
Murid Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Walaupun ada pihak yang bersetuju dengan kenyataan di atas, tetapi majoriti
melihat isu ini mengundang pelbagai masalah kepada semua pihak termasuklah guru
dan pihak sekolah. Apabila guru sedang mengajar di dalam kelas, para pelajar akan
sibuk dengan telefon bimbit mereka. Hal ini akan mengganggu proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah seterusnya akan menyebabkan timbulnya masalah tingkah
laku murid di dalam kelas. Perkara ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan daripada
Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa.
Beliau menyatakan bahawa perkara ini perlu dikaji kerana dikhuatiri ia akan
mengganggu fokus para pelajar ketika di dalam kelas. Tambah beliau lagi, selain tidak
sesuai dilaksanakan kerana memberi kesan terhadap fokus pelajar, ia juga boleh
mewujudkan jurang antara pelajar berkemampuan dan kurang berkemampuan. Di
dalam sebuah bilik darjah, guru bukan hanya memainkan peranan sebagai pendidik
tetapi juga sebagai pengurus. Hal ini bermaksud guru juga bertanggungjawab
mengelolakan murid-murid dan keadaan fizikal yang terdapat di dalamnya.
Mok Soon Sang (2010) berpendapat bahawa keberkesanan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran berkait rapat dengan kecekapan pengurusan bilik darjah seseorang
guru. Ini adalah kerana pengurusan bilik darjah yang cekap akan dapat mewujudkan
suasana pembelajaran yang kondusif serta keadaan yang sesuai untuk proses
pengajaran dan pembelajaran. Suasana dan keadaan yang kondusif ini hanya dapat
diwujudkan apabila semua murid mengikut peraturan bilik darjah yang ditetapkan.
Sesungguhnya, tujuan utama pengurusan bilik darjah adalah menjaga disiplin bilik
darjah supaya mewujudkan suasana dan keadaan yang membolehkan murid-murid
mengikuti pelajaran mereka tanpa sebarang gangguan. Apabila murid membawa
telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mula hilang fokus terhadap pengajaran guru.
Guru sibuk mencurahkan ilmu di hadapan kelas, mereka sibuk menjawab dan membuat
panggilan, berbalas khidmat pesanan ringkas (sms), bermain ‘games’ ber’facebook’,
ber’twitter’ dan sebagainya di belakang kelas.
Bertepatan dengan pandangan tokoh pendidik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr.
Khoo Kay Kim yang melihat penggunaan peralatan itu di sekolah tidak memberi
manfaat terhadap peningkatan mutu pelajaran pelajar. Kerajaan perlu memperhalusi
cadangan ini dengan sebaik-baiknya kerana bimbang kesannya terhadap institusi
sekolah, hubungan antara guru dan pelajar serta masa depan negara. Menurut beliau
lagi, kerajaan juga harus mencorak sistem pendidikan mengikut acuan sendiri agar ia
dapat membantu ke arah kemajuan dan kecemerlangan sistem pendidikan negara. Jika
ingin melakukan perubahan, biarlah perubahan itu membawa lebih banyak kebaikan
dan bukan atas kepentingan satu-satu pihak sahaja. Pengajaran dan pembelajaran
tidak akan mencapai objektif kerana tumpuan pelajar tidak kepada pengajaran guru
sebaliknya leka dengan telefon dan gajet yang dibawa. Justeru itu, pihak kementerian
perlulah mempertimbangkan semula kebaikan dan keburukannya sebelum diberi
kelulusan.
Di samping itu, Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Senator Datuk Syed Ali
Alhabshee menyatakan bahawa penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah tidak
akan membantu meningkatkan mutu pendidikan, sebaliknya menyumbang kepada
masalah disiplin di sekolah-sekolah. Sebagai contoh, pelajar mungkin akan
menghendap dan merakam gambar pelajar atau guru perempuan di dalam tandas.
Lebih dibimbangi sekiranya gambar ini disebarkan oleh pelajar yang tidak
bertanggungjawab menerusi telefon bimbit. Jika keadaan ini dibiarkan, dasar
pendidikan negara yang bertujuan melahirkan pelajar berkualiti dari segi ilmu dan moral
tidak akan tercapai. Telefon bimbit pada masa kini bukan hanya berfungsi untuk
menerima dan membuat panggilan serta membalas khidmat pesanan ringkas sahaja,
ianya mempunyai pelbagai kegunaan seperti merakam video, merekod suara,
mengakses internet, menghantar dan menerima gambar dan sebagainya. Masyarakat
bimbang telefon yang mempunyai pelbagai fungsi ini disalahgunakan oleh pelajar ketika
berada di sekolah. Justeru itu, masalah disiplin akan meningkat.
4.0 CADANGAN / RUMUSAN
Setelah dilihat, diteliti dan dikaji pendapat serta pandangan pelbagai pihak, saya
berpendapat bahawa penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar di sekolah lebih
banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Bertepatan dengan pandangan
tokoh pendidik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim yang mengatakan
bahawa telefon bimbit wajar dibenarkan dibawa ke sekolah atas faktor keselamatan.
Walaubagaimanapun, katanya ianya lebih banyak mendatangkan keburukan dari sudut
persekolahan seperti menjejaskan tumpuan pembelajaran, disalahgunakan,
menambahkan beban guru untuk memantau sewaktu proses pembelajaran selain
belrakunya kes-kes kecurian. Pada masa yang sama, para guru bukan sahaja
berhadapan dengan cabaran mengawal pelajar sekolah ini daripada menyalahguna
telefon bimbit di sekolah tetapi terpaksa melayani masalah kehilangan telefon bimbit itu.
Hal ini akan menyebabkan bertambahnya bebanan guru. Pada masa kini, tugas guru
semakin meningkat dari semasa ke semasa seiring dengan perubahan dasar
pendidikan negara. Apabila pelajar-pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit,
pelbagai masalah lain akan mula timbul kesan daripada kebenaran tersebut.
Perkara ini disokong oleh Yang Dipertua (YDP) PIBG Sekolah Kebangsaan
Kubur Panjang, Shaharol Niza Omar yang tidak bersetuju cadangan itu dibenarkan
kerana walaupun tanpa telefon bimbit dan gajet, masalah disiplin pelajar adalah tidak
terkawal pada masa kini, apatah lagi jika cadangan itu dibenarkan. Beliau berpendapat
tidak logik masalah menghubungi keluarga dijadikan alasan sewaktu kecemasan
kerana masih ada telefon awam atau telefon sekolah. Apa yang dilakukan oleh pihak
sekolah pada hari ini sudah memadai dan alasan ibu bapa supaya mudah untuk
memantau pergerakan pelajar kurang praktikal. Sebenarnya, masih ada cara lain ibu
bapa boleh memantau pergerakan anak-anak mereka seperti mengenal pasti siapa
rakan mereka, melakukan pemeriksaan mengejut dan sebagainya. Saya berpendapat,
jika ibu bapa sendiri tidak bersikap lepas tangan, pergerakan anak-anak boleh dipantau
dengan baik. Tidak perlu telefon bimbit sebagai pengantara.
Perkara ini perlu dipertimbangkan dan diperhalusi semula oleh pihak
Kementerian Pelajaran. Bersesuaian dengan pendapat Pensyarah Kanan Jabatan
pengurusan Sumber dan Pengajian Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia,
Zuroni Md Jusoh, senario berkenaan wajar dilihat secara menyeluruh agar tidak
menjadi penyesalan masa depan apatah lagi membabitkan perubahan drastik pola
kehidupan pelajar, guru dan sekolah. Biarpun institusi sekolah tertakluk pada dasar
yang ditetapkan namun pendekatan bersesuaian harus diambil kira dan diteliti supaya
tidak menyusahkan mana-mana pihak. Ini melibatkan institusi sekolah yang menjadi
antara kelompok terbesar dan terpenting di negara ini. Justeru, kajian, perbincangan,
pandangan atau apa jua tindakan bakal diambil memerlukan penelitian mendalam
supaya tidak menjadi isu lain kelak. Jika direalisasikan, perkara asas bakal dihadapi
adalah kewujudan pelbagai konflik yang dianggap kecil namun boleh merosakkan masa
depan pihak sasaran. Antaranya, konflik sekolah dan guru dengan ibu bapa yang mana
pelaksanaan itu boleh dianggap landasan mewujudkan ketegangan emosi kedua belah
pihak. Pada masa yang sama, konflik ekonomi dalam kalangan ibu bapa juga akan
wujud kerana pertambahan bebanan kewangan menambah nilai kad telefon yang
digunakan oleh anak. Selain itu, ibu bapa juga terpaksa melayani dan menuruti
kemahuan anak-anak yang inginkan telefon serta alat komunikasi yang lebih ‘up-to-
date’ sepertimana yang dimiliki oleh kawan-kawan mereka di sekolah. Jika ibu bapa
tidak mampu mampu memenuhi keinginan mereka, bayangkan pula tindakan yang
bakal diambil oleh pelajar berkenaan.
Malah, kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran tahun lalu menunjukkan
bahawa rata-rata pihak kepentingan menegaskan keperluan pelajar untuk membawa
telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti. Berdasarkan
pengalaman sekolah, 60 peratus pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun
tidak dibenarkan ketika ini. Masalah berlaku apabila telefon bimbit hilang, pelajar
menuduh rakan mencuri sehingga mencetuskan pergaduhan. Hal ini berlarutan
sehingga mewujudkan pelbagai masalah disiplin yang lain. Tidak dinafikan, keperluan
telefon bimbit adalah usaha untuk mendedahkan pelajar dengan penggunaan teknologi
global. Walaubagaimanapun, perkara ini telah diatasi oleh pihak sekolah dengan
menyediakan makmal komputer untuk mengakses maklumat dan sebagainya. Justeru,
memberi kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah tidak sesuai kerana fungsinya
nanti akan disalahgunakan hingga menjejaskan kepentingan proses pembelajaran yang
lebih utama.
Oleh yang demikian, saya tetap dengan pendapat saya mengatakan
bahawa tidak bersetuju dengan kebenaran pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah
kerana lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Walaupun wujud
sekolah-sekolah di luar negara yang membenarkan pelajarnya membawa telefon bimbit
dan gajet ke sekolah, namun pada pendapat saya, sistem pendidikan di negara kita
masih lagi tidak sesuai untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan gajet
ke sekolah. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu mengkaji semula isu ini
supaya tidak mendatangkan kemudaratan dan lebih banyak masalah yang timbul pada
masa akan datang. Pihak kementerian perlu meminta pendapat pihak mengkaji
daripada pelbagai aspek iaitu pelajar, guru, pihak sekolah, ibu bapa dan juga
masyarakat. Perkara ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh semua masyarakat
kerana ianya melibatkan bakal pemimpin negara dan generasi kita pada masa akan
datang.
REFLEKSI
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya
dapat juga saya menyiapkan tugasan ini dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Pelbagai cabaran, dugaan dan halangan yang terpaksa saya tempuhi semasa
proses menyiapkan tugasan ini. Antara masalah yang dihadapi adalah kelemahan saya
dalam membuat perkaitan antara artikel yang diperoleh dengan rujukan daripada buku
memandangkan pemikiran saya sudah terikat dengan sumber-sumber yang diperolehi
daripada internet. Untuk mengatasi masalah ini, saya telah berbincang dengan
sahabat-sahabat yang lain tentang isu yang telah saya pilih. Alhamdulillah, setelah
diberi pencerahan minda oleh sahabat saya, saya telah dapat membuat perkaitan isu ini
dengan masalah tingkah laku dan disiplin murid.
Di samping itu, masalah lain yang dihadapi oleh saya adalah tidak memahami
kehendak tugasan. Apabila sahabat saya Nor ‘Atikah datang menjelaskan bagaimana
untuk membuat tugasan ini, saya menjadi semakin tertekan dan berasakan tugasan ini
sangat susah memandangkan ianya adalah fakta. Saya membuat keputusan untuk
berjumpa dengan pensyarah pembimbing kami iaitu Puan Salina bersama-sama
dengan dua orang sahabat saya, Azlia dan Hana. Setelah mendapat penjelasan
terperinci daripada Puan Salina, saya berasa sedikit tenang dan bersemangat untuk
menyiapkan tugasan.
Selain daripada itu, saya juga tidak mempunyai sebarang kemahiran dalam
membina blog. 11 orang daripada ahli kelas saya memiliki blog masing-masing. Saya
pernah mempunyai impian untuk membina blog, tetapi memandangkan saya amat
lemah dari segi penulisan, hasrat tersebut hanya dibiarkan begitu sahaja. Apabila
menerima tugasan ini, saya cuba untuk belajar membina blog melalui sahabat-sahabat.
Saya banyak bertanya mereka mengenai istilah-istilah yang asing bagi saya.
Contohnya adalah seperti ‘widget’, ‘shoutbox’, ‘gadjet’, ‘template’ dan sebagainya.
Setelah berbincang dan menerima tunjuk ajar daripada sahabat-sahabat sekumpulan
dan sahabat-sahabat daripada kumpulan lain, saya cuba untuk membantu sedikit demi
sedikit dalam pembinaan blog. Kemahiran yang telah saya peroleh ini akan ditingkatkan
melalui pembelajaran dari semasa ke semasa.
Pelbagai ilmu dan pengalaman baru yang telah saya peroleh sepanjang proses
menyiapkan tugasan ini. Antaranya adalah maklumat dan ilmu yang berkaitan dengan
isu yang telah saya pilih iaitu isu bawa telefon bimbit ke sekolah. Ilmu lain yang
diperoleh adalah ilmu dalam pembinaan blog. Harapan saya agar segala ilmu yang
diperoleh ini dapat diaplikasikan apabila saya telah melangkah ke alam kerjaya nanti.
Pengalaman membina blog tidak akan saya biarkan begitu sahaja. Saya berhasrat
untuk membina sebuah laman ilmu dalam alam maya untuk berkongsi maklumat,
tugasan, soalan-soalan peperiksaan yang lepas dan sebagainya dengan sahabat-
sahabat saya daripada sekolah lain dan juga para pelajar saya. Teknik penulisan ilmiah
yang diperoleh ini juga akan saya gunakan untuk menyambung pengajian ke peringkat
yang lebih tinggi.
BIBLIOGRAFI
Sumber daripada buku :
1. Mok Soon Sang (2010). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Selangor.
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
2. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Sumber daripada internet :
1. http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2012/08/usul-bawa-telefon-bimbit-ke-
sekolah.html - Diakses pada 15 ogos 2012 jam 12.37 a.m.
2. http://www.bharian.com.my/articles/
Usulmuridbawatelefonbimbitkesekolahmasihdibincang_KaSiong/Article/
Diakses pada 15 ogos 12.42 a.m.
3. http://www.melvister.com/2012/07/kesan-pelajar-bawa-handphone-hp-ke-sekolah-
tahun-2013.html - Diakses pada 27 ogos 2012 jam 22.37 p.m.
4. http://sk-sungaigalah.blogspot.com/2012/07/isu-telefon-bimbit-kewujudan-
pelbagai.html - Diakses pada 27 ogos 12 jam 23.31p.m.
5. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/
Banyakkeburukanbawatelefonbimbitkesekolah/Article - Diakses pada 29 ogos
2012 jam 11.31 p.m.
6. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Majoritigurutaksetuju/Article
- Diakses pada 29 ogos 2012 jam 11.33 p.m.
7. http://utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2012&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm -
Diakses pada 29 ogos 2012 jam 11.37 p.m.
8. http://ww1.utusan.com.my/info.asp?
y=2012&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_35.htm -
Diakses pada 29 ogos 2012 jam 11.45 p.m.
9. http://www.harian-metro-online.com/bantah-pelajar-bawa-telefon-bimbit-ke-sekolah
- Diakses pada 29 ogos 2012 jam 11.49 p.m.
10.http://telefonbimbit.blogspot.com/ - Diakses pada 30 ogos 2012 jam 12.54 p.m.