Post on 15-Dec-2015
description
7.0 SEBAB KECENDERUNGAN TABIAT BURUK PENGAMBILAN NUTRISI
APABILA USIA MENINGKAT
Seringkali simptom-simptom ini mudah dikaitkan dengan sikap malas atau kegagalan
menyusun rutin harian secara rasional. Hakikatnya, ramai yang tidak menyedari bahawa ia
berlaku kerana masalah ketidakseimbangan hormon. Hormon memberikan pengaruh yang besar
pada tubuh badan, cerminan penampilan dan emosi. Badan manusia bergantung pada hormon
untuk tidur, bangun pagi setiap hari, berfikir dengan jelas, membantu pertumbuhan,
mengekalkan kesihatan, berat badan dan paras rupa. Ia juga mempengaruhi mood, kemampuan
seksualiti, keinginan seksualiti, kesuburan, kulit, rambut, penglihatan dan suhu badan. Pendek
kata, ia memainkan peranan penting dalam perkembangan tubuh badan dan minda.
Ketidakseimbangan hormon terjadi kerana beberapa faktor penyebab iaitu peningkatan
usia, pemakanan tidak sihat, kurang senaman, pencemaran alam sekitar, kebisingan dan juga
radiasi. Akibatnya, berlaku gangguan yang menyebabkan komunikasi antara sel melalui hormon
menjadi kurang efektif lalu menyumbang kepada mutasi sel. Keadaan itu sekali gus
menyebabkan kemerosotan tahap imunisasi. Dalam badan kita mempunyai pelbagai hormon iaitu
hormon estrogen, hormon pertumbuhan manusia, melatonin, pregnenolon, progesteron,
testosteron, kortisol, dehidroepiandrosteron (DHEA) dan tiroid. Setiap daripadanya mempunyai
fungsi unik. Misalnya, hormon estrogen dan progesteron adalah untuk sistem reproduktif wanita
manakala testosteron pula untuk lelaki. Pregnenolon untuk ingatan, kortisol untuk imuniti dan
stres.
Banyak perkara yang boleh menyumbang kepada masalah ketidakseimbangan hormon
iaitu tekanan daripada persekitaran, toksik, makanan, dadah, alkohol, bahan kimia dan makanan
segera. Makanan segera boleh menyebabkan obesiti kerana ia mengandungi banyak gula yang
akan menyerang insulin sekali gus mempengaruhi paras kortisol, estrogen dan progesteron. Ia
berakhir dengan sindrom metabolik seperti kencing manis, kolesterol tinggi, obesiti dan darah
tinggi. Hormon-hormon di dalam badan memerlukan mineral yang seimbang, vitamin dan
antioksidan untuk berfungsi.
Senaman juga merupakan salah satu cara untuk menggalakkan pengeluaran hormon.
Malangnya, kebanyakan orang pada hari ini tidak mempunyai masa untuk bersenam tetapi ada
masa pula untuk berjumpa doktor dan ambil ubat-ubatan. Mereka yang terlalu sibuk dan tiada
masa untuk menjaga kesihatan serta tiada masa untuk beriadah mempunyai kecenderungan untuk
berdepan dengan masalah ketidakseimbangan hormon. Selain itu, orang yang tidak cukup tidur,
orang gemuk, orang yang makan makanan segera, juga berisiko. Antara lelaki dan wanita, wanita
lebih berisiko mengalami masalah ketidakseimbangan hormon kerana sistem tubuh wanita
adalah lebih kompleks. Wanita yang tidak beranak turut dalam senarai golongan berisiko kerana
setiap kali mengandung, hormon akan meningkat 200 peratus iaitu 10 hingga 20 kali ganda
tinggi daripada biasa. Jadi, wanita-wanita yang tidak beranak berisiko berhadapan dengan
masalah ketidakseimbangan hormon.
Masalah ketidakseimbangan hormon boleh diperbaiki atau dirawat dengan
menyeimbangkannya melalui rawatan penggantian hormon semula jadi (bioidentical hormone
replacement therapy) dan bukannya hormon sintetik. Fungsi hormon sintetik adalah sama seperti
hormon semula jadi tetapi ia mempunyai struktur molekul yang berbeza. Tubuh manusia
lazimnya menerimanya sebagai benda asing namun reaksi dan tindak balasnya boleh
menyebabkan kanser.
(447 patah perkataan)